Resepi Sambal Tumis Nasi Lemak (Tahan Lama Dan Sangat Sedap Sesuai Niaga)
Nasi lemak menu sarapan pagi wajib ada di negara ini. Terkenal di Malaysia tapi makin dikenali di luar negara. Nasi lemak ini bermula dengan nasi yang dimasak dengan santan dan daun pandan. Ia menghasilkan aroma yang sungguh sedap.
Namun tidak lengkap nasi lemak jika tiada sambal tumis. Pencarian nasi lemak yang enak bukan terletak pada nasinya tetapi juga sambal tumisnya. Jika kurang rasa sambal tumisnya,maka kurang enaklah nasi lemaknya.
Tetapi untuk menghasilkan sambal tumis yang sedap, bukan kerja mudah. Ia perlu bermula dengan pemilihan cili kering yang betul. Cili perlu digunting dan dibuang bijinya, direbus dan dikisar sehingga kisar. Cili pula mestilah jenis kurang pedas, namun kalau suka pedas boleh tambah cili kering pedas juga.
Hari ini, Madam akan kongsikan resepi sambal tumis nasi lemak,sesuai untuk meniaga.
Resepi Sambal Tumis Nasi Lemak
Bahan – bahan utama
- Cili kering satu periuk kecil digunting dan dibuang biji. ( Guna 50% cili pedas dan 50% cili tidak pedas)
- Bawang besar sebelah dipotong dadu
- Minyak masak 2 sudu besar
Bahan-bahan kisar
- Bawang besar sebelah
- Belacan setengah inci
- Ikan bilis segenggam
Bahan hiris
- 1-2 biji bawang besar dihiris bulat.
Bahan perasa
- Gula 2 sudu besar
- Asam keping sekeping
- Garam dan serbuk perasa secukupnya.
Kaedah
- Mula-mula gunting cili kering dalam penapis, tujuannya supaya mudah untuk buang bijinya.
- Kemudian rebus cili supaya kembang dan lembut. Basuh dibawah air mengalir supaya biji mudah dikeluarkan. Jangan lupa letak penapis dibawahnya, supaya biji cili tidak memenuhi singki.
- Kisar cili kering bersama minyak, bawang yang dipotong dan air secukupnya,ini adalah petua supaya cili lebih halus. Ketepikan.
- Seterusnya kisar bahan-bahan kisar, tapiskan untuk asingkan airnya.
- Tumiskan bahan kisaran ini, sehingga naik bau.
- Masukkan bahan hiris,goreng keduanya sehingga bawang mula layu.
- Masukkan cili kering kisar. Gaul rata kesemua bahan dan masak sehingga cili naik minyak. Tambah minyak masak jika perlu.
- Masak dengan api sederhana. Kacau selalu supaya cili tidak hangit.
- Apabila cili telah naik minyak, masukkan baki air dari bahan kisaran tadi. Tambah air jika perlu. Masukkan asam keping sekali.
- Masukkan garam, serbuk perasa dan gula.
- Masak sehingga warna cili menjadi cantik merah kehitaman. Boleh masukkan ikan bilis jika mahu. Gunakan ikan bilis jenis besar-besar. Madam tidak tambah ikan bilis kerana ikan bilis telah dikisar sekali.
Sambal tumis kini telah siap. Kini hanya perlu masak nasi lemaknya. Resepi nya ada disini. Resepi ini boleh diubahsuai dengan menambah udang atau telur rebus. Rasa sambal tumis yang sedap mestilah pedas-pedas manis. Juga sedap dibuat inti burger Malaysia atau dicicah dengan roti.
Selamat mencuba dan singgahlah melihat koleksi resepi kami yang lain juga.