Koleksi 25 Resepi Ayam Mudah Dan Sedap Patut Cuba

Ayam, bermacam ayam, ada ayam kampung, ayam hutan, ayam siam, ayam turki, ayam belanda. Begitulah bait bait dari lirik lagu lucu bertajuk Ayam.

Ayam sememangnya salah satu sumber protien yang paling digemari. Boleh dikatakan dimana-mana sahaja tempat didunia ini mengemari ayam.Keenakan daging ayam ini sangatlah terkenal, sehinggakan ayam ini boleh dimasak dengan pelbagai cara. Rebus,panggang, goreng , kukus, renih ataupun sup, ayam pasti akan menambat hati sesiapa sahaja.

Apa-apapun bagi anda yang sangat mengemari daging ayam, anda bertuah kerana dilaman web Resepi.My ini kami mempunyai koleksi yang mengandungi pelbagai jenis resepi berasakan ayam yang telah dicuba dan ternyata menjadi. Kebanyakkan resepi yang Madam cuba ini adalah bersumber dari internet, buku, majalah malah ada diantara resepi ini adalah resepi keluarga yang telah lama kami gunakan. 

Berikut adalah 25 resepi ayam yang bukan sahaja sedap, malah sangat mudah dan bakal menjadi kegemaran anda sekeluarga!

1. Resepi Ayam Goreng Kari

Ayam goreng kari sememangnya mempunyai tarikan tersendiri. Ianya kering tidak seperti kuah kari namun masih mempunyai sambal yang menarik. Sesuai dimakan bersama nasi panas, namun sedap juga dimakan bersama roti puri, roti putih, capati atau roti canai. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan utama

  • ½ ekor ayam saiz sederhana (potong sederhana besar,perasakan dengan garam dan kunyit))
  • 3 biji kentang dipotong baji

Bahan kisar (A)

  • 3 ulas bawang putih
  • 5 bawang merah
  • 10 biji cili padi
  • ½ inci halia

Bahan hiris dan tumis (B)

1 pelepah daun kari (atau segenggam daun kari kering)

  • 2 batang serai (tumbuk pecah)
  • 1 biji bawang holland/bawang besar 

Bahan C

  • 3 sudu besar rempah kari daging + 1 sudu besar kari ikan 
  • (Tambahkan sedikit air agar ia menjadi pes)

Kaedah

  • Mula-mula goreng ayam tetapi jangan terlalu garing, sekadar masak sahaja.
  • Kemudian goreng kentang sehingga ia garing dan empuk.
  • Ketepikan kedua ini.
  • Tumiskan bahan-bahan B sehingga ia naik bau.
  • Kemudian tumiskan bahan A pula dan goreng sehingga semua bahan layu dan berbau wangi.
  • Selepas itu masukkan bahan C dan masak sehingga rempah naik minyak, tambahkan garam,serbuk perasa dan gula secukup rasa.
  • Tambahkan sedikit air jika ia terlalu garing.
  • Masukkan ayam dan kentang, gaul sehingga semua bahan serasi dan Biarkan seketika agar semua bahan rempah meresapi ayam goreng dan kentang tadi.
  • Siap, sedia dihidangkan bersama nasi panas.

2. Resepi Ayam Masak Lemak ( Cara Tumis)

Resepi masak lemak cili api kali ini sedikit berbeza kerana menggunakan teknik mengoreng ayamnya terlebih dahulu. Ia akan menyebabkan isi ayam lebih keras tetapi sangat ‘juicy ‘ didalamnya.

Cara ini juga kan menyebabkan kuah tahan lebih lama serta lambat basi. Baiklah mari lihat bahan-bahan yang diperlukan didalam resepi ini.

Bahan utama

  • Seekor ayam saiz kecik (bersih dan potong kecil)

Bahan kisar

  • 6 ulas bawang merah
  • 1 labu bawang besar
  • Cili padi segenggam 
  • Kunyit hidup / serbuk kunyit 1 sudu teh
  • Halia (pilihan)
  • Serai 5- 6 batang

Bahan perasa

  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa
  • Asam kpg sikit
  • Daun kunyit/ cekur
  • Santan

Kaedah

  • Mula-mula gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam,serta goreng separuh masak,ketepikan.
  • Kemudian panaskan minyak menggunakan baki minyak goreng ayam tadi dan tumiskan bahan yang telah dikisar.
  • Tumis sehingga minyak pecah, tambah air jika perlu.
  • Masukkan santan, garam,serbuk perasa,asam keping dan gula jika perlu.
  • Tambahkan ayam, masak sehingga kuah pekat,pecah minyak dan akhir sekali tambahkan daun kunyit yang telah dihiris halus.
  • Siap untuk dihidang.

3. Resepi Ayam Bali

Ayam masak bali ini sekali pandang macam masak kicap tapi bukan. Ini kerana ia mempunyai sedikit pertambahan bahan seperi buah keras, daun pandan, kicap dan beberapa lagi bahan yang ditambah. Bahan-bahan seperti rempah 4 sekawan, serai pula membuat rasanya lebih sedap. Perbezaan bahan yang digunakan inilah yang menghasilkan satu aroma yang sangat menyelerakan.

Bahan utama

  • 1 ekor ayam potong kecil

Bahan tumis

  • Rempah 4 sekawan
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 2 batang serai dititik
  • 1 helai daun pandan (hiris pendek)
  • 4-5 biji buah keras (ditumbuk lumat)
  • 1 genggam cili kering ( gunting, rebus dan kisar dahulu)

Bahan kisar

  • 5 biji bawang besar
  • 1 labu bawang putih
  • 1 inci halia

Bahan perasa

  • 2 sudu besar air asam jawa
  • 2 sudu besar gula merah (gula biasa pun boleh)
  • 4 sudu besar kicap manis (kalau nak gelap lagi pun boleh)
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu besar sos tiram

Kaedah

  • Mula-mula goreng ayam separuh masak, asingkan.
  • Kemudian tumis rempah sekawan dan serai.
  • Masukkan bahan yang telah dikisar dan tumis hingga naik bau.
  • Masukkan cili kering yang telah dikisar, tumis sampai naik minyak.
  • Masukkan buah keras yang ditumbuk lumat dan kacau sebentar.
  • Masukkan air asam jawa, gula merah dan kicap.
  • Masukkan bawang hiris.
  • Masukkan ayam separuh goreng tadi. Kacau serata dan biarkan sebati bersama, biarkan agak-agak kering.
  • Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

4. Resepi Ayam Percik Tumis

Ayam percik ini biasanya boleh dibeli dipasar malam atau dibazar Ramadan. Namun sedikit maklumat menarik tentang jenis ayam percik ini ialah pada warnanya contohnya ayam percik Melaka mempunyai warna yang merah berbanding ayam percik sebelah Kelantan yang mempunyai warna yang putih.

Sudah tentu rasanya ada sedikit perbezaan. Namun waima apapun perbezaannya, ayam percik telah menambat hati ramai peminat makanan berasaskan ayam.

Bahan utama

  • Ayam saiz kecil dipotong 4, bersih dan kelarkan ia, ketepikan.

Bahan-bahan kisar

  • Sebiji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 batang serai  
  • 2 sudu cili kisar 
  • 1 cawan santan pekat
  • Garam,gula merah dan serbuk perasa secukup rasa.

Bahan lain

  • 1 batang serai yang ditumbuk pecah.
  • 1 keping asam keping saiz kecil

Kaedah

  • Bersihkan ayam dan perasakan dengan garam dan kunyit, gril didalam pemanggang ajaib hingga masak,ketepikan.
  • Sementara itu panaskan sedikit minyak tumiskan bahan yang telah dikisar tadi.
  • Tunggu sehingga naik bau, dan masukkan santan,asam keping,serai,garam, gula dan serbuk perasa.
  • Tunggu sehingga kuah menjadi pekat dan naik minyak.
  • Akhir sekali masukkan ayam yang telah digrill tadi. 
  • Biarkan seketika sehingga ayam meresapi kuah percik tadi.
  • Siap untuk dihidangkan .

5. Resepi Ayam Rendang Melimpah

Masakan rendang ayam mempunyai pelbagai versi. Ada rendang ayam yang menggunakan ayam tua yang direbus dengan air kelapa. Berbanding rendang ayam daging, ia mempunyai rasa yang lebih berlemak tetapi dagingnya agak liat jadi ia perlu direbus awal.

Resepi rendang ayam kali ini tidak perlu dimasak terlalu lama kerana ia menggunakan ayam daging yang biasa kita beli dipasar dan ia mempunyai banyak kuah berbanding rendang biasa.

Bahan utama

  • Seekor ayam saiz sederhana (potong kecil dan bersihkan)

Bahan-bahan kisar

  • 2 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 batang serai
  • 1 inci kunyit hidup/serbuk

Bahan-bahan lain

  • 1 senduk cili kering yang telah dikisar 
  • 1 keping asam keping
  • 2 batang serai ditumbuk hingga pecah
  • 1 ½ mangkuk santan pekat
  • 5 sudu kerisik (pilihan)
  • 2 helai daun kunyit (hiris halus)

Kaedah

  • Mula-mula potong kecil bahan-bahan yang hendak dikisar.
  • Kisar semua bahan hingga benar-benar lumat.
  • Masukkan ia kedalam kuali yang hendak digunakan.
  • Masukkan bahan-bahan lain kecuali ayam.
  • Masakkan ia hingga mengelegak baru masukkan ayam.
  • Masak hingga ia naik minyak, masukkan garam, serbuk perasa dan gula sedikit bagi menaikkan rasanya.
  • Akhir sekali taburkan hirisan daun kunyit untuk aroma yang lebih enak.

6. Resepi Ayam Perap BBQ

Bbq menggunakan ayam adalah antara satu kewajipan. Ini kerana ia amat sedap dan mudah untuk dibuat. Ayam perap bbq kali ini diperbuat dari ayam dibahagian kepak. Ia diperap menggunakan beberapa jenis sos.

Namun sebelum itu ia akan ditambah dengan bawang merah,bawang putih, halia dan serai. Serai inilah yang akan menaikkan aromanya. Namun begitu, sebenarnya ayam perap bbq yang asal tidak menggunakan serai, ia sengaja diubah suai agar dapat memenuhi selera orang kita.

Bahan utama

  • ½ kilo kepak ayam
  • Bahan-bahan perapan
  • 10 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • ½ inci lengkuas
  • 2 batang serai
  • 1 botol sos BBQ (apa-apa jenama)
  • 3 sudu besar madu
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 3 sudu besar mentega/margerin or minyak
  • 1/2 cawan kicap pekat manis (anggaran tidak terlalu banyak)
  • 2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • garam secukup rasa

Kaedah

  • Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas & serai
  • Gaul rata bahan kisar dengan semua bahan lain.
  • Tuangkan ke atas ayam dan perap selama 3 jam pada suhu bilik.
  • Grill ayam ini dengan minyak yang sikit sahaja, alihkan agar kedua belah bahagian agar ayam cukup masak.
  • Boleh juga ditabur biji bijan sebagai hiasan.

7. Resepi Rendang Ayam


Rendang ayam, seringkas namanya, bahan-bahannya juga ringkas. Rendang bagi anda yang tidak pernah mencuba adalah sejenis masakan orang Melayu.

Ia adalah masakan yang istimewa kerana lazimnya rendang di masak bagi meraikan hari yang istimewa seperti hari raya atau didalam kenduri kendara. Resepi rendang ayam kali ini amat sesuai bagi mereka yang masih baru dalam dunia masakan Melayu, berikut adalah bahan-bahannya.

Bahan-bahan

  • 1 ekor ayam saiz kecil ( dipotong kecil )

Bahan kisar

  • 15-18 tangkai cili kering
  • 1 1/ 2 biji bawang besar saiz sederhana 
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • 2 batang serai
  • 1 sudu besar serbuk kunyit

Bahan-bahan lain

  • 500ml santan pekat
  • 1 paket kecil kerisik
  • 2 batang serai ditumbuk pecah.
  • 1 keping asam keping
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1 ½ sudu teh garam
  • ½ sudu teh serbuk perasa
  • 1 helai daun kunyit (gulung dan hiris)

Kaedah

  • Bersihkan ayam dan lumur dengan garam dan kunyit. Ketepikan.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar didalam kuali yang sederhana besar.
  • Kemudian tambahkan bahan-banan lain sekali gus.
  • Renehkan ia hingga kuah mulai mengelegak.
  • Masukkan ayam dan terus masak sehingga naik minyak.
  • Akhir sekali masukkan daun kunyit yang telah dihiris tadi.
  • Gaul rata dan tutup api.
  • Siap.

8. Resepi Ayam Sambal Hijau

Ayam sambal hijau adalah sejenis masakan ayam yang menggunakan hanya cili hijau bersama cili api berwarna hijau. Cili direbus kemudian dikisar kasar dsn ditumis sehingga garing atau naik minyak.

Ini adalah salah satu inovasi dari ayam goreng berlada yang banyak ditemui di Negeri Sembilan. Mari lihat bahan-bahan yang diperlukan didalam resepi ini.

Bahan-bahan

  • Setengah ekor ayam (potong saiz sederhana)

Bahan-bahan rebus dan kisar

  • 6 biji cili hijau 
  • 15 tangkai cili padi berwarna hijau
  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • Garam, serbuk perasa dan gula

Kaedah

  • Mula-mula bersihkan ayam dan lumur dengan garam dan kunyit.
  • Kemudian goreng ayam tetapi jangan terlalu garing.
  • Ketepikan
  • Tumis bahan-bahan yang telah dikisar hingga naik minyak.
  • Tambahkan garam,serbuk perasa dan gula secukup rasa.
  • Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul agar semuanya rata dan sebati.
  • Siap, sedia untuk dihidangkan.

9. Resepi Kari Ayam Ringkas

Kari ayam atau daging lazimnya mempunyai bahan yang  ditumis dengan rempah empat beradik kemudian ditambah dengan pes kari daging yang sangat beraroma.

Namun resepi yang Madam bawakan kali ini ialah resepi kari ayam yang paling ringkas, ia sesuai bagi famili kecil atau hanya untuk makan seorang. Sesuai bagi mereka yang ‘newbie’ tetapi inginkan sesuatu yang mudah dan sedap bolehlah cuba resepi ini.

Bahan-bahan

  • Sebelah ayam saiz kecil (potong 8)
  • Bahan-bahan tumbuk
  • Bawang besar sebelah
  • Bawang putih 2 ulas
  • Halia 1 inci

Bahan-bahan hiris dan tumis

  • Bawang besar sebelah
  • Bawang putih 1 ulas
  • Daun kari sesudu
  • Bahan pes rempah
  • 1 peket serbuk kari daging
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • (Bancuhkan keduanya dengan air dan jadikan ia pes.)

Bahan-bahan lain

  • 1 biji kentang saiz besar belah 6
  • Satu peket kecil/satu kotak kecil  santan
  • Asam keping saiz kecil sekeping

Kaedah

  • Bersihkan ayam, perap dengan garam dan bahan-bahan tumbuk. Ketepikan.
  • Tumiskan bahan-bahan yang telah dihiris hingga naik bau.
  • Tumiskan bahan pes pula, hingga garing dan naik minyak.
  • Tambahkan sedikit air serta kacau agar ia sebati.
  • Masukkan ayam dan kentang dan biarkan hingga airnya kering.
  • Masukkan pula asam keping dan santan, tambahkan air jika terlalu pekat.
  • Teruskan masak sehingga kentang empuk dan ayam masak.
  • Tambahkan garam dan serbuk perasa secukup rasa.
  • Siap.

10. Resepi Ayam Goreng Kunyit

Resepi kali ini merupakan satu menu yang agak popular sejak kebelakangan ini. Ia biasanya ditemui digerai jalanan dan amat digemari ramai.

Menu ini agak simple kerana ia memerlukan bahan yang sangat minima. Ayam goreng kunyit adalah isi ayam digaul dengan garam dan kunyit. Tetapi isi ayam ini diperap dengan tepung jagung dan tepung beras agar ia lebih rangup. Cubalah resepi ini.

Bahan-bahan

  • Dada ayam 3 bahagian

Bahan perapan ayam

  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu besar tepung beras
  • 1 ½ sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Bahan-bahan hiris
  • Bawang besar 1 biji hiris bulat
  • Bawang putih 2 ulas hiris nipis
  • Cili api 6 biji dibelah dua atau buang  tangkai sahaja
  • Lobak merah 1 batang dihiris memanjang
  • Kacang panjang atau buncis dipotong memanjang

Kaedah

  • Mula-mula hiriskan isi ayam dan tambahkan dengan garam dan serbuk kunyit. Gaul rata dan biarkan ia sebati
  • Kemudian tambahkan bahan-bahan perapan dan biarkan ia seketika.
  • Menggunakan minyak yang banyak dan pastikan ia panas, goreng ayam hingga ia garing, kemudian toskan ia.
  • Menggunakan minyak yang sama, goreng bahan-bahan yang telah dihiris tadi, goreng tidak perlu terlalu garing.
  • Apabila telah siap, gaulkan ayam bersama bahan hiris yang telah digoreng tadi.
  • Siap untuk dihidang

11. Resepi Ayam Kukus ( Sedap Macam CRS)

Jika biasanya ayam untuk nasi ayam, ditambah kicap,sos tiram ,garam dan kunyit direbus kemudian digoreng atau dibakar. Namun ayam ini dimasak dengan begitu ringkas sekali. Sesuai juga bagi anda yang ingin makanan yang lebih sihat, cubalah resepi ini.

Jika di restoran, ayam ini dipanggil ‘ steam chicken’, walaupun ayam ini sebenarnya direbus sahaja. Ia berwarna cerah, isinya lebih berjus dan lebih lembut.

Bahan-bahan 

  • Dua keping ‘chicken thight’
  • Air untuk rebus ayam hingga tenggelam.
  • Daun bawang ½ ikat ( potong panjang)
  • Halia setengah inci (tumbuk pecah)
  • Minyak bijan satu sudu besar. 
  • Garam cecukup rasa.
  • Semangkuk air batu bersama air paip.
  • Minyak bijan 2 sudu besar + 1 sudu teh garam (sebagai gris)

Kaedah

  • Bersihkan ayam, buang lemak dan bulu-buku ayam (jika masih ada). Jangan buang kulit ayam ya. Lumurkan dengan garam dan ketepikan.
  • Apitkan kedua keping ayam tersebut, dicelahnya letakkan daun bawang dan halia yang telah ditumbuk pecah tadi. Ikat kedua keping ayam ini agar rasa dari daun bawang dan halia tadi menyerapi ayam tersebut.
  • Didihkan air didalam periuk yang agak tinggi, apabila air telah mendidih masukkan ayam yang telah diikat tadi. Tambahkan lagi daun bawang, halia dan sesudu besar minyak bijan.
  • Rebus agak lama sehingga ayam masak betul. Lebih kurang 30 minit dengan api yang sederhana. Tambah air panas jika perlu.
  • Apabila ayam telah masak, alih dan segera masukkan kedalam mangkuk berisi air batu tadi. Biarkan selama 1 minit. Ini bertujuan memerangkap jus ayam didalamnya.
  • Alihkan ayam dan beruskan dengan minyak bijan yang telah dicampur garam tadi. Ayam akan nampak lebih lazat dan baunya juga lebih harum.
  • Untuk menghidang anda bolehlah hiris ayam kepada beberapa bahagian dahulu agar mudah untuk dimakan.
  • Siap.

12. Resepi Sup Ayam Jernih Mudah

Kali ini resepi sup ayam yang dikongsi ialah versi sup ayam ringkas. Ia ringkas kerana mempunyai bahan-bahan asas sahaja. Untuk memasaknya pula sangat cepat.

Ayam perlu dipotong kecil dan gunakan bahagian bertulang. Anda boleh juga guna bahagian isi namun jangan letak terlalu awal jika tidak suka isi menjadi keras. Tambahkan kentang dan daun sup atau sedikit lada sulah untuk memantapkan rasanya lagi.

Bahan-bahan 

  • Setengah ekor ayam
  • Bawang besar ½ labu
  • Bawang putih 2 ulas 
  • Halia satu inci
  • Kentang 2 biji dipotong empat
  • Daun sup ½ ikat 
  • Daun bawang ½ ikat
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih

Kaedah

  • Bersihkan ayam dan potong kecil. Kisar bawang besar bawang putih dan halia tadi.. 
  • Bersihkan kentang dan belah empat. 
  • Tumiskan bahan-bahan kisah dan tunggu sehingga naik bau. 
  • Masukkan air satu jug kecil. Masukkan kentang segara supaya ia cepat empuk. 
  • Tunggu kuah menggelegak kemudian baru masukkan ayam yang telah diletakkan garam. Gaul hingga semuanya sebati.
  • Tambah air jika perlu. 
  • Tunggu hingga mengelegak dan kentang empuk baru masukkan serbuk lada putih,  garam dan serbuk perasa secukupnya. Tutupkan api.
  • Hidangkan bersama daun sup,daun bawang dan bawang goreng jika anda suka.
  • Siap

13. Resepi Ayam Goreng Berempah

Resepi kali ini, adalah menu kegemaran anak-anak bila berkunjung ke kedai mamak. Kadang-kadang tertanya bagaimana mamak menghasilkan gorengan yang sebegitu.

Ia bermula dengan saiznya yang besar. Kulitnya pula rangup. Isinya ‘juicy” dan warnanya yang sedikit merah itu. Resepi ini adalah olahan Madam sendiri menghasilkan ayam goreng ala mamak,cubalah!

Bahan utama

  • Sebelah ayam yang telah dipotong
  • Garam dan serbuk kunyit secukupnya

Bahan-bahan kisar

  • Bawang besar sebelah
  • Bawang putih 2 ulas
  • Halia seinci
  • Serai 1 batang
  • Segenggam cili kering yang telah direbus dan dibuang bijinya

Bahan-bahan salutan tepung

  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung beras
  • 1 sudu besar serbuk  cili
  • 1 sudu besar serbuk kari daging
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 1 sudu teh serbuk bawang merah (pilihan)
  • 1 sudu teh serbuk bawang putih (pilihan)
  • 1 sudu teh serbuk mix herb (pilihan)
  • Segenggam daun kari
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

Kaedah

  • Bersihkan ayam dan perasakan dengan garam dan serbuk kunyit
  • Kisar bahan-bahan kisar dan tuang ke dalam bekas berisi ayam tadi.
  • Biarkan lebih kurang 30 minit
  • Campur kesemua bahan-bahan salutan tepung dan ambil 2 sudu besar campuran ini dan campurkan dengan ayam yang diperap tadi.
  • Panaskan minyak didalam kuali, dengan suhu yang sederhana.
  • Sedia untuk mengoreng, salut ayam dengan tepung salutan sehingga meliputi keseluruhan bahagian ayam,
  • Goreng ayam dengan api yang sederhana, kerana dikhuatiri ayam garing diluar tetapi mentah didalam.
  • Boleh ditoskan sebelum dihidangkan.
  • Siap

14. Resepi Ayam Masak Merah

Resepi kali ini ialah menu regu untuk nasi minyak dan nasi hujan panas. Ia sangat enak jika dimakan bersama nasi – nasi berperisa ini. Nasi -nasi berperisa seperti nasi hujan panas ini enak dimakan dengan lauk-lauk tertentu sahaja. Contohnya ialah ayam masak merah ini lah,ditambah pula dengan acar timun dan nenas, bertambah-tambah nasinya. Resepi ini amat mudah, dan ia juga sesuai bagi anda yang masih baru dengan dunia masakan tetapi ingin sesuatu yang mudah tetapi sedap.

Resepi Ayam Masak Merah (Resepi Paling Mudah )

Bahan-bahan

  • Ayam segar ½ ekor
  • Serbuk .kunyit
  • Garam

Bahan-bahan kisar

  • Cili kering 1 mangkuk kecil (gunting dan rebus)
  • Bawang besar ½ labu
  • Bawang putih 2 ulas
  • Halia ½ inci

Bahan-bahan perisa

  • Bawang besar 1 labu dihiris-hiris bulat.
  • Cili Sos 2-3 sudu makan
  • Susu cair ½ tin
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

Kaedah

  • Pertama kisarkan cili kering bersama bahan-bahan kisar lain.Ketepikan
  • Perasakan ayam dengan garam dan kunyit secukupnya.
  • Goreng ayam tetapi jangan terlalu garing. Ketepikan.
  • Kurangkan minyak dan tinggalkan dalam anggaran 2-3 sudu minyak tersebut.
  • Tumiskan bahan-bahan kisar tadi,tunggu sehingga cili naik minyak.
  • Apabila minyak telah naik, tambahkan garam, serbuk perasa dan sedikit gula jika mahu. Kacau biar rata.
  • Kemudian masukkan pula bawang besar yang telah dihiris tadi.
  • Masukkan sekali ayam yang telah digoreng tadi juga. Gaul, tambah air jika perlu
  • Apabila semua telah mesra tambahkan susu cair.
  • Gaul agar semua mesra. Tutup api.
  • Ada yang taburkan kacang pes jika mahu,tetapi saya tidak pernah tambah kacang kerana anak-anak tidak mengemarinya.

15. Resepi Ayam Buttermilk

Ayam buttermilk ini sebenarnya berasal dari India. Ayam yang digoreng kemudian dimasakkan kuahnya secara berasingan. Sesetengah tempat menggunakan krim masakan,yogurt ayamnya pula digrill seperti ayam tandori.

Jadi kuahnya kering dan bukanlah seperti ayam buttermilk yang biasa didapati kini. Ayam buttermilk jika dibeli direstorsn agak mahal, jadi apakata anda cuba sendiri resepi ini.

Bahan utama

  • 300g isi ayam perapkan dengan sedikit garam dan sedikit serbuk kunyit.

Bahan-bahan salutan tepung

  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung beras
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk sulah

Bahan-bahan hiris dan tumis

  • 1 labu bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 5 biji cili api
  • 2 pelepah daun kari

Bahan kuah

  • 150ml susu cair

Kaedah

  • Celupkan ayam dengan separuh bahan-bahan salutan. Biarkan seketika.
  • Kemudian sebelum goreng dengan minyak panas,celup dahulu ayam tadi dengan baki tepung tadi. Asingkan.
  • Kemudian tumiskan bahan-bahan hiris tadi. Tumis sehingga layu.
  • Masukkan bahan untuk kuah dan tambahkan sedikit air. Tambahkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
  • Akhir sekali curahkan bahan kuah diatas ayam tadi.
  • Siap

16. Resepi Ayam Masak Kicap

Ayam masak kicap biasanya kita masak bila kehabisan idea untuk pilih menu. Resepi ini bagaimanapun paling popular di Malaysia dan Indonesia, kerana ia sangat mudah.

Ketika Madam menuntut dikolej, menu ini adalah kegemaran Madam. Sebab ia dimasak sehingga kicap menjadi karamel dan sedikit kering manakala isinya pula tidak keras. Apakata anda cuba sendiri resepi ini.

Bahan utama

  • 300g Isi ayam digaul dengan garam dan serbuk kunyit.

Bahan-bahan hiris

  • Bawang besar 1 labu
  • Bawang putih 2 ulas
  • Halia ½ inci
  • Cili api 5 batang

Bahan-bahan perasa

  • Kicap manis
  • Kicap masin

Kaedah

  • Sediakan kuali,panaskan minyak dalam satu senduk.
  • Goreng ayam sehingga separuh masak. Jangan terlalu garing.
  • Keluarkan minyak yang berlebihan tetapu ayam itu biarkan dalam kuali yang sama.
  • Tumiskan bahan-bahan hiris sehingga layu.
  • Masukkan kicap manis sedikit kicap masin. Kadarnya perlu agakkan tukang masak ya.

17. Resepi Crunchy Chicken Drummet Ala Ayamas

Resepi kali ini sangat enak dimakan sebagai snek. Juga sebagai hidangan dalam majlis-majlis keraian sebagai ‘finger food’. Crunchy ini mirip seperti Chicken Drummet Ayamas.

Kami sekeluarga juga suka goreng ayam ini sebagai bekalan semasa berjalan jauh, kerana boleh dimakan begitu saja. Hidangkan bersama salad dan sos mayonis sangat sesuai. Jom lihat resepinya!

Bahan utama

  • Kepak ayam sekilo dipotong dua.

Bahan-bahan perapan

  • Serbuk pasti sedap
  • Gula1 sudu makan
  • Serbuk cili 2 sudu makan
  • Serbuk kari daging 2sudu makan
  • Serbuk bawang 1 sudu teh
  • Serbuk bawang putih 1 sudu teh
  • Serbuk halia satu sudu teh
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Tepung salutan
  • ½ cup tepung beras
  • ½ cup tepung gandum
  • 1tsp baking soda
  • 1 tsp baking powder
  • Serbuk cili
  • Serbuk lada putih
  • Serbuk lada hitam ( ikut suka)
  • Telur 2 biji<dipukul² manja

Kaedah

  • Perap ayam selama setengah jam. Kemudian masukkan ayam dlm bancuhan telur Kemudian gaul dgn tepung biarkan lagi 20min.
  • Setengah jam sebelum menggoreng salut ayam dengann tepung semula.Kalau telur ada lebih celup dgn telur dulu then salut ngan tepung
  • Jumlah keseluruhan proses ini ialah 2 kali sahaja.Gorengkan tenggelam dlm minyak sederhana panas. Api jangan terlalu panas, supaya ayam tidak mentah didalam.

18. Resepi Ayam Masak Semur

Resepi ini adalah resepi kami sejak turun temurun. Kami biasa menyediakannya sebagai hidangan utama bersama ulam-ulaman. Sebenarnya ayam semur ini biasanya dihidang bersama nasi ambeng. Sejenis menu orang jawa,yang biasa didapati semasa kenduri. Nasi ambeng dibekal pada tetamu sebelum pulang kerumah masing-masing. Didalamnya ada beberapa lagi lauk sampingan. Memang tujuan nasi ambeng itu mendapat segalanya diperlukan dalam bekalan itu,agar tetamu pulang dengan hati yang gembira. Agar majlis itu mendapat berkat dan keredhaan illahi, bila tetamu gembira. Berikut adalah bahan-bahannya yang anda boleh cuba nanti.

Bahan-bahan utama

  • Seekor ayam sederhana dipotong  16 (atau terpulang). Perap dengan garam dan kunyit.
  • Goreng tapi jangan terlalu garing.

Bahan-bahan kisar

  • 5 senduk cili kering yang dikisar.
  • Bawang merah 5 ulas
  • Bawang putih  3 ulas
  • 1 sudu besar jintan halus
  • 1sudu besar jintan kasar
  • 1 inci belacan

Bahan-bahan B ( Hiris dan Tumis)

  • 2 labu bawang besar  dipotong baji
  • 3 ulas bawang putih (hiris)
  • 1 inci halia (hiris)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji ketumbar
  • Kicap manis secukup hitam
  • Sekeping asam keping saiz besar.

Kaedah

  • Tumiskan bahan-bahan B sehingga naik bau. Kemudian tumis bahan A hingga naik minyak. Tambahkan  asam keping sekeping.Tambahkan kicap secukup hitam. Tambah sedikit air, lebih kurang secawan.
  • Masukkan ayam yang telah digoreng. Gaul rata dengan sambal yang telah masak sebati. Biarkan sehingga semuanya mesra. Bawang besar juga boleh diletak bersama ayam jika suka.
  • Boleh tambah kentang yang dipotong baji dan digoreng terlebih dahulu mengikut citarasa.
  • Akhir sekali tambah sedikit garam, jangan terlalu banyak kerana masakan ini telah ditambah kicap.

19. Resepi Ayam Rendang Pulau Pinang

Resepi ini adalah resepi yang bagi Madam mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Rendang ini sangat unik kerana ia tidak menggunakan santan atau asam.

Malah ia juga sangat mudah dimasak dan cepat juga. Resepi ini enak dimakan dengan nasi panas, timun dan ikan masin. Sesuai juga untuk jamuan-jamuan ‘port luck’ bersama rakan sekerja. Sekali anda mencuba anda pasti suka akan rasanya, malah ia juga amat mudah untuk dimasak.

Bahan utama

  • Ayam setengah ekor  dipotong sederhana

Bahan A (ditumbuk)

  • Bawang besar saiz sederhana 1 labu.
  • Bawang putih 2 ulas
  • Halia seinci
  • Lada hitam 1 sudu kecil

Bahan B ( Perap)

  • Cili kering 1 periuk kecil digunting , direbus dan dikisar.
  • Cuka 1 sudu besar
  • Kicap manis secukupnya ( ikut hitam)

Bahan B (Tumis)

  • Bawang besar 2 biji dibelah empat
  • Bawang putih 2 ulas dihiris nipis
  • Daun kari 2 pelepah disisir
  • Serai 2 batang diketuk

Kaedah

  • Perapkan ayam dengan bahan A dan B , biarkan 30minit.
  • Panaskan kuali, letak minyak 1 senduk. Tunggu minyak panas.
  • Tumis bahan-bahan C hingga naik bau.
  • Kemudian masukkan ayam yg telah diperap tadi
  • Masukkan 1/2 cawan air
  • Renehkan hingga pekat dan pecah minyak, baru tambahkan garam dan sedikit ajinomoto.

20. Resepi Ayam Masak Kurma

Ayam masak kurma adalah sejenis masakan yang berasal dari keturunan mamak. Mereka biasanya menghidangkan ia didalam nasi kandar.

Nasi kandar sebenarnya ialah nasi campur namun oleh kerana ia mula-mula diperkenalkan oleh golongan mamak, maka tidak hairanlah lauk pauk yang ditawarkan ialah yang mempunyai kandungan rempah yang tinggi seperti kari daging, kari ayam,kari ikan dan kurma. Bagi anda yang kebuntuan idea untuk masak, apakata cuba resepi ini.

Bahan-Bahan

  • 1 kg ayam
  • 4 sudu besar rempah kurma ayam
  • Rempah tumis (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang)
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 biji tomato (dipotong 4)
  • 2 biji kentang
  • 1 biji lobak merah (pilihan)
  • sedikir air asam jawa

Bahan untuk dikisar

  • 5 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawan merah
  • 2 cm halia

Kaedah

  • Panaskan minyak
  • Masukkan bahan kisar, rempah tumis dan rempah kurma ayam, kacau sehingga pecah minyak
  • Masukkan ayam kacau sebati dan biar masak seketika
  • Masukkan kentang dan lobak merah serta sedikit asam jawa
  • Apabila kentang & lobak merah sudah empuk, masukan santan
  • Kacau sebati dan biarkan mendidih
  • Masukkan tomato, garam & gula secukup rasa

21. Resepi Hati Ayam Masak Hitam

Hati ayam, pedal dan jantungnya sering kali antara organ ayam yang dibuang. Kebanyakkan orang enggan mengoreng hati ayam kerana ia akan meletup letup dalam kuali terutama apabila ia mula garing. Hati ayam sangat tinggi protein dan merupakan sumber vitamin A yang sangat banyak seperti vitamin B-12, riboflavin, folat dan besi.

Ia juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah darah seperti ibu mengandung atau yang berpenyakit anemia. Resepi ini harus dicuba kerana disebalik rasa hati ayam yang tidak digemari sesetengah orang, rasanya resepi amat sedap, anda harus mencubanya!

Bahan utama 

  • 1/2 kg hati ayam

Bahan kisar

  • 4 ulas bawang merah 
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 mangkuk kecil cili kering (dikisar)
  • Halia ½ inci
  • 1 sudu teh jintan manis

Bahan perasa

  • Asam keping
  • 5 helai daun limau purut
  • Sedikit kicap manis
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Ajinomoto (jika suka)

Kaedah

  • Tambahkan garam dan kunyit pada hati ayam dan goreng separuh masak, asingkan.
  • Tumis semua bahan-bahan yang telah dikisar sehingga ia naik minyak.
  • Masukkan asam keping.
  • Kemudian masukkan sedikit demi sedikit kicap dan mengikut warna hitam yang amda inginkan,
  • Masukkan pula hati yg telah digoreng.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  • Akhir sekali tambahkan daun limau purut sebagai tarikan aromanya.
  • Siap.

22. Resepi Ayam Masak Garam

Resepi kali ini merupakan sebuah resepi masakan kaum bangsa India. Beruntungnya negara kita, kerana kita bukan sahaja mempunyai pelbagai kaun didalamnya. Tetapi kita juga boleh hidup dengan harmoni, buktinya masakan ini adalah olahan masakan orang India yang sangat sesuai dengan selera orang Melayu. Menggunakan bahan yang mudah ditemui anda seharusnya mencuba resepi ini dan rasailah keunikkanya.

Bahan-bahan

  • ½ kg ayam (bersihkan dan potong kecil)

Bahan hiris 

  • 1 sudu besar halba campur 
  • 1 sudu teh jintan kasar

Bahan tumis

  • Bawang putih 5 ulas
  • Bawang besar 1 ulas
  • Cili kering 10 batang 
  • Tomato 1 biji
  • Serbuk kunyit 
  • Garam dan serbuk perasa secukup rasa
  • Daun kari 2 pelepah atau segenggam.

Kaedah 

  • Mula-mula bersihkan ayam dan perasakan dengan sedikit garam.
  • Hiris semua bahan tumis iaitu bawang putih, bawang besar dan tomato. Manakala cili kering hanya sekadar gunting dibelah untuk dibuang bijinya.
  • Tumiskan halba campur bersama jintan kasar hingga naik bau.
  • Selepas itu tumiskan semua bahan hiris kecuali daun kari.
  • Masukkan serbuk kunyit dan garam serta serbuk perasa. Ini dibuat supaya bawang dan bahan tumis lain mesra dan sebati.
  • Masukkan ayam, masak sehingga ia masak. Masukkan sedikit jika perlu.
  • Atau tutup dengan penutup agar ayam mengeluarkan airnya sendiri.
  • Akhir sekali masukkan daun kari, masak hingga masakan menjadi kering.
  • Siap.

23. Resepi Ayam Dried Chili

Ayam dried chili atau nama lain Ayam Cili Kering merupakan sejenis menu yang mirip masakan orang Cina. Ia hanya menggunakan bahan yang ringkas. Antara bahan yang digunakan ialah bawang putih, halia dan sudah tentu cili kering. Masakan ini sangat mudah dan cepat disediakan, sesuai bagi anda yang sangat sibuk tetapi inginkan sediakan sesuatu yang lazat tetapi cepat. Amat sesuai bagi keluarga kecil atau pasangan yang baru berkahwin.

Resepi Ayam Dried Chili (Cepat Dan Sedap)

Bahan-bahan

  • ½ kg ayam (bersihkan dan potong kecil-kecil)
  • Gaul dengan sos tiram dn tepung jagung,perap 15 minit
  • Goreng jangan garing, sekadar separuh masak supaya ia lebih juicy

Bahan A

  • 3 biji bawang putih
  • Halia besar ibu jari (Tumbuk bahan keduanya)
  • 10 btg cili kering (Gunting dan buang bijinya)

Bahan B

  • 3 sudu sos cili
  • 2 sudu kicap
  • 2 sudu sos tiram
  • (Satukan semua dlm bekas)

Bahan C

  • 2 biji bawang besar
  • 10 batang cili api

Kaedah

  • Perapkan ayam bersama sos tiram dan tepung jagung secukupnya, biarkan seketika.
  • Goreng ayam hingga masak dan garing.
  • Kemudian kurangkan minyak gorengan ayam tadi dan tumiskan bahan A iaitu bawang putih dan halia yg telah ditumbuk tunggu naik bau, baru masukkan cili kering pula.
  • Selepas itu masukkan bahan B iaitu pelbagai jenis sos yang telah disatukan didalam satu bekas. Kacau sehingga ia sebati.
  • Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng tadi.
  • Gaul agar ia rata, akhir sekali masukkan bahan C.
  • Tutup kuali sebentar agar bawang mulai layu.
  • Siap.

24. Resepi AyamPop Krup Krap

Ayampop krup krap, diperbuat dari isi ayam yang disalut dengan tepung dan oat. Ia menghasilkan rasa yang rangup, tetapi sangat berjus didalamnya. Ayampop ini adalah salah satu inovasi pada lambakan resepi ayam yang terdapat didalam pasaran.

Ia amat sesuai dijadikan snek atau ‘finger food’ didalam majlis keraian. Mendapat nama krup krap dari bunyi kunyahan apabila makan ayampop ini, resepi ini amat sesuai jika anda ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan 

  • 500gm dada ayam – potong dadu dan toskan
  • 3 ulas bawang putih – tumbuk lumat
  • ½ sudu teh garam
  • ¼  sudu teh serbuk lada hitam

A

  • 1 cawan tepung gandum
  • ½ sudu teh serbuk kari / paprika (kalau nak rasa pedas sikit)

B

  • 3 biji telur

C

  • 2 cawan nestum / oat

Kaedah

  • Gaul rata ayam dengan bawang putih, garam dan serbuk lada hitam. Perap selama 30minit @ 1jam.
  • Satukan dan gaul rata tepung gandum dan serbuk kari dalam mangkuk.
  • Pukul telur dalam mangkuk lain.
  • Masukkan nestum dalam mangkuk lain.
  • Celup ayam dalam telur. Lepastu salut dengan tepung. Celup dalam telur sekali lagi. Last sekali salut dengan nestum.
  • Ulang sehingga ayam habis.
  • Masak dalam minyak yang panas dan api sederhana sehingga warna keemasan.

25. Resepi Ayam Panggang Yogurt

Ayam panggang yogurt adalah ayam yang dipanggang menggunakan oven, oleh itu ia sangat mudah untuk dimasak.Selain dari itu ia juga masakan yang sangat sihat kerana ia tidak menggunakan banyak minyak.

Yogurt juga sangat baik untuk kesihatan kita terutama untuk perut kita. Walaupun menggunakan yogurt ayam ini tidak mempunyai rasa masam sebaliknya ia mempunyai rasa yang lemak, oleh itu anda harus mencubanya.

Bahan utama

  • 2 keping peha ayam (bahagian whole leg)
  • Bahan-bahan sapuan
  • 1 botol kecil – plain yogurt
  • 2 sudu besar olive oil (minyak biasa pun boleh)
  • 2 sudu besar serbuk paprika
  • 1 sudu besar lada hitam (tumbuk2 bg halus skit)
  • 1 sudu besar dried thyme
  • 1 sudu besar dried rosemary
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ inco halia
  • 1biji – lemon (ambil jus nya)
  • Sedikit Garam, gula & chicken stock

Kaedah

  • Mula-mula satukan semua bahan sapuan dlm satu bekas, gaul rata, perasa kan dgn garam dan gula.
  • Panaskan oven,sementara tu sediakan ayam. letak ayam dlm tray, sapu bahan sapuan keatas ayam.
  • Kemudian masukkan dlm oven, bakar suhu 200-230 selama 45minit.
  • Semasa membakar, sapukan bahan sapuan berulang2 setiap 20minit.
  • Cucuk ayam untuk pastikan ia masak sekata.
  • Siap, bolehlah dihidangkan bersama sos lada hitam.

Untuk mendapat rasa ayam yang sedap, pertama ayam yang digunakan haruslah ayam yang masih baru disembelih. Untuk mengenali ayam yang segar, salah satu ciri-cirinya ialah dagingnya ada sedikit jernih apabila diletak ditepi cahaya. Selain dari itu daging ayam yang segar apabila dicucuk ianya tidak lembek. Dan ciri terakhir ayam yang segar ialah warnanya mestilah merah jambu dan bukannya kuning dan pucat. Ayam segar boleh didapati dipasar pagi atau terus dari pembekal, oleh kerana harganya ialah harga terkawal, sangatlah berbaloi jika anda kepasar semata-mata untuk membeli ayam yang segar. Goreng pun sedap!

Kesimpulan

Begitulah, 25 resepi ayam yang Madam secara peribadi telah cuba. Ia bukan sahaja sedap malah sangat mudah. Sesuailah bagi anda yang sentiasa sibuk, namun menginginkan menu yang sihat dan sedap untuk dihidangkan pada keluarga tercinta. Resepi ayam masak semur adalah resepi warisan keluarga Madam, jadi diharap anda sudi mencuba resepi tersebut.

Terima kasih kerana melawati laman web kami jangan like dan share supaya dapat dimanafaat oleh orang lain. Selamat mencuba!

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *