Resepi Udang Petai Tempoyak (Masakan Tradisional)

Resepi kali ini merupakan sebuah resepi masakan tradisional yang menggunakan dua bahan utama yang telah wujud sejak berzaman lamanya. Bahan-bahan yang dimaksudkan ini ialah tempoyak dan petai. Kedua bahan ini mempunyai bau yang sangat kuat, namun kombinasinya boleh menjadikan ia masakan yang sedap dan faktor kepada ‘bertambah-tambah nasi dimakannya’.

Namun kali ini tempoyak dan petai ini dimasak bersama udang, selain udang ia juga sedap dimakan bersama ikan bilis. Baiklah, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan resepi kali ini.

Resepi Udang Petai Tempoyak (Masakan Tradisional)
Bahan utama

  • 20 ekor udang sederhana besar (bersihkan mengikut cara anda)
  • 1-2 papan petai (kopek dan ambil isinya)

Bahan-bahan lain 

  • 4 ulas bawang merah
  • 3-5 sudu besar tempoyak (ikut selera masing-masing)
  • 5-10 biji cili padi (anggaran ikut tahap kepedasan yang dikehendaki)
  • Air mengikut tahap kepekatan kuah yang dikehendaki
  • 1 inci kunyit hidup atau 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 2 helai daun kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa

Kaedah

  • Kupas kulit udang, basuh dan toskan.
  • Tumbuk atau kisar bawang merah, cili padi dan juga kunyit hidup.
  • Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama tempoyak dan juga air. Biar hingga menggelegak dan kuah likat mengikut tahap yang anda gemari.
  • Kecilkan api dan masukkan udang, petai, garam dan gula sekiranya perlu. Masukkan juga daun kunyit yang telah dibasuh dan telah dihiris nipis atau disiat dua sahaja. 
  • Tambahkan garam,serbuk perasa dan gula jika perlu.

Jika anda tidak suka makan makanan yang pedas, anda boleh tukar cili api dengan cili merah. Tempoyak yang paling sedap ialah yang buatan sendiri, namun anda juga boleh membelinya dipasar pagi, beli dari kedai yang menjual sayur-sayuran kampung. Sekian dulu resepi kali ini, cubalah sendiri masakan kampung ini ya. Selamat mencuba!

Resepi – resepi lain yang menarik

Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada resepi ini, ada pelbagai variasi resepi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini bersama rakan anda ya.

Resepi Tempoyak Terung Pipit

Resepi Sambal Tempoyak Bilis Petai

Resepi Ikan Bakar Tempoyak

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *