|

10 Kumpulan Resepi Sambal Garing Berhantu (Crunchy dan Tahan Lama)

Masing-masing mesti tengah cari idea menu masakan yang simple, bahan mudah dapat, jimat dan yang penting sedap untuk dilawan makan dengan sepinggan nasi dan sebiji telur goreng. Selain itu, ramai orang mahukan lauk yang tahan lama dan boleh bawa dalam perjalanan jauh. Kami ada resepi yang sesuai keinginan anda. Lauk ini amat mudah dimasak, senang simpan boleh tahan berhari-hari.

Siapa yang tidak pernah makan sambal bilis goreng? Mesti semua orang pernah makan bukan? Lauk ini memang paling mudah dan tahan lama. Kalau mahu simpan masukkan ke dalam bekas kedap udara, boleh bawa balik asrama, bercuti ke luar negara, bahkan pergi haji pun boleh. Yang paling menariknya lauk ini tidak perlu simpan dalam peti, senang bukan?

Tips lauk ini tidak mudah basi ialah bila ingin makan gunakan sudu kering dan tutup rapat selepas dibuka. Tapi, jangan tanya berapa lama boleh tahan sambal ini? Kerana sambal ini memang tidak sempat tahan lama sebab laku keras dibelasah oleh ahli keluarga. Wangi dia menyelerakan, cedok nasi panas-panas makan dengan sambal garing sedap terangkat. Tidak hairan sehari boleh habis satu bekas.

Resepi Sambal Garing Ikan Kembung

Imej via Facebook

Sempena menyambut kemerdekaan negara tahun ini. Sukacitanya Cik Bunga Zunika berkongsi resepi sambal garing ikan kembung (bukan sambal bilis), tapi sambal garing anak ikan kembung. Sambal ini rangup, pedas, sesuai makan dengan nasi atau bubur. Sudah lama Cik Bunga buat niaga sambal garing ikan kembung ini. Jom tengok resepinya.

Bahan A :

  • Ikan bilis kembung 1 kg (basuh bersih kemudian goreng garing).

Bahan B (blend bahan untuk sambal sira) :

  • Cili kering pedas 200 gram,
  • Bawang kecil 10 biji,
  • Bawang putih selabu.

Bahan C :

  • 500 gram cili kering yang dipotong-potong dan dicuci bersih.

Cara-cara :

  1. Mula-mula, tumis guna minyak yang banyak, agak-agak sambal sudah garing elok baru masukkan garam sesuai rasa.
  2. Kemudian masukkan secawan air asam jawa/limau dan gula sebanyak 1.5 kg.
  3. Seterusnya, masukkan lebih kurang satu senduk makan sos cili dan satu senduk sos tomato.
  4. Memang kena banyak gula, kalau tidak nanti sambal tidak rangup.
  5. Bila cili berbusa atau berbuih tanda gula mencukupi, kemudian masukkan anak ikan bilis kembung goreng tadi. Gaul-gaul sampai sebati dan rata.
  6. Biarkan sejuk terlebih dahulu. Masa ini letak dalam penapis supaya minyak tadi boleh turun ke bawah, supaya sambal tidak basah atau terlalu berminyak.
  7. Bila ikan yang disira gula tadi sudah rangup, boleh blend guna blender kering supaya tekstur nya kasar sedikit tapi jangan hancur, asingkan.
  8. Kemudian goreng bahan C dalam minyak yang panas.
  9. Siap goreng boleh terus blend macam ikan tadi.
  10. Akhir sekali gaulkan bahan dengan bilis tadi.

Resepi Sambal Bilis Garing/Kering Salted Egg

Imej via Facebook

Lauk sambal ikan bilis kering menjadi kegemaran sekeluarga. Cik Zainor Shima Ihsan berkongsi resepi sambal bilis kering salted egg. Ada sesiapa yang suka makan sambal ikan bilis kering? Jom kita kongsi resepi sambal ini. Makan dengan nasi panas atau bubur nasi bersama telur goreng sarang/telur masin pun sedap. Sesuai untuk bekalan tambahan bila nak travel jauh. Kiranya lauk kecemasan kalau tidak rajin masak lauk-lauk yang lain.

Bahan-bahan :

  • 500 gram cili kering kerinting pedas @ cili kering besar kurang pedas. Campur dengan cili padi pun boleh.
  • 500 gram ikan bilis kopek.
  • Bawang goreng segera.
  • Gula halus/gula pasir (dikisar).
  • Garam bukit (pilihan).
  • Serbuk cheese (pilihan).
  • 2 ketul kuib ayam.
  • Serbuk secukup rasa.
  • Serbuk salted egg.
  • Minyak masak untuk goreng cili kering, ikan bilis, kuib ayam.

Cara-cara :

  1. Gunting cili kering kecil-kecil. Tapis dalam bekas jaring untuk buang biji cili. Basuh cili kering sekejap dan toskan hingga kering.
  2. Kemudian goreng cili dalam minyak panas sekejap, goreng garing. Jangan sampai hangus ya.
  3. Kemudian, guna hand blender atau blender kering. Kisar bersama sedikit garam. Biar sederhana halus sehingga menjadi cili flakes.
  4. Ikan bilis digoreng sampai garing. Bahagi kepada 2 bahagian. Kisar sederhana halus dan kasar.
  5. Seterusnya, panaskan minyak. Bila minyak sudah panas, ambil 4 camca besar minyak goreng tadi, masukkan 2 ketul kiub ayam dan hancurkan sehingga sebati dengan minyak.
  6. Kacau hingga sebati. Guna api paling kecil sekali.
  7. Masukkan cili kering blender, ikan bilis goreng, bawang goreng, gula halus, serbuk perasa, serbuk salted egg, serbuk cheese (terpulang ingin letak atau tidak).
  8. Sentiasa gaul semua bahan tadi dalam 5-8 minit untuk sebatikan bahan-bahan supaya tidak hangus. Tutup api dan sejukkan terlebih dahulu sebelum masuk dalam bekas.
  9. Ada rasa pedas, manis dan masin. Sambal ikan bilis pun bau wangi cheese/salted egg.

Resepi Sambal Garing Labu Crunchy

Imej via Facebook

Bila cakap tentang labu manis, sebenarnya macam-macam jenis masakan yang boleh kita hasilkan dengannya. Makanan sunnah dan mempunyai khasiat yang sangat banyak. Banyak produk boleh dihasilkan daripada labu, salah satunya sambal garing labu crunchy. Kami kongsikan resepi sambal garing labu daripada Ira Darielia, sedap makan dengan nasi panas-panas, sedap juga meratah macam itu sahaja.

Bahan-bahan :

  • Labu,
  • Cili kering,
  • Cili padi,
  • Bawang besar,
  • Sedikit belacan,
  • Garam dan gula,
  • Ikan bilis,

Cara-cara :

  1. Mula-mula, labu dipotong beberapa bahagian, dibuang kulit kemudian dibasuh. Toskan dan cincang macam buat kerabu mangga. Jangan sagat kerana labu tadi akan mengeluarkan banyak air dan apabila digoreng menjadi terlalu halus.
  2. Kemudian tumbuk cili kering dan cili padi (ikut tahap pedas yang anda suka), bawang besar, sedikit belacan, garam dan gula. Boleh jugak letak penambah rasa.
  3. Seterusnya panaskan minyak, masukkan labu yang dicincang tadi, taburkan sedikit gula di dalam kuali, biar dalam 5 minit kemudian masukkan pes yang ditumbuk tadi, goreng sehingga garing kemudian toskan. Goreng di dalam minyak yang banyak.
  4. Ikan bilis pula digoreng asing, kemudian digaulkan sekali bersama sambal garing labu yang sudah siap digoreng.
  5. Boleh dimakan dengan nasi atau ratah macam itu sahaja.

Resepi Sambal Bilis Goreng Garing dengan Kiub Pati Ikan Bilis

Imej via Facebook

Resepi yang mengecurkan sangat. Pekena dengan nasi panas boleh makan 2 pinggan. Lupakan diet anda seketika bersama resepi daripada CikAyu Masfaliza Ab Jaafer yang berkongsi di laman Facebook. Sambal Nampak cantik dan menyelerakan. Tak pakai lauk lain pun tidak mengapa.

Bahan-bahan :

  • Buang biji cili,
  • Basuh cili,
  • Jemurkan cili sehingga betul-betul kering.

Cara-cara :

  1. Campurkan cili kering dengan cili kering jenis yang besar untuk kurangkan pedas.
  2. Gorengkan cili dengan sedikit minyak menggunakan api yang kecil. Goreng sehingga cili menjadi rapuh dan garing.
  3. Masukkan cili ke dalam pengisar dengan sedikit gula halus.
  4. Seterusnya, panaskan minyak dan masukkan kiub pati ikan bilis Adabi. Tunggu sehingga kiub hancur dan berbuih-buih. Tutupkan api, agak-agak minyak sudah agak sejuk, masukkan cili kisar tadi. Hidupkan api kecil saja. Kerap kacau kerana dikhuatiri cili akan hangus.
  5. Kalau sudah nampak kering sangat boleh letakkan minyak sedikit. Jangan berminyak sangat.
  6. Taburkan sedikit perisa hilal dalam sambal kita.
  7. Bila sambal sudah betul-betul sejuk, gaulkan dengan ikan bilis kita tadi. Gaul sampai rata.
  8. Masukkan pula bawang putih krispi, bawang putih ini jadi pelemak sambal garing kita.

Resepi Sambal Garing Ikan Bilis Mata Biru

Imej via Facebook

Bila beli sambal bilis garing asyik tidak puas makan, maka kita buatlah sendiri. Buat sendiri boleh makan banyak. Resepi daripada Syarah Amanina sangat mudah. Paling seronok bila dapat makan dengan nasi pepanas tak pandang sekeliling sudah.

Bahan-bahan :

  • Ikan bilis mata biru,
  • Cili kering,
  • Kiub pati ikan bilis,
  • Sedikit minyak masak.

Cara-cara :

  1. Cili kering dibasuh untuk hilangkan debu. Kemudian cepat-cepat toskan sebab tidak mahu basah semasa digoreng, nanti tidak garing. Jika sudah dibasuh, gunting dan buang biji.
  2. Seterusnya, goreng ikan bilis sampai garing. Kalau ingin cepat rangup guna bilis yang sudah siap kopek seperti bilis mata biru.
  3. Selepas goreng ikan bilis, buang minyaknya. Tinggalkan sedikit untuk goreng cili kering. Goreng sampai bunyi garing juga ya.
  4. Bila cili kering sudah siap goreng, taburkan kiub ikan bilis dan boleh blend kering terus. Kaedah ini paling mencabar. Kena sentiasa buka and kacau untuk bagi semua hancur.
  5. Bila sudah siap blend, masukkan balik dalam kuali. Pastikan tidak ada minyak dalam kuali.
  6. Campurkan sekali ikan bilis tadi. Gaulkan sampai sekata.
  7. Jangan lupa masukkan garam sedikit dan gula secukup rasa. Kalau ingin lagi sedap, tabur bawang goreng.

Resepi Sambal Bilis Garing/Kering

Imej via Facebook

Ada sesiapa yang suka makan sambal ikan bilis kering yang jual di Petronas tidak? Ini ada resepi sambal kering sama macam itu dan insyaallah sedap. Boleh buat stock makan dengan nasi dan jual pun boleh. Sis Aien Alaam berkongsi resepi sambal garing untuk bekalan mengerjakan haji di laman Facebook. Boleh tambah tempe goreng atau tahu goreng kalau suka.

Bahan – bahan :

  • Cili kering 500 gram,
  • Ikan bilis halus 500 gram digoreng garing (boleh lebih jika suka),
  • Bawang goreng 2 bungkus (opsional),
  • Kiub ayam 2 ketul,
  • Gula halus secukup rasa,
  • Garam/serbuk perasa secukup rasa.

Cara-cara :

  1. Goreng cili kering dalam minyak panas lebih kurang dalam 10 saat ataupun sehingga cili kering rangup. Jangan sampai hangit nanti cili jadi pahit.
  2. Kemudian tumbuk/blender kering cili yang telah digoreng.
  3. Panaskan dalam 3 sudu minyak masak. Setelah minyak panas, masukkan 2 ketul kiub ayam dan hancurkan sehingga sebati dengan minyak. Jangan sampai hangit. Guna api paling kecil.
  4. Masukkan cili kering tumbuk, ikan bilis goreng, bawang goreng, gula, garam dan serbuk perasa secukupnya.
  5. Gaul semua bahan tadi lebih kurang 2 minit dan tutup api. Siap.

Resepi Sambal Bilis Rangup

Imej via Facebook

Resepi seterusnya yang ingin kami kongsikan ialah resepi sambal garing bilis daripada Jaja Noriza di laman Facebook. Selepas dibuat memang rangup berhari-hari. Yang pasti memang tidak guna air dalam sebab itulah sambal ini rangup. Jika terbanyak minyak masa menggoreng tidak mengapa, anda hanya perlu kaup sambal bilis yang sudah digaul dengan semua bahan-bahan tadi dan toskan dengan penapis. Kemudian lapik dengan tisu dapur dalam bekas kedap udara dan tuang sambal bilis tadi.

Bahan-bahan :

  • Ikan bilis dibasuh dan ditoskan hingga kering,
  • Bawang kecil dihiris halus (basuh bawang dulu kemudian hiris),
  • Bawang putih pun dihiris,
  • Cili kering dibasuh dan keringkan,
  • Asam keping, garam dan gula,
  • Tepung beras, tepung jagung dan tepung gandum @ Tepung Tempura Bestari.

Cara-cara :

  1. Gaul ikan bilis dengan ketiga-tiga tepung tadi. Saya lebihkan tepung beras daripada tepung yang lain. Sukatan agak-agak saja InshaAllah tetap garing bila betul cara gorengnya.
  2. Gaulkan juga bawang kecil dan bawang putih dengan tepung-tepung tadi.
  3. Panaskan api sederhana besar, goreng bawang kecil dan bawang putih dulu berasingan. Kena kawal api ya supaya tidak hangus. Agak-agak sudah golden brown boleh angkat dan toskan.
  4. Kemudian gorengkan ikan bilis hingga garing dan toskan.
  5. Cili kering tadi digoreng juga dalam 2-3 minit hingga garing tapi jangan sampai hangus nanti pahit. Kemudian kisar cili kering tanpa air.
  6. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis cili kering tadi.
  7. Kemudian masukkan garam dan gula dan juga asam keping. Gula lebihkan sedikit. Kacau sampai gula dan garam larut.
  8. Akhir sekali, tutup api dan sejukkan sambal. Bila sudah sejuk baru masukkan bahan-bahan goreng tadi dan kacau rata.

Resepi Sambal Garing Bilis Petai

Imej via Facebook

Resepi seterusnya yang tidak kalah menarik ialah sambal garing bilis petai. Resepi ini beza dengan resepi-resepi sambal garing lain, Justeru, citarasa petai akan menambah lagi kelazatan sambal ini. Adakah anda makin tertarik untuk cuba? Ayuh tengok resepi daripada Nurul Hawa Nadila Sari di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Cili kering buang biji dan digoreng,
  • Ikan bilis digoreng,
  • Kiub ikan bilis halus,
  • Petai disagat halus dan digoreng.

Cara-cara :

  1. Blend kering cili kering yang sudah digoreng.
  2. Tumiskan kiub ikan bilis dengan sedikit minyak masak, setelah kiub tersebut lerai masukkan ikan bilis, petai dan cili kering yang diblend kering tadi.
  3. Akhir sekali satukan dan gaul bagi rata.
  4. Masukkan dalam bekas dan tutup rapat bila sudah betul-betul sejuk.

Resepi Sambal Garing Bunga Kantan Ikan Bilis

Imej via Facebook

Resepi seterusnya tidak kalah sedap berbanding resepi lain. Resepi kali ini menggunakan bunga kantan pula, boleh bayang bagaimana wanginya bau dan menyelerakan sambal ini? Sambal ini tahan lama sesuai untuk bekalan sahur. Resepi daripada Zaihanififie Abu Bakar di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 2 kuntum bunga kantan dihiris halus,
  • 1 genggam ikan bilis digoreng garing,
  • Minyak untuk menggoreng,
  • Garam dan gula.

Bahan-bahan kisar:

  • 2 ulas bawang merah,
  • 2 ulas bawang putih,,
  • 1 labu bawang besar
  • Segenggam cili padi, kalau tidak suka pedas boleh kurangkan.

Cara-cara :

  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan minyak yang sama, masukkan bahan-bahan kisar. Kacau rata.
  3. Apabila cili dan bawang sudah pecah minyak, masukkan bunga kantan yang telah dihiris nipis.
  4. Gaul rata dan pastikan bahan-bahan selalu dikacau supaya tidak hangus, kecilkan api.
  5. Tambahkan garam dan gula.
  6. Setelah kering. Tutup api dan biarkan ia sejuk.
  7. Kemudian masukkan ikan bilis yang sudah digoreng garing awal-awal tadi dan gaul rata.

Resepi Sambal Bilis Kering

Imej via Facebook

Resepi penutup kita dikongsikan oleh Rafidah Mian di laman Facebook. Puas hati dapat buat sendiri. Ada yang jual tapi harganya mahal sangat. Baik masak di rumah saja.

Bahan-bahan :

  • Bawang besar,
  • Cili kering,
  • Ikan bilis,
  • Garam dan gula secukup rasa,
  • Bawang besar dikisar kasar (tanpa air),
  • Cili kering direbus dan digoreng separuh masak. Kemudian dikisar kasar (tanpa air),
  • Ikan bilis dicuci bersih dan goreng garing. Kemudian diramas agar dia pecah-pecah kasar.

Cara-cara :

  1. Mula-mula, tumis bawang besar sampai separuh garing.
  2. Kemudian masukkan cili yang dikisar kasar. Goreng dengan api kecil kacau hingga garing.
  3. Seterusnya masukkan garam dan gula secukup rasa. Tutup api.
  4. Tunggu sejuk baru masukkan ikan bilis. Kacau rata. Simpan dalam bekas kedap udara.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi sambal garing ikan bilis, kami juga menulis resepi lain yang tidak kalah menarik. Jemput baca dan mencubanya. Terima kasih telah berkunjung ke laman web kami. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Similar Posts