Resepi Lemak Cili Api Daging Salai Belimbing Buluh

Antara masakan popular di Negeri Sembilan ialah daging salai masak lemak cili api. Masak lomak cili api nama yang diberi kerana bahan utama dalam masaka ini ialah cili api dan juga santan yang  berlemak. Ada banyak versi masak lemak cili api dengan bahan bersalai ini seperti ikan keli salai, itik salai malah ada juga landak salai.Tetapi dalam resepi kali ini saya gunakan daging salai bersama belimbing buluh yang memberi sedikit rasa masam tapi sangat ngam dengan masakan daging salai ini. Idea ini pun saya dapatkan dari penjual daging salai itu sendiri. Baiklah berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • Segenggam cili api dikisar halus
  • 2 keping asam keping
  • 2 batang serai ditumbuk pecah
  • 300g daging salai (hiris sederhana tebal)
  • 10-15 biji belimbing buluh siap belah dua
  • 500ml santan kara
  • Serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Cukup rasa maggi jika suka

Kaedah

  • Tuang cili api yang telah dikisar dalam periuk dan tambah lagi air.
  • Buka api dan tambah asam keping dan serai.
  • Tambah air lagi secukupnya.
  • Bila ia telah mengelegak masukkan daging salai yang telah siap dihirs tadi.
  • Biarkan semua bahan ini sebati dahulu baru masukkan santan.
  • Jika kuah terlalu pekat tambah lagi air dan juga serbuk kunyit.
  • Selepas itu baru masukkan belimbing buluh.
  • Akhir sekali masukkan garam dan cukup rasa maggi.
  • Jika kuah terlalu pekat tambah lagi air kerana santan 500ml agak pekat.
  • Begitu juga jika ia kurang kuning boleh tambah serbuk kunyit lagi.
  • Siap!

Daging salai perlulah dibeli dipasar kerana aromanya sangat berbeza berbanding jika kita buat sendiri. Daging salai adalah cara orang dulu untuk mengekalkan rasa daging yang sedap tanpa menyimpan dalam petiais. Ianya tidak dibakar sebaliknya diasapkan hingga ia masak dan kering tetapi masih lembut dibahagian dalam. Jenis kayu yang digunakan untuk mengasap itulah yang memberi aroma yang berbeza. Selamat mencuba! 

Similar Posts