Resepi Maggi Goreng Ala Mamak ( Pasti Jadi)
Maggi mee cepat dimasak, sedap dimakan.Begitulah lirik lagu iklan maggi mee. Ini zaman Madam anak-anak dulu. Bila tengok iklan maggi dulu mesti minta emak masakkan. Masa beredar, kini giliran Madam masak untuk anak-anak. Walaupun selalu makan dikolej, balik rumah tetap mahu ibu masakkan maggi.
Sebab air tangan emak sedapnya lain. Setuju? Maggi mee antara makanan kegemaran orang Malaysia. Khususnya Maggi kari. Maggi sup, maggi kerabu,maggi murtabak dan paling terkenal maggi goreng. Maggi goreng kedai mamak.
Maggi goreng kedai mamak ini sedapnya lain macam betul tak? Tapi sebenarnya rasa dia dipengaruhi oleh teknik mengoreng mamak. Api dikedai mamak lazimnya lebih besar. Kuali yang digunakan juga besar dan jenis tebal. Jadi gorengan tidak hangit walaupun apinya besar. Itulah rahsia maggi goreng kedai mamak.
Bagaimanapun, kita masih boleh mencuba hasilkan sendiri maggi goreng ala mamak ini. Mari cuba resepi yang Madam paparkan hari ini. Ini adalah percubaan Madam selepas mencuba beberapa teknik.
Resepi Maggi Goreng Ala Mamak
Bahan-bahan
- Sepeket maggi kari
- 1 biji telur
- Sayur sawi secukupnya
- Lobak merah (pilihan)
- Rencah udang atau sosej (pilihan)
Kaedah
- Rebus mee maggi hingga empuk, alih dan terus alirkan bawah air paip.Tujuannya supaya mee tidak terlebih masak.
- Goreng rencah dulu separuh masak.
- Panaskan minyak,masukkan sayur ( pilihan)
- Pecahkan telur. Kacau agar telur hancur.
- Terus masukkan mee, buat sebelum telur itu kering.
- Taburkan serbuk rencah atas mee. Gaul mesra dan masukkan rencah udang atau sosej tadi.
- Gaul semua hingga mesra.
- Siap. Boleh dihidang terus.
Maggi goreng mamak ini lazimnya simple sahaja. Ia tidak mengandungi sebarang rencah.Hanya sayur dua jenis. Jadi terpulang pada anda untuk tambah rencah atau tidak. Ia juga tiada tambahan sos atau kicap. Cuma biasanya mamak hidangkan dengan hirisan timun dan cili sos. Selain dari itu boleh juga cuba resepi-resepi lain juga ya.