Resepi Tradisional, Moden & Terkini

Koleksi 10 Resepi Sarapan Pagi Orang Malaysia Senang Buat Sendiri Dirumah

Sarapan pagi merupakan antara menu paling penting dalam kehidupan seharian kita. Ia adalah santapan pertama yang diambil biasanya diwaktu pagi selepas bangun tidur dan sebelum ke tempat kerja. Suatu masa dahulu sarapan yang diambil oleh orang kita ialah yang berat dimana ia merangkumi keperluan karbohidrat seperti nasi atau ubi atau pulut. Ini kerana mereka perlu tenaga untuk membuat kerja berat seperti bertani, berladang atau ke sawah bendang. 

Oleh itu tidak hairanlah pelbagai resepi yang bersesuaian dengan budaya setempat dicipta bukan sahaja bagi mengisi perut dan memenuhi selera tapi paling penting membekal tenaga yang diperlukan sebelum bekerja.

Dalam perkongsian kali ini kami telah kumpulkan sepuluh resepi sarapan pagi orang Malaysia yang boleh anda sediakan sendiri dirumah anda sebagai santapan untuk keluarga anda.

1) Resepi Nasi Lemak Ayam Berempah

Resepi ini merupakan antara yang menjadi kegemaran jika berkunjung ke gerai untuk sarapan pagi. Namun kerana harganya tidaklah murah dan bayangkan harga yang perlu dibayar bila makan bersama keluarga, oleh itu apakata anda cuba sendiri resepi ini dan sediakan untuk keluarga anda.

Nasi Lemak
Bahan-bahannya

  • 4 cawan beras biasa – dibasuhkan dan ditoskan
  • 2 cawan santan + 4 cawan air 
  • 2 helai daun pandan – disiat dan disimpul
  • 1 inci halia – ditumbuk hingga pecah 
  • Minyak masak 1 sudu besar
  • Garam dan gula secukup rasa

Kaedah 

  • Beras dibasuh bersih dan ditoskan.
  • Gaul dengan garam,gula dan minyak masak. Ketepikan sebentar. 
  • Campurkan 2 cawan santan bersama air 4 cawan.
  • Masakkan nasi menggunakan rice cooker seperti biasa.
  • Selepas nasi masak, karih menggunakan senduk agar santan dan bahan-bahan sebati dan wangi.

Ayam Berempah 

Bahan Kisar

  • Halia
  • Lengkuas
  • Serai
  • Lada kering anggaran 5 batang (gunting dan rendam)
  • 1biji telur

Bahan kering

  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu besar rempah kari
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk jintan halus
  • 1 sudu besar serbuk jintan kasar 
  • 1 sudu besar  garam halus
  • Daun kari 2 pelepah
  • Kelapa parut
  • 1 ekor ayam saiz sederhana (potong 16)

Kaedah

  • Bersihkan ayam dan tos.
  • Perapkan ayam dengan semua bahan iaitu bahan kering dan bahan kisar.
  • Goreng menggunakan minyak yang banyak.
  • Goreng sehingga masak dan garing.
  • Angkat dan toskan minyak.
  • Sedia untuk dihidangkan.

2) Resepi Roti Canai Homemade

Resepi berikut merupakan salah satu menu paling digemari khususnya orang Malaysia yang pelbagai bangsa ini. Roti canai biasanya dimakan bersama kuah dal dan sambal ini sebenarnya boleh anda cuba sendiri malah bekukkan untuk stok dirumah, berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 kg tepong gandum
  • 3 sdb minyak masak
  • 2 sdb susu pekat
  • 1 1/2 sdt garam

Kaedah 

  • Uli dgn air biasa jek. 
  • Uli dan uli sampai doh kental dan lembut. 
  • Buat besar mcm bola golf dan lumur dgn minyak sapi. Perap 4 jam baru lah menebar.

3) Resepi Lontong

Resepi seterusnya ini merupakan masakan yang dimakan bersama nasi himpit, ianya mempunyai sayur yang tinggi dan juga santan yang membantu untuk mengenyangkan perut. Ia telah dikongsikan oleh Rosnah Ahmad dan mendapat sebanyak 445 perkongsian di Facebook beliau dan berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Terung – 5 batang (potong serong)
  • Tauhu – 20 bji ( 1 biji potong 8 ) – digoreng
  • Tempe – 6 ketul ( potong nipis2) – digoreng
  • Suhuun – 3 pek kcik – rendam
  • Pucuk – 6 pek sederhana – rendam
  • Kacang panjang – 1/2kg – (potong serong)
  • Lobak merah – 6 batang ( potong memanjang)
  • Kobis – ikut suka nak banyak mana
  • Halia- seinci
  • Serbuk kunyit
  • Garam
  • Cili merah – 5 bji ( hiris nipis)
  • Bawang besar – 3 labu ( hiris nipis )
  • Santan sawit jenama khalis pek besar – 4 pek
  • Udang kering – segengam (rendam)
  • Bawang putih – 1 labu (hiris nipis)

Cara – cara memasak:

  • Tumis bawang putih, bawang besar, halia , udang kering , cili merah sehingga layu dan tumis bersama kunyit.
  • Masukkan semua sayur tumis skit…
  • Masukkan santan. Ikut pekat yang kita nak. Letak air sedikit demi sedikit dan garam.
  • Apabila sudah menggelegak, masukkan suhun, tempe & tauhu.
  • Rasa secukupnya. Masukkan sayur dan pucuk. Masak shingga sayur empuk.

4) Resepi Soto Ayam Sambal Kicap

Resepi ini dikongsikan oleh Afy AL Habibi di laman Facebook milik beliau dan telah mendapat banyak perkongsian. Soto adalah masakan berkuah yang sedap dan berasal dari masakan orang Jawa, ia paling sedap dimakan bersama nasi impit ataupun bihun dan juga sambal kicap bagi mendapatkan rasa pedasnya. Berikut adalah  bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

Soto Ayam:

  • Minyak
  • 3 sekawan
  • Sebatang serai
  • 1/2 biji bawang besar kuning
  • 1 biji bawang merah (dikisar)
  • 1 ulas bawang putih (dikisar)
  • 3 sudu rempah sup Babas
  • Air
  • Ayam
  • 1 kiub ayam Knorr
  • Garam
  • Meatball

Sambal Kicap:

  • 2 1/2 genggam cili padi hijau dan merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Kicap lemak Jalen
  • Asam limau kasturi
  • Secubit gula dan perasa

Cara – cara memasak:

Soto ayam:

  1. Panaskan sedikit minyak, masukkan 3 sekawan, sebatang serai yang diketuk dan 1/2 biji bawang besar kuning.
  2. Masukkan bahan yang telah dikisar dan masukkan 3 sudu rempah sup Babas.
  3. Tumis sehingga garing dan masukkan secawan air terlebih dahulu. Kacau bahan tumis dan air menjadi sebati.
  4. Masukkan beberapa ketul ayam. Campurkan bahagian ayam yang bertulang dan isi dada.
  5. Biarkan seketikan dan tambahkan air sebanyak 1 jag besar.
  6. Masukkan 1 kiub ayam Knorr dan garam secukup rasa apabila kuah sup mula mendidih.
  7. Gunakan api perlahan sahaja dan masukkan bebola daging.
  8. Tutupkan api selepas kuah mendidih.
  9. Kuah soto sudahpun siap!

Sambal kicap:

  1. Gorengkan 2 genggam cili padi hijau dan merah serta 3 ulas bawang putih.
  2. Setelah goreng, tambah lagi 1/2 genggam cili padi.
  3. Masukkan kicap Jalen sehingga paras cili.
  4. Perahkan sebiji asam limau kasturi tanpa biji.
  5. Kisar sehingga lumat. Siap!

Soto ayam dan sambal kicap:

  1. Taburkan bahan hiasan seperti:
    • Isi ayam yang sudah dicarik
    • Daun sup
    • Taugeh
    • Kacang tanah goreng
    • Bawang goreng
    • Bebola daging
    • Asam limau kasturi
    • Bergedil
    • Suhun goreng

5) Resepi Bihun Goreng Biasa

Resepi seterusnya ini ialah satu satu cara mudah untuk menyediakan sarapan pagi untuk keluarga dimana-mana jua kerana ia tahan lama dan resepi yang dikongsikan kali ini antara cara mudah untuk menyediakan sarapan pagi untuk keluarga anda. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan Bahan: 

  • 1 bungkus bihun – direndam hingga lembut & tos
  • 1 mangkuk karot – hiris memanjang
  • 1 mangkuk kubis
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar kicap lemak manis Jalen
  • Garam, gula dan serbuk perasa jika suka
  • Minyak masak 

Bahan Tumbuk

  • 3 ulas bawang merah 
  • 3 ulas bawang putih 
  • 1/2 genggam udang kering – direndam 

Kaedah

  • Masukkan bahan tumbuk dan kacau rata sehingga naik bau. Masukkan pula cili kisar dan kacau rata. Kecilkan api dan masak sehingga cili naik minyak.
  • Masukkan sedikit air, sos tiram, kicap, gula dan garam secukupnya. 
  • Masukkan lobak merah dan kobis.
  • Kemudian masukkan bihun kacau rata sehingga bihun lembut dan empuk.
  • Goreng lama hingga semua bahan sebati.
  • Tutup api dan hias dengan cili potong, daun bawang dan bawang goreng jika suka.
  • Siap!

6) Resepi Apam Lenggang

Resepi apam lenggang ini merupakan resepi orang utara dan ia sesuai dimakan sebagai sarapan pagi. Biasanya ia dicicah dengan sambal atau kuah santan. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

A (Kisar)

  • Nasi 1 cawan 
  • Air 1 ½ cawan

B

  • 1 ½ cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung gandum
  • ½ cawan gula pasir 
  • 1 sudu kecil yis
  • 1 cawan santan
  • 1 biji telur
  • Sedikit garam

Kaedah

  • Mula-mula kisarkan nasi dan air sehingga halus. Ketepikan.
  • Kemudian campurkan bahan B iaitu tepung,gula,yis,telur dan santan. 
  • Kacau sebati, baru masukkan garam.
  • Kacau lagi agar sama rata.
  • Perapkan bancuhan sekurang-kurangnya 1 jam
  • Dalam kuali, sapukan minyak masak guna tisu.
  • Panaskan kuali dan ambil satu senduk kecil adunan.
  • Kemudian lenggang kan kuali agar adunan itu melebar.
  • Masak sehingga tepinya kuning.
  • Angkat dan terus gulung, tidak perlu terbalikkan ia.
  • Hidangkan susu manis atau sambal tumis mengikut selera anda.
  • Siap!

7) Resepi Lontong Goreng

Resepi seterusnya ini telah dikongsikan oleh Azlan Syazani Adanan dan mendapat banyak perkongsian di media sosial. Ia merupakan cara menyediakan lontong goreng, yang amat digemari. Malah untuk menyediakan ia juga tidaklah sukar, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Ketupat/Nasi Himpit
  • Cili kering- 1 senduk besar
  • Udang kering- 2 sudu besar
  • Bawang merah kecil- 5 biji
  • Bawang putih- 5 ulas
  • Telur- 2 biji
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa/chicken stock
  • Minyak masak
  • Sayur-sayuran (taugeh/lobak merah/kacang panjang mengikut cita rasa)
  • Ayam/udang/sotong/daging (mengikut citarasa)

Nota:

  • Boleh tambahkan kicap/sos tiram sedikit jika anda suka.
  • Jika tiada udang kering, boleh gunakan ikan bilis.

Cara – cara memasak:

  1. Kisar cili kisar bersama bawang putih, bawang, bawang merah dan udang kering.
  2. Tumis bahan kisar dengan minyak sehingga pecah minyak.
  3. Pecahkan telur dan masukkan ke dalam bahan tumisan.
  4. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa.
  5. Masukkan ayam/udang/sotong/daging.
  6. Masukkan sayur-sayuran.
  7. Masukkan ketupat/nasi himpit.
  8. Gaul rata dan sekiranya perlu tambah sedikit air

8) Resepi Nasi Kerabu

Resepi berikut merupakan resepi sarapan pagi dari pantai timur yang kini banyak terdapat diserata Malaysia. Nasi kerabu sememangnya mengenyangkan kerana ia dilengkapi dengan ulam-ulam atau kerabu bersama sambal kelapa dan beberapa bahan lain, berikutt adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

Nasi Biru

  • 1 cawan nasi
  • 8 bunga telang (atau pewarna biru 2-3 titis)
  • Garam dan gula secukup rasa.

Sambal Ikan

  • Seekor ikan pelaling, rebus dan keluarkan isinya
  • Kelapa parut sebelah
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil gula
  • 4 bawang merah
  • 1 cm halia, dikupas
  • 1/4 sudu kecil serbuk lada putih

Sambal cili

  • 3 biji cili kering, direndam dengan air panas untuk melembutkan
  • 4 bawang merah, dikupas
  • 300 ml santan
  • 1 keping asam keping
  • 1 batang serai
  • 1/2 sudu kecil gula
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil sos ikan bilis

Cara memasak nasi biru

  • Cuci beras dan rendam bersama bunga telang atau pewarna biru.
  • Tambahkan garam dan gula sedikit, masak seperti biasa.

Cara memasak sambal ikan

  • Goreng kering kelapa parut di dalam kuali hingga kekuningan.
  • Tumbuk halia dan bawang merah, masukkan kelapa parut dan bahan-bahan lainnya, tumbuk hingga gaul dengan baik. Siap ketepikan.

Cara memasak sambal cili

  • Kisar cili bersama bawang hingga halus.
  • Kemudian masak ia bersama santan, asam keping dan serai.
  • Masak dengan cara reneh hingga naik minyak,tambahkan gula garam dan sos ikan.
  • Siap, ketepikan.

9) Resepi Nasi Dagang Terengganu

Resepi berikut juga adalah resepi sarapan dari pantai timur khususnya Trengganu, merupakan nasi dagang dimana ia diperbuat dari beras khas yang terasa seperti pulut dan dihidang bersama kuahnya, resepi kongsikan oleh Nor Khomariah Norrohman‎ di Facebook. berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan untuk Nasi :

  • 4 cawan beras Jati,
  • 1 cawan beras pulut, kalau pkai beras siam atau beras wangi tidak perlu tambah beras pulut.
  • 3 cawan santan cair ditambah sedikit gula dan garam,
  • 1-1½ cawan santan pekat ditambah sedikit garam,
  • 1 sudu halba,
  • 2 ulas bawang merah,
  • ½ inci halia.

Cara-Cara Kukus Nasi :

  1. Beras dicampur dengan beras pulut direndam selama 8 jam atau semalaman (kalau tidak sempat 2-4 jam pun OK).
  2. Kukus beras dan pulut tadi selama 20 minit.
  3. Angkat dan kaup semua nasi ke dalam bekas yang agak besar dan digaulkan dengan separuh santan cair sehingga rata. Biar seketika hingga semua santan meresap. Masukkan lagi santan sehingga meresap. Elok habiskan semua santan cair. Biar sekejap.
    Kukus semula selama 20 minit lagi.
  4. Sementara itu hiris bawang dan halia halus-halus. Masukkan di atas nasi dalam kukusan dan juga buah halba.
  5. Angkat nasi untuk kali kedua dan arunkan dengan santan pekat hingga rata. Tidak perlu habiskan jika nasi nampak sudah elok lembutnya.
  6. Boleh dihidangkan.

Cara Kukus Ikan Aya@Tongkol :

  • 1 ekor ikan aya@tongkol,
  • 3 keping asam keping,
  • Sedikit garam,
  • Air secukupnya.

Cara-cara :

  1. Bersihkan ikan aya dan potong.
  2. Masukkan dalam periuk dan masukkan asam keping, garam dan air.
  3. Air hendaklah melebihi paras ikan.
  4. Masak dengan api sederhana sehingga air tinggal lebih kurang ¼.
  5. Lagi lama ikan dimasak lagi sedap, isi ikan pun lebih pejal.

Bahan-bahan Kuah :

  • 4 sudu besar cili dimesin,
  • 7 biji bawang merah*,
  • 3 ulas bawang putih*,
  • 1inci halia*,
  • 1inci lengkuas*,
  • 1inci kunyit hidup* ( * diblend ).
  • 3 sudu besar rempah gulai nasi dagang. Boleh guna rempah cap bunga ros kalau tidak ada rempah khas untuk gulai nasi dagang,
  • 2/3 cawan santan fresh/pekat,
  • 4 cawan air,
  • Air asam jawa,
  • Sedikit belacan (optional),
  • Nisan/gula Melaka,
  • Garam,
  • Sedikit gula,
  • 7-9 biji cili padi,
  • Minyak.

Bahan Tumis :

  • 1 batang kulit kayu manis,
  • 5 kuntum bunga cengkih,
  • 3 biji buah pelaga,
  • 1 kuntum bunga lawang.

Cara-cara :

  1. Panaskan minyak dalam periuk dan masukkan bahan penumis. Biarkan hingga wangi.
  2. Masukkan cili yang telah dimesin. Goreng hingga cili menjadi garing.
  3. Masukkan bahan-bahan yang diblend. Masak hingga sedikit kering.
  4. Masukkan rempah gulai.
  5. Masukkan ½ cawan air dan masak lagi hingga garing dan pecah minyak.
  6. Masukkan lebihan air dan masak hingga mendidih.
  7. Masukkan santan dan renihkan hingga kuah mendidih sambil sesekali mengacau.
  8. Masukkan air rebusan ikan, jus asam jawa, belacan, nisan/gula melaka, garam dan gula. Masak hingga kuah sedikit pekat.
  9. Masukkan ikan yang sudah dimasak tadi. Renih lagi kuah hingga kepekatan yang disukai.
  10. Sekiranya kuah terlalu pekat dan tidak pecah minyak bolehlah ditambah air panas dan masak semula hingga keluar minyak.
  11. Masukkan cili padi dan masak lagi sekejap dan baru padamkan api.

10) Resepi Nasi Goreng Kampung

Resepi terakhir didalam koleksi kali ini dikongsikan oleh Fyza Hamdan‎ di laman Facebook, ialah antara nasi goreng yang paling sedap dan digemari dimana sahaja. Ianya menggunakan lebihan nasi semalam dan cara penyediaannay juga amat ringkas. Bagi anda yang sedang mencari idea hidangan sarapan pagi untuk keluarga aanda, erikut adlaah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan :

  • Bawang merah kecil 4 biji,
  • Bawang putih 2 biji,
  • Cili api hijau 8-10 biji (ikut tahap kepedasan),
  • Belacan sedikit,
  • Ikan bilis segenggam.

Cara-cara :

  1. Tumbuk semua bahan di atas.
  2. Jika sudah ditumbuk, tumis semua bahan dengan minyak yang panas.
  3. Bila sudah agak garing, bubuh sedikit sos ikan dan sos tiram. Kacau sebati.
  4. Masukkan nasi dan perasa. Kacau.
  5. Bila sudah sebati baru masukkan ikan bilis dan kangkung.
  6. Siap.

Itulah dia 10 resepi sarapan pagi yang paling digemari oleh orang Malaysia dan boleh disediakan dari ruang dapur anda sendiri. Resepi-resepi ini telah dicuba sendiri dan ternyata bukan sahaja sedap malah tidaklah sukar untuk disediakan. Anda juga boleh menambah pendapatan keluarga jika dapat hasil masakan anda mendapat permintaan. 

Apapun jangan lupa kongsikan koleksi ini bersama agar dapat memberi idea kepada orang lain juga. Selamat mencuba!

Resepi Menarik Lain

Terima kasih kerana melayari laman web kami. Disini ada pelbagai koleksi resepi yang telah dicuba dan terbukti menjadi.Jadi jangan lupa mencuba dan like dan share juga ya!

About Our Content Creators

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Integer semper commodo tristique. Donec in dolor a odio semper convallis et ac ex. Aenean at elit non arcu tincidunt laoreet.

We may earn a commission if you click on the links within this article. Learn more.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *