kerabu bilis

Koleksi 10 Resepi Ikan Bilis Senang Buat Sedap Makan

Ikan bilis merupakan salah satu bahan masakan yang sangat biasa ditemui dinegara Malaysia, Singapura, Brunei malah Indonesia. Ia adalah sejenis ikan saiz kecil yang biasanya ditangkap bersama ikan-ikan lain oleh nelayan dilaut masin. Ikan kecil ini akan direbus kemudian dijemur dan diasingkan. Ikan bilis merupakan salah satu pilihan untuk mendapatkan sumber protein yang tahan lama. Ini kerana ikan bilis akan tahan lama jika disimpan dengan cara yang betul.

Ada pelbagai jenis masakan dan resepi yang boleh digunakan dengan ikan bilis ini dan ianya sentiasa mendapat permintaan. Oleh kerana sifat ikan bilis ialah kering dan akan garing apabila digoreng jadi ianya selalu digoreng berlada,sambal atau pun dibuat kerabu.

Dalam perkongsian kali ini kami akan bawakan kepada 10 resepi yang menggunakan ikan bilis yang pasti anda gemari kerana bukan sahaja ianya mudah disediakan malah ia juga amat sedap. 

1)Resepi Tempe Ikan Bilis Berlada

Resepi ini merupakan salah satu kegemaran ramai terutama penggemar masakan negeri sembilan kerana ia menggunakan cili api dan sangat pedas. Sangat enak dinikmati bersama nasi panas dan juga kuah rebus anda pasti suka akan rasanya. Berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 2 keping tempe (hiris mengikut ketebalan anda suka)
  • Segenggam ikan bilis siap kopek
  • Kentang (pilihan)
  • Segenggam cili api
  • 1 ulas bawang besar saiz kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • Garam dan gula secukup rasa

Kaedah

  • Mula-mula goreng tempe, ikan bilis dan kentang hingga garing.
  • Kemudian kisar cili api bersama bawang besar dan bawang putih.
  • Kurangkan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar sehungga naik minyak
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa kacau dan tutup api.
  • Apabila semua bahan telah sebati, masukkan tempe, ikan bilis dan kentang yang telah digoreng tadi.
  • Siap! 

2) Resepi Popia Ikan Bilis

Resepi seterusnya ini dikongsikan oleh Mok Mey dan mendapat banyak perkongsian di media sosial. Ia adalah sejenis makanan kudap yang berasaskan ikan bilis dimana ia menggunakan kulit popia yang ditambah ikan bilis dan kacang diatasnya. Sentiasa mendapat permintaan yang tinggi terutamanya menjelang hari raya. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Kulit popia
  • Ikan bilis
  • Kacang
  • Tepung gandum

Cara – cara memasak:

  1. Gunting kulit popia.
  2. Bancuh tepung gandum bagi pekat.
  3. Celup bilis dengan kacang dalam bancuhan tepung.
  4. Lekat pada kulit popia.
  5. Tunggu kering sebentar, boleh menggoreng.
    Nota: Jaga api jangan sampai hangit

3) Resepi Sambal Jering Ikan Bilis

Resepi berikut merupakan sejenis masakan kampung yang sangat sedap yang perlu dicuba. Kali ini masakan ini mengabungkan ikan bilis dengan jering tua yang amat jarang ditemui. Namun begitu sebenarnya ia amat sedap dan anda haruslah mencubanya sendiri. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 piring kecil jering tua
  • Segenggam ikan bilis (siap kopek)
  • Segenggam cili kering (gunting dan rebus)
  • 5 ulas bawang merah
  • 1 biji bawang besar (hiris bulat)
  • ½ inci belacan
  • Asam keping 1 keping
  • Garam dan gula secukup rasa

Kaedah

  • Bersihkan jering, kopek kulitnya dan kikis biji dalamnya. Potong kecil seperi batang mancis, rendam dalam 10 minit kemudian goreng sehingga garing. Ketepikan.
  • Bersihkan cili kering dan kisar bersama bawang merah dan belacan.
  • Tumis cili yang telah dikisar, apabila telah naik minyak masukkan bawang besar yang telah dihiris bulat.
  • Kemudian masukkan sedikit air jika ia terlalu pekat.
  • Tambahkan asam keping.
  • Masak lagi sehingga ia naik minyak sekali lagi.
  • Tambahkan garam,gula dan serbuk perasa.
  • Masukkan juga ikan bilis.
  • Kemudian tambah jering yang telah digoreng garing.
  • Gaul sehingga sebati.
  • Jika terlalu pekat tambahkan sedikit air.
  • Gaul sebati dan siap!

4) Resepi Sambal Ikan Bilis Petai

Resepi sambal ikan bilis petai adalah satu lagi masakan menggunakan ikan bilis yang amat digemari. Biasanya ia dinikmati bersama nasi putih dan sebiji telur mata kerbau, namun begitu kadang kala ada juga orang yang menikmatinya bersama nasi lemak.Perkongsian oleh Umie Nurhayati telah mendapat banyak perkongsian di media sosial. Bagi anda yang ingin mencuba resepi ini, berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Ikan bilis 1kg (goreng garing)
  • 500gm cili padi
  • 2 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • Asam keping / asam jawa
  • Garam
  • Gula
  • Petai

Cara – cara memasak:

  1. Kisar semua bahan di atas kecuali ikan bilis.
  2. Tumis bahan yang telah dikisar sehingga garing dan masukkan garam dan gula secukup rasa.
  3. Masukkan ikan bilis dan petai.
  4. Siap!

5) Resepi Sambal Ikan Bilis Kering

Resepi seterusnya ia merupakan satu lagi resepi menggunakan ikan bilis yang paling klasik. Ini kerana ia adalah salah satu cara menikmatinya ketika bercuti atau di luar negara terutamanya ketika menunaikan haji. Ini adalah cara orang kita menikmati sambal ikan bilis, Ia dibuat kering-kering supaya tahan lama. Dan bahan-bahannya adalah seperti berikut.


Bahan-bahan

  • Cili kering (segenggam)
  • Bawang merah 5 ulas /bawang besar sebiji saiz kecil 
  • Ikan bilis segenggam (kopek dan goreng garing)

Kaedah

  • Mula-mula rebus gunting dan rebus cili kering,kemudian toskan ia dan goreng separuh masak.
  • Kemudian kisar bawang menggunakan pengisar kering.
  • Selepas itu kisar cili yang telah digoreng tadi.
  • Tumiskan bawang yang telah dikisar kering tadi selepas itu tumiskan pula cili kering kacau hingga sambal ini menjadi garing, pastikan ia tidak hangit 
  • Masukkan garam,serbuk perasa dan gula secukup rasa.
  • Apabila telah garing, sejukkan seketika sebelum memasukkan ikan bilis.
  • Gaul ratakan bilis dan siman didalam bekas kedap udara agar ia tahan lebih lama.

6) Resepi Sambal Ikan Bilis Melaka

Resepi berikut adalah menarik kerana ia dibuat mengikut selera orang Melaka.Resepi Ia telah dikongsikan oleh Hasma Za-lina di laman Facebook milik beliau dan pastinya mendapat banyak perkongsian. Masakan ini bersambal dan sangat sedap dinikmati bersama nasi panas dan ulam-ulaman. Bagi anda yang ingin mencuba resepi ini, berikut adalah bahan-bahannya yang boleh dapati dipasaraya atau kedai runcit.

Bahan – bahan:

  • Ikan bilis segenggam
  • *Bwg merah – 2 ulas
  • *Bwg putih – 5 ulas
  • *Cili api + cili besar merah – ikut suka tahap kepedasan.
  • Daun kunyit 2 helai
  • Perasa tambahan

Cara – cara memasak:

  1. Kisarkan bahan bertanda (*).
  2. Tumiskan dalam kuali sehingga betul – betul masak atau pecah minyak.
  3. Masukkan tempoyak bersama daun kunyit.
  4. Masukkan air sedikit dan perasakan.
  5. Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan gaulkan rata.
  6. Biarkan sekejap sehingga masak.
  7. Siap!

7) Resepi Ikan Bilis Goreng Cili Api

Resepi ikan bilis bersama cili api merupakan salah satu gabungan yang tiada had. Ini kerana gabungan keduanya ini amat sedap dan menarik. Ianya telah dikongsikan oleh Indah Nutrisi dan mendapat banyak perkongsian di media sosial. Bagi peminatnya lauk sebegini telah memadai dan tidak perlu lauk lagi untuk melengkapkan hidangan mereka. Bagi anda yang ingin mencubanya berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Ikan bilis
  • Cili api kampung
  • Bawang merah 6 biji
  • Bawang putih 4 biji
  • Bawang besar 2 biji hiris
  • Minyak untuk goreng
  • Garam, perisa

Cara – cara memasak:

  1. Goreng ikan bilis dengan bawang besar sampai rangup dan ketepikan
  2. Tumbuk cili bawang merah, bawang putih sampai lumat.
  3. Tumiskan yang kita tumbuk tadi sampai garing sikit.
  4. Akhir sekali, masukan ikan bilis tadi, masukkan garam, perisa.
  5. Biarkan sekejap dan angkat.
  6. Siap!

8) Resepi Rempeyek Kacang Tanah Dan Ikan Bilis

Resepi ini dikongsikan oleh ALin Hamzah dan mendapat banyak perkongsian di media sosial. Ikan bilis selain dijadikan sebagai lauk utama atau lauk sampingan, ia juga biasa diguna didalam rempeyek iaitu sejenis makanan kudap yang sangat popular dan sentiasa mendapat permintaan. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Setengah paket tepung beras
  • 1 sudu besar tepung jagung

Bahan tumbuk:

  • 2 sudu besar jintan putih
  • 2 sudu besar ketumbar
  • 2 ulas bawang kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • Ikan bilis
  • Kacang tanah (disangai dan diketepikan)
  • Jintan putih (disangai)
  • Ikan bilis
  • Santan

Cara – cara memasak:

  1. Satukan adunan tepung beras dan tepung jagung
  2. Letakkan bahan yang ditumbuk tadi.
  3. Letakkan santan yang bercampur air tadi
  4. Letakkan jintan yang disangai tadi.
  5. Kacau rata, adunan mestilah tak terlalu pekat dan tak terlalu cair ya.
  6. Letakkan sedikit garam / penambah perisa kalau suka.
  7. Panaskan minyak masak.
  8. Masukkan 2 sudu besar minyak panas kedalam adunan untuk mendapat kerangupan

9) Resepi Cucur Ikan Bilis 

Resepi berikut ini adalah satu lagi kegemaran ramai, cucur ikan bilis merupakan menu minum petang yang amat mudah disediakan. Secara asasnya, bahan yang digunakan ialah tepung air dan juga ikan bilis. Jika anda tidak pernah cuba cucur ikan bilis, anda boleh dapatkan bahan-bahan sepeti berikut dan jangan lupa mencubanya.

Bahan basah

  • ¾ cawan susu segar
  • 2 sudu besar cuka makan

Bahan kering

  • 2-3 cawan tepung gandum ( all-purpose flour )
  • 2 sudu besar gula 
  • 1 sudu kecil baking powder
  • ½ sudu kecil baking soda
  • ½ sudu kecil garam
  • Ikan bilis segenggam
  • Bawang besar 1 ulas (dihiris mengikut citarasa)

Kaedah

  • Mula-mula campurkan susu dan cuka bersama-sama, biarkan selama 5 minit.
  • Kemudian tambahkan mentega cair dan telur, kacau agar ia sebati.
  • Selepas itu tambahkan semua bahan kering ke dalam mangkuk yang besar. Kacau agar ia sebati, kemudian tambahkan bahan-bahan basah yang telah digaul sebati tadi.
  • Kacau menggunakan tangan hingga semua bahan sebati hingga adunan sebati. Ketepikan seketika.
  • Panaskan kuali dan tambahkan minyak masak secukupnya untuk goreng tenggelam.
  • Dengan menggunakan sudu kecil, tuangkan satu adunan dalam satu masa. Gunakan api yang sederhana, terbalikkan apabila satu bahagian mulai masak.
  • Ulang hingga semua adunan habis digoreng.
  • Siap, boleh dihidangkan bersama sos cili.

10)Resepi Kerabu Ikan Bilis

Resepi terakhir dalam koleksi ini telahh dikongsi oleh Sampah Sarap di laman Facebook beliau. Ikan bilis ini selain dijadikan sambal atau dimasak kering bersama cili api ia juga boleh dijadikan kerabu. Rasanya tidak kurang sedap dan penyediaannya amat mudah,anda haruslah mencubanya sendiri. Berikut adalah bahan-baha yang diperlukan.

Bahan-bahan :

  • Ikan bilis digoreng, asingkan.
  • Limau 3 biji ambil air saja,
  • *Tomato sebiji,
  • *Bawang sebiji setengah,
  • *Daun limau purut,
  • *Kacang panjang,
  • *Timun,
  • *Cili vietnam/burung 6-10 biji,
  • *Serai sebatang.

Cara-cara :

  1. Semua yang ada tanda * diracik. Masukkan dalam mangkok.
  2. Masukkan air limau, sos ikan 2 sudu. Jika tidak ada sos ikan diganti dengan sos tiram, gula 1 sudu, garam sehujung sudu, secukup rasa. Gaul semua.
  3. Masukkan ikan bilis. Jangan awal sangat masukkan ikan bilis kerna kalau awal nanti jadi lemau.

Itulah dia 10 resepi ikan bilis yang boleh anda cuba sendiri. Ikan bilis ini bukan sahaja mudah untuk disediakan namun ia juga mempunyai banyak khasiat yang baik untuk anda. Bukan itu sahaja malah ia juga mudah untuk didapati dan disimpan. Ada pelbagai jenis ikan bilis yang terdapat dipasaran untuk anda dapatkan, namun untuk pilihan terbaik pilihlah yang berwarna cerah dan jenis sedikit kasar. Ianya rangup dan amat sedap, walaupun begitu jangan lupa untuk beli ikan bilis mengikut poket anda kerana terdapat ikan yang murah dan juga amat mahal! Terpulang pada selera dan citarasa anda. Selamat mencuba!

Resepi – resepi lain yang menarik

Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada koleksi ini, ada pelbagai variasi koleksi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan koleksi ini bersama rakan anda ya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *