Resepi kali ini merupakan resepi kuih tradisional yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Ianya sentiasa menjadi tumpuan jika dihidang dalam majlis kenduri kendara. Rasa kenyal kuih kaswi bersama kelapa parut putih ini mempunyai ramai peminat. Namun begitu kuih kaswi gula merah ini amat mudah untuk disediakan dan ianya menggunakan bahan yang amat ringkas sahaja. Baiklah bagi anda yang ingin mencuba sendiri kuih ini berikut adalah bahan-bahannya.
Bahan-bahan A (air gula merah/melaka)
- 2 cawan gula putih
- 3 keping gula kabung
- 2 cawan air
- 1 ikat daun pandan siap simpul
Kaedah
- Masak semua bahan hingga gula larut,tapis dan sejukkan dahulu.
Bahan B
- 1 cawan tepung gandum
- ¾ cawan tepung ubi kayu
- 2 tsp air kapur
- 3 cawan air
Kaedah
- Campurkan tepung gandum dan tepung ubi kayu, ketepikan.
Penyediaan kaswi gula merah
- Campurkan bahan B dengan air gula (bahan A) sedikit demi sedikit.
- Gaul hingga sebati baru tambah air kapur.
- Tambah air sedikit demi sedikit dan kacau hingga sebati.
- Kemudian tapis dan tuang dalam jug agar senang tuang dalam acuan
- Panaskan pengukus dan sapu acuan lompang dengan sedikit minyak
- Masukkan adunan yang telah siap dalam acuan dan kukus selama 20 minit.
- Bila adunan mulai keras atau pejal bolehlah anda keluarkan dan sejukkan sedikit sebelum keluarkan ia dari acuan sebelum anda gaul dengan kelapa parut (bahan C)
Bahan C
- 1 biji kelapa parut
- 1 tsp garam
Kaedah
- Kukus bahan diatas dalam 10 minit, ketepikan.
- Gaul dengan kuih kaswi yang telah siap kukus sebelum dihidangkan.
- Siap!
Kelapa parut perlu dikukus agar ia tahan lebih lama dan tidak cepat basi. Adunan ini sebelum masak ia memang cair tetapi selepas dikukus ia akan kental dan mudah untuk dikeluarkan dengan cara menyisipkan lidi dicelah acuan dan perlahan-lahan ia akan keluar. Walaupun sedap dimakan begitu sahaja kaswi ini lebih sedap bila dimakan dengan kelapa parut.Selamat mencuba!
Resepi – resepi lain yang menarik
Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada resepi ini, ada pelbagai variasi resepi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini bersama rakan anda ya.