Resepi Inti Kentang Mudah ( Sesuai Juga Untuk Bekukan)
Resepi kali ini, adalah resepi yang sangat mudah. Lazimnya digunakan sebagai inti karipap. Tetapi boleh diimprovasikan sebagai inti samosa. Ada pelbagai jenis inti sebenarnya yang sesuai digunakan sebagai inti karipap.
Selain menggunakan inti kentang, karipap juga sesuai dengan inti sambal sardin dan inti keledek atau campuran keledek dan kentang. Sudah tentu rasanya juga berbeza apabila menggunakan pelbagai resepi inti ini. Bagaimanapun, inti kentang paling banyak digunakan sebagai inti karipap.
Dan resepi ini ialah olahan dari ibu Madam sendiri. Masa Madam masih anak-anak Madam lah yang gigih menjual kuih muih yang emak buatkan. Mungkin kerana minat, Madam tidak pernah bosan meniaga. Mari lihat bahan-bahannya.
Resepi Inti Kentang Mudah ( Sesuai Untuk Karipap)
Bahan-bahan inti
- Kentang 3 biji saiz sederhana (kupas dan potong dadu)
- Bahan-bahan tumbuk
- Bawang besar ½ labu
- Bawang putih 1 ulas
- Ikan bilis 1 sudu kecil
Bahan-bahan rempah
- 1 sudu besar rempah daging
- 1 sudu besar serbuk cili (jika suka pedas)
- Garam dan gula secukup rasa.
Kaedah
- Tumbuk bahan-bahan tumbuk hingga lumat.
- Tumiskan ia, tunggu naik bau sambil itu kacau agar ia tidak hangit
- Kemudian taburkan bahan-bahan rempah. Kacau rata.
- Masukkan sesudu dua air. Kacau agar semuanya sebati.
- Kemudian masukkan kentang gaul agar semua menjadi mesra.
- Tambahkan secawan air, masak hingga kentang empuk.
- Jika air kering tambahkan air lagi. Masak hingga kentang benar-benar empuk.
- Apabila kentang telah empuk,sebelum air kering. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Gaul semua agar sebati. Tutup api. Biarkan sejuk.
Untuk rasa yang lebih manis boleh ditambah jumlah gulanya. Atau jika ingin tambah sedikit daging atau ayam yang dipotong kecil juga boleh. Madam sangat suka inti karipap yang emak Madam buat, sebab ada rasa manis sikit. Jadi terpulang pada anda, sebab ada orang tidak suka tambah gula dalam apa-apa masakan.
Namun, anda boleh buat awal inti ini dan bekukan. Bila ada kelapangan bolehlah anda isi dalam kulit karipap, samosa atau pastry puff.
Resepi – resepi lain yang menarik:
Ada pelbagai lagi resepi lain yang anda boleh cuba dan menambah idea masakan anda! Jangan lupa untuk tekan butang share dan kongsikan resepi ini.