Resepi Tradisional, Moden & Terkini

Koleksi 10 Resepi Tauhu Paling Senang Nak Buat Confim Ramai Liker

Tauhu merupakan sejenis makanan yang berasaskan kacang soya yang telah dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh kaum cina. Dalam masakan masyarakat Cina, Jepun mahupun Korea, tauhu adalah antara bahan masakan yang paling popular kerana ia murah dan mudah untuk disediakan.

Tauhu mempunyai beberapa jenis, namun yang paling biasa diguna khususnya oleh orang Melayu ialah tauhu putih yang biasanya dibuat tauhu sumbat. Tauhu Jepun ataupun tauhu telur pula ialah sejenis tauhu yang lembut yang biasanya dibungkus memanjang bulat sering dimasak dengan sayur. Manakala soft tofu iaitu sejenis tauhu lembut yang dibungkus didalam bekas empat segi biasanya dikukus dan dihidang dengan bahan yang digoreng asing. Apapun cara menghidang dan memasak tauhu ianya semakin mendapat permintaan terutama tauhu bergedil iaitu kombinasi bergedil dan tauhu yang telah menjadi viral sejak kebelakangan ini. 

Dalam koleksi kali ini kita akan kongsikan kepada anda 10 resepi menggunakan tauhu yang boleh anda cuba sendiri. Resepi-resepinya bukan sahaja ringkas dan mudah untuk disediakan malah ia juga amat sedap dan mengenyangkan. Berikut adalah 10 resepi tauhu yang boleh anda cuba.

1)Resepi Sup Tauhu Jepun

Resepi ini merupakan sejenis resepi bersup yang menggunakan tauhu jepun sebagai bahan utama. Ianya amat sesuai bagi mereka yang tidak berselera untuk makan ataupun mereka yang dalam peringkat pemulihan daripada penyakit.Resepi ini telah dikongsikan oleh Puan Ida dan mendapat banyak perkongsian di media sosial, berikut adalah bahan yang diperlukan

Bahan – bahan:

  • 2 tiub tahuhu jepun (potong 8 setiap satu)
  • 2 ulas bawang putih (diketuk)
  • 1 liter air
  • 1 tsb sos tiram
  • 1 kiub ayam
  • Sayur-sayuran dan cendawan butang
  • 2 biji telur ayam (kacau seperti telur dadar)
  • Sedikit tepung jagung dicampur air
  • Garam

Cara – cara memasak:

  1. Goreng kedua-dua belah tauhu jepun. Jangan sehingga pecah. Ketepikan.
  2. Tumis bawang putih dan masukkan air, sos tiram, kiub ayam dan sayur-sayuran serta cendawan butang.
  3. Kemudian, masukkan telur dan kacau.
  4. Masukkan tauhu jepun yang telah digoreng.
  5. Masukkan air tepung jagung untuk pekatkan kuah.
  6. Perasakan dengan garam.
  7. Hidang dan tabur bawang goreng dan daun sup.

2) Resepi Begedil Tauhu

Resepi ini merupakan resepi yang telah dikongsikan oleh Nasuha Mustaffa dan mendapat banyak shares di media sosial. Ia telah menjadi viral dan mendapat permintaan yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Ia menggunakan kentang, daging dan juga beberapa bahan yang di sumbat di dalam tauhu pok. Kemudian ia dicelup dengan telur sebelum digoreng, sesuai untuk dihidang di dalam minuman petang berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • 10 biji tauhu
  • 250g daging/ayam kisar @ ayam biasa cincang halus
  • 3 biji ubi kentang
  • 2 biji telur
  • Serbuk lada putih (ikut citarasa memasing)
  • Sedikit garam
  • Daun sup (rincik halus²)
  • 2 biji bawang besar (dipotong dadu)
  • Sedikit bawang goreng
  • Kicap
  • 10 biji cili padi
  • 1 gengam bawang goreng

Cara – cara memasak:

  1. Goreng tauhu. Buat pintu untuk sumbat isi.
  2. Sangai daging/ayam tadi bersama daun sup, bawang besar serbuk lada putih, garam secukup rasa. Kalau nak letak cukup rasa pon boleh.
  3. Rebus ubi kentang. Letak garam sedikit. Dah masak, lenyetkan kentang.
  4. Gaulkan bahan 2 dan 3 tadi dan gaul bersama dengan bawang goreng.
  5. Sumbatkan bahan yang dah digaul tadi dalam tauhu.
  6. Celup dengan telur dan goreng.
  7. Siap.
  1. Blend kicap, cili, bawang goreng sekali gus.
  2. Tambah gula dan garam secukup rasa.
  3. Kalau nak pedas letak lah cili ikut tahap kepedasan yang dimahukan

3) Resepi Tauhu Kukus Sos Tiram

Resepi seterusnya ini merupakan resipi yang telah dikongsikan oleh Zura Nafis di laman Facebook beliau.  Masakan ini biasa dihidang bersama nasi ayam dan ianya sebenarnya amat mudah untuk disediakan. Malah ia menggunakan teknik kukus oleh itu ia adalah makanan yang sihat. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Tauhu lembut (kukus 5-10minit)
  • Udang kering (cincang halus)
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
  • Sayur yang anda suka (jangan letakkan bayam atau kangkong kerana tidak sesuai)
  • Perasa dan garam
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • Bawang merah dan bawang putih

Cara – cara memasak:

  • Tumis bawang dan udang kering bagi garing.
  • Masukkan sos tiram tumis sekejap bagi wangi.
  • Masukkan sayur dan lada putih.
  • Apabila sayur sudah lembut masukkan tepung jagung yang dibancuh tadi.
  • Apabila sudah mendidih boleh la diperasakan.
  • Siap dan tuangkan atas tauhu yang dah dikukus tadi

4)Resepi Tauhu Sumbat Begedil

Resepi tauhu berikut adalah satu lagi resepi viral yang cukup popular dan diminati ramai. Ini kerana keenakkannya yang mengasyikkan dan wajarlah anda cuba sendiri, berikut adalah bahan yang diperlukan. Resepi ini telah dikongsikan oleh Maya Miera dan mendapat banyak perkongsian di media sosial.

Bahan – bahan:

  • Kentang 5-6 biji 
  • Daging kisar jenama Ramly sekeping
  • Tauhu kering +- 30 ketul 
  • Daun sup dan daun bawang 
  • Bawang goreng 2-3 sudu
  • Garam 1 sudu
  • Lada hitam 1 sudu besar
  • 1 Kiub Ayam
  • Sebiji cili (dihiris)

Cara – cara memasak:

  1. Kupas kentang, potong dan goreng.
  2. Daging kisar goreng sehingga masak,ketepikan
  3. Bila kentang dah suam. Masukkan semua bahan – bahan ke dalam chopper. Biarkan hancur dan sebati semua. 
  4. Tauhu kering tu potong pada bahagian atas, buang isi dan boleh sumbat kentang ke dalam.
  5. Pukul telur 3 biji, dan celupkan tauhu yang dah siap disumbat dan goreng dalam minyak panas

5)Resepi Tauhu Sumbat

Resepi berikut merupakan satu lagi resepi menggunakan tauhu yang amat mudah untuk disediakan.Resepi ini menggunakan bahan yang amat ringkas dan cara penyediaannya juga amat mudah. Sesuai bagi anda peminat makanan berasaskan tauhu, berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan 

  • 2 keping tauhu putih
  • Suku batang timun ( kupas dan hiris nipis)
  • Suku batang lobak merah (kupas dan hiris)
  • Sedikit tauge yang mencukupi.

Kaedah 

  • Basuh dan toskan tauhu.
  • Bila tauhu telah kering dari air, goreng hingga luarnya garing.
  • Keluar dan toskan ia.
  • Apabila telah sejuk, belah tengahnya dan isikan dengan sayur-sayuran yang telah disediakan awal tadi.
  • Sediak untuk dihidangkan bersama sos. 
  • Untuk sos, anda boleh gunaka sos cili biasa atau anda boleh membuatnya.

6)Resepi Tauhu Sumbat Sambal Kacang

Resepi seterusnya ini merupakan versi lain tauhu sumbat dimana kuah yang digunakan ialah kuah kacang. Resepi ini telah dikongsi oleh Zahris Man dimana intinya sama seperti tauhu sumbat biasa. Kelainan dan keenakkan tauhu sumbat ini ialah pada kuahnya , berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan :

  • Kacang tanah RM1,
  • Bawang merah kecil 6 ulas,
  • Bawang putih 5 ulas,
  • Cili kering 10 tangkai digunting-gunting,
  • Cili padi 7 biji dibelah dua,
  • Belacan agak-agak,
  • Air asam jawa,
  • Gula melaka 1 biji yang kecil,
  • Sedikit garam untuk melemakkan.

Cara-cara :

  1. Mula-mula kacang tanah digoreng terlebih dahulu.
  2. Jika sudah agak perang, angkat dan tos minyaknya.
  3. Satukan bawang merah kecil, bawang putih, cili kering, cili padi dan belacan. Lalu digoreng hingga masak, angkat dan ketepikan.
  4. Kacang tanah tadi diblender atau ditumbuk separuh halus. Sedap yang macam ini, bila makan masih terasa lagi kacangnya. Asingkan.
  5. Blender pula rempah yang tadi; bawang merah dan putih, cili kering, cili padi dan belacan.
  6. Jika sudah siap diblender, masukkan semua bahan dalam mangkuk kacang tadi, gaulkan sebati.
  7. Masukkan air asam jawa yang dicampur dengan air masak, gaul sebati lagi.
  8. Masukkan gula melaka dan garam.
  9. Rasakan kuahnya. Bila sudah cukup rasa, boleh dimakan dengan tuahu sumbat.

7) Resepi Tauhu Terbalik

Resepi ini menggunakan tauhu pok iaitu sejenis tauhu yang kosong didalamnya dan amat garing apabila digoreng. Rasanya memberi sedikit perbezaan kerana ia adalah tauhu pok yang diterbalikkan dan intinya terletak dibahagian kulit tauhu. Bagi anda yang ingin mencubanya berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • Tauhu pok
  • Isi ayam dicincang
  • Isi udang dicincang
  • Bawang besar dihiris halus
  • Daun sup dihiris halus
  • Kiub ayam
  • Lada hitam
  • Telur ayam

Kaedah 

  • Lakukan belahan silang keatas tauhu itu dan keluarkan isi tauhu tersebut dan dan asingkan
  • Terbalikkan tauhu tersebut (inside out)
  • Keluarkan isi yang terdapat dibahagian dalam tauhu pok dan asingkan.
  • Campurkan isi tauhu dengan bahan-bahan lain.
  • Kemudian isikan ia dengan bahan-bahan yang digaul tadi.
  • Goreng tauhu sehingga keperanggan

Bahan-bahan sos (pilihan)

  • Cili merah
  • Bawang putih
  • Bawang kecil
  • Halia
  • Sos nam pla (sos ikan)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Cuka/asam limau

Kaedah

  • Kisar semua bahan
  • Masak sehingga naik bau dan pekat.
  • Hidang bersama tauhu terbalik.

8)Resepi Tauhu Berlauk

Seterusnya ialah resepi tauhu berlauk, dimana ia menggunakan dua jenis tauhu dan kemudian ia dikukus sebelum dicelup dengan telur dan digoreng. Rasanya juga amat sedap apabila dicicah dengan sos cili thai. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 ketul tauhu petak
  • 2 tiub tauhu jepun
  • Udang/isi ayam
  • Cili merah
  • Daun bawang
  • Daun sup
  • Telur 4 biji
  • Sedikit minyak bijan
  • Garam, serbuk lada putih, serbuk perasa
  • Bawang merah-goreng garing dan ketepikan

Kaedah

  • Kisar tauhu, tauhu jepun, 2 biji telur, dan udang atau isi ayam.
  • Selepas itu, masukkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan cili merah.gaul rata.
  • Perasakan dengan garam, minyak bijan, serbuk lada putih serta maggi secukup rasa. Gaul rata.
  • Masukkan bahan bancuhan tadi dalam bekas plastik dan kukus bahan selama lebih kurang 15-20 minit.
  • Angkat dan sejukkan, kemudian potong mengikut saiz yang dikehendaki.
  • Pukul 2 biji telur. Celup tauhu yang dipotong tadi dan goreng sehingga garing.
  • Hidangkan.

9)Resepi Tauhu Bergedil Vegetarian

Resepi berikut merupakan resepi bergedil yang disumbat didalam tauhu pok yang kosong didalamnya dan rangup apabila digoreng. Berbeza dengan tauhu bergedil sebelum ini, resepi ini amat sesuai bagi mereka yang mengamalkan vegetarian kerana ia tidak menggunakan sebarang daging. Berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

  • Kentang 5-6 biji 
  • Tauhu pok 30 ketul (belah tengah)
  • Daun sup dan daun bawang (hiris nipis)
  • Bawang goreng 2-3 sudu
  • Garam 1 sudu
  • Lada hitam 1 sudu besar
  • Sebiji cili (dihiris)

Kaedah

  • Kupas kentang, potong dan goreng.
  • Bila kentang dah suam, lenyek dengan belakang gelas. 
  • Biarkan betul-betul hancur dan tambah dan sebatikan semua bahan.
  • Potong tauhu pok pada bahagian atas, buang isi dan boleh sumbat kentang ke dalam.
  • Pukul telur 3 biji, dan celupkan tauhu yang dah siap disumbat dan goreng dalam minyak panas. 
  • Siap dinikmati dengan sambal kicap.

10)Resepi Tauhu Berinti Bihun.

Resepi terakhir dalam koleksi ini merupakan sejenis makanan berasaskan tauhu yang dipopularkan oleh orang Indonesia yang telah ramai datang ke negara kita ini. Ianya biasa dijual digerai-gerai yang menjual kuih muih, rasanya unik kerana ia mengandungi inti bihun yang telah digoreng. Bagi anda yang ingin mencubanya, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahannya

  • 12 keping tauhu dipotong dua dan digoreng hingga agak garing dan dibelah dua
  • 150 gram bihun direndam hingga lembut dan toskan
  • 1 batang daun bawang dicincang halus
  • 2 sdm udang kering direndam dan tumbuk halus
  • 1 labu bawang besar dicincang
  • 3 ulas bawang merah kecil potong halus
  • 3 ulas bawang putih cincang halus
  • 1/2tsp serbuk lada hitam
  • 1 kiub knor pati ayam
  • Tumis bawang besar,bawang merah,bawang putih hingga naik bau.
  • Kemudian masukkan udang kering ,lada hitam ,kiub knor hingga rata.
  • Akhir sekali campurkan daun bawang dan bihun.
  • 100 gram tepung beras
  • 50 gram tepung gandum
  • 3 ulas bawang putih tumbuk halus
  • 1 sdt ketumbar tumbuk halus
  • 3 butir buah keras tumbuk halus
  • 1/2tsp garam
  • 1/2tsp serbuk kunyit
  • Belah tauhu dan isikan dengan bahan bihun tadi.
  • Campur bahan sadur dengan tambahkan air hingga agak cair. 
  • Panaskan minyak,masukan tauhu kedalam bahan sadur dan goreng hingga kekuningan.
  • Tos sebelum dihidangkan bersama cili api.

Itulah dia 10 resepi menggunakan tauhu yang telah dapat kami kumpulkan sebagai koleksi yang diharap akan membantu anda mencari idea akan hidangan dirumah anda. Khususnya bagi mereka yang gemar makanan berasaskan soya seperti tauhu ini ia bukan sahaja sedap malah ia juga berkhasiat terutama bagi kaum wanita yang telah berusia kerana kebaikan kacang soya untuk kesihatan mereka. Diharap anda akan mencuba resepi-resepi disini, selamat mencuba!

Resepi – resepi lain yang menarik

Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada koleksi ini, ada pelbagai variasi koleksi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan koleksi ini bersama rakan anda ya.

About Our Content Creators

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Integer semper commodo tristique. Donec in dolor a odio semper convallis et ac ex. Aenean at elit non arcu tincidunt laoreet.

We may earn a commission if you click on the links within this article. Learn more.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More…!