Kumpulan Pelbagai Resepi Kek Sarawak (Memikat Hati)

Negeri Sarawak memang terkenal dengan kelazatan keknya. Bahkan kek Sarawak akan selalu jadi buah tangan orang yang balik dari sana. Tidak sah rasanya apabila pergi Sarawak tapi belum makan kek Sarawak, bukan?

Pelbagai jenis kek Sarawak dijual dengan varian rasa yang berlainan. Malah, banyak peniaga yang jadi re-seller kek Sarawak demi memuaskan selera para pecinta kek Sarawak di semenanjung ini. Tentunya harga kek yang dijual tidaklah murah.

Sayangnya, tidal semua orang ada kesempatan untuk pergi Sarawak. Kalau mahu beli dengan orang lain harga mahal pula. Cara terbaik memang bikin sendiri. Cubaan pertama mungkin agak mencabar kerana untuk buat kek ini perlu kesabaran dan jiwa yang kental.

Maka untuk puaskan hasrat anda membuat kek Sarawak yang menjilat jari, kami hadirkan resepi kek Sarawak yang terbaik pernah ada di laman Facebook. Sila cuba resepinya.

Resepi Kek Kaca Remuk

Imej via Facebook

Raya tahun ini teringin buat kek sarawak resepi orang lama-lama dulu. Yang ini kek tidak berlapis. Tapi kalau buat kek sarawak, tidak sah kalau tidak 10 biji telur. Resepi dikongsikan oleh Dayang Suziana Mawi di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 10 biji telur,
  • 3 ½ gelas tepung hongkong/gandum,
  • 16 oz mentega,
  • 1 tin susu manis, boleh kurangkan kalau ingin kurang manis,
  • 1 ½ gelas gula,
  • 1 kg manisan kundur, dihiris memanjang,
  • 2 sudu teh baking powder diayak bersama tepung,
  • 1 sudu teh esen vanilla.

Cara-cara :

  1. Adunan telur dan gula dipukul sampai pekat.
  2. Adunan mentega dan susu dipukul sampai kembang.
  3. Satukan kedua-dua adunan tadi. Kemudian pukul lagi sampai sebati.
  4. Masukkan esen vanila.
  5. Masukkan tepung segelas demi segelas. Sambil diadun sebati.
  6. Masukkan manisan kundur, gaul-gaul sebati.
  7. Kemudian kukus sampai masak selama 4 jam.

Tips :

Seeloknya guna loyang 9×9 supaya ‘kaca remuk’ (kundur) boleh muat dalam kek.
Bila kek masak, jangan dipotong dulu. Simpan semalaman biar air manisan itu set. Supaya nampak lagi licin dan berkaca.

Resepi Kek Belacan

Imej via Facebook

Kek belacan kek orang sarawak. Lailatul Munira Zainuddin berkongsi resepi kek belacan di laman Facebook. Kek ini dimasak dengan cara kukus. Pakai gula merah pekat untuk gantikan gula perang, yang penting sedap.

Bahan-bahan :

  • 227 gram mentega unsalted (sebuku),
  • 100 gram gula kastor,
  • 5 biji telur,
  • 90 gram serikaya,
  • 150 gram susu pekat,
  • 1 sudu kecil esen vanilla,
  • 100 gram horlicks,
  • 50 gram serbuk koko,
  • 180 gram tepung hongkong,
  • 30 gram gula merah pekat.

Cara-cara :

  1. Panaskan kukusan.
  2. Sediakan loyang 8 inci. Alaskan dasarnya dengan kertas minyak, ketepikan.
  3. Pukul mentega dan gaul hingga sebati.
  4. Masukkan telur satu persatu, pukul sebati.
  5. Masukkan serikaya, susu, dan esen vanila, pukul rata. Kemudian, masukkan pula Horlicks, serbuk koko, dan tepung hongkong, pukul sebati.
  6. Akhir sekali, masukkan gula merah pekat. Boleh tambah atau kurangkan sukatan ikut suka. Pukul rata.
  7. Tuang adunan dalam loyang yang disediakan. Kukus selama 3 jam. Sejukkan kek baru dipotong.

Resepi Kek Lapis Sarawak Masam Manis

Imej via Facebook

Gagal membuat kek bukan masalah, gagal sekali cuba lagi. Kalau anda ingin cuba buat sendiri ikut resepi di bawah yang dikongsikan oleh Ain Hannah di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 200g tepung pau,
  • 500g butter,
  • 10 biji telur,
  • 350g susu pekat manis,
  • 30g ovalette,
  • 100g seri kaya,
  • 100g Horlicks,
  • 150g serbuk biskut marie,
  • 50g coffee mate,
  • 150g dairy whipping cream,
  • Haw flakes secukupnya,
  • Pewarna kuning,
  • Pewarna hijau gelap.

Cara-cara :

  1. Dalam mixer pukul butter hingga lembut, masukkan susu pekat manis dan campur sebati.
  2. Masukkan pula ovalette terus campur hingga adunan gebu.
  3. Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit sambil dicampur sebati.
  4. Masukkan seri kaya campur sebati.
  5. Terus masukkan horlicks campur sebati.
  6. Masukkan coffee mate campur sebati.
  7. Kemudian masukkan pula dairy whipping cream campur sebati, serbuk biskut marie dan akhir sekali masuk tepung pau sedikit demi sedikit dan campur hingga adunan gebu, soft peak dan tidak jatuh.
  8. Bahagikan adunan kepada 2 mangkuk dan letak pewarna. Oles loyang dengan butter dan letak parchment paper di dasar. Panaskan loyang sekejap dan mula melapis.
  9. Lapisan pertama dibakar api atas bawah suhu 140°C selama 10 minit. Lapisan kedua sampai habis bakar api atas sahaja selama 7-8 minit (bergantung pada oven masing-masing).
  10. Setiap dua lapisan susun haw flakes buat sampai habis semua lapisan.
  11. Sudah siap bakar sejukkan dulu baru keluarkan dari loyang dan potong.

Resepi Kek Kismis Bermalam

Imej via Facebook

Seterusnya kami ingin share resepi kek buah versi Sarawak. Kek kismis bermalam nama diberi. Ramai yang sudah cuba dan share resepi daripada Eiyjarn Aziean AnGah di laman Facebook. Mana yang belum dapat resepinya sila tengok di bawah ini.

Bahan-bahan :

  • 450gram mentega berkualiti tinggi,
  • 10 biji telur Ayam gred B atau A,
  • 1/2 tin gula halus atau gula castor,
  • 1 sudu besar esen vanilla,
  • 1 tin rendah susu pekat manis,
  • 3 ½ tin tepung gandum,
  • 2 kotak red date (200gram),
  • 100 gram ceri hijau,
  • 100 gram ceri merah,
  • 500 gram kismis campuran,
  • 500-800 gram kismis hitam,
  • 1 sudu teh baking powder (saya letak satu sudu makan),
  • Sukat guna tin susu pekat saiz rendah 399 gram.

Cara-cara :

  1. Putar gula dan mentega sampai putih dan kembang.
  2. Masukkan telur satu persatu dan esen vanila. Putar sampai sebati.
  3. Masukkan susu pekat, putar lagi sampai sebati.
  4. Kemudian masukkan tepung dan baking powder, gaul rata guna senduk.
  5. Akhir sekali masukkan buah, gaul rata.
  6. Perap semalaman pada suhu bilik sahaja.
  7. Sediakan ke dalam loyang 9×9.
  8. Kukus selama 4 jam.
  9. Terpulang pada anda, ingin letak buah atau tepung dulu, tiada menjadi masalah.

Kek Lapis Intan Terpilih

Imej via Facebook

Orang Sarawak, wajib ada kek lapis. Kek ini namanya Intan Terpilih. Kepada sesiapa yang ingin cuba, harap banyak-banyak bersabar sebab memang penat buat kek lapis. Tapi puas hati daripada beli. Kos pun tidak semahal membeli. Resepi dikongsikan oleh Khairunnisa Mohammad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 buku butter anchor (butter lain pun boleh. Tapi mesti pure butter. Jangan pakai buttercup)
  • 1 gelas gula halus,
  • 1 gelas tepung gandum,
  • 1 gelas tepung roti marie (roti yang diblender),
  • 1 gelas Horlick,
  • 1/2 tin susu pekat,
  • 1 tin kecil sekaya,
  • 1 sudu kecil esen vanilla,
  • 10 biji telur,
  • 3 peket roti salt cheese.

Cara-cara :

  1. Mixer gula dan butter sampai kembang (jadi putih). Kalau anda simpan butter dalam peti sejuk, keluarkan biar satu jam di luar. Baru senang mixer.
  2. Masukkan telur satu persatu. Mixer sampai sebati. Kemudian masukkan esen vanila. Mixer lagi sebati. Selepas masuk 10 biji telur memang berketul sedikit-sedikit.
  3. Masukkan susu pekat. Mixer sebati.
  4. Masukkan sekaya. Mixer sebati.
  5. Masukkan horlick. Mixer sebati.
  6. Masukkan tepung gandum. Mixer sebati.
  7. Akhir sekali masukkan tepung roti marie. Mixer sebati.

Cara bakar :

  1. Sediakan Loyang 8×8 atau 9×9.
  2. Lapik Loyang dengan baking paper, kemudian sapukan butter ke semua permukaan Loyang.
  3. Kemudian tabur tepung gandum biar rata di seluruh permukaan loyang. Gelek-gelek loyang. Tepung yang berlebih boleh dibuang.
  4. Masukkan 2 senduk adunan ke dalam loyang dan ratakan pakai sudu.
  5. Untuk lapisan pertama, yang bawah sekali, bakar guna api atas bawah suhu 150°C selama 10-15 minit. Kalau ingin cepat, pakai suhu 160-170°C. Agak-agak kuning-kuning coklat muda gitu, sudah masaklah dia.
  6. Lalu susunkan roti salt cheese ke atas lapisan yang sudah masak tadi. Ikut kreativiti sendirilah macam mana susun.
  7. Kemudian tuang lagi 2 senduk adunan atas roti tadi. Perlahan-lahan takut roti terangkat-terangkat.
    Sambung bakar.
  8. Untuk lapisan kedua dan sampai habis, pakai api atas sahaja ataupun fungsi grill dekat oven masing-masing. Suhu 150-160°C selama 10-15 minit.
  9. Sudah sampai ke puncak pun kek kita. Susun elok-elok roti.
  10. Kemudian masukkan 2 senduk adunan terakhir. Lapisan atas sekali ini hati-hati. Turunkan suhu ke 100°C. Bakar dalam 20 minit. Supaya lapisan atas masak dengan sekata, tapi tidak terbakar di permukaannya.
  11. Bila sudah berubah warna. Bakar lagi 5 minit, suhu 100-110°C, api atas bawah. Sekadar ingin panaskan kek.
    Siap.

Resepi Kek Belacan Basah

Imej via Facebook

Ini resepi kek belacan kali kedua, namun begitu resepinya beza ya. Sila baca dan cubakan. Mudah saja resepinya basah renyah saja rupa. Resepi dikongsikan oleh Eiyjarn Aziean AnGah di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 16oz butter berkualiti tinggi,
  • 10 biji telur gred A,
  • 1 gelas Milo,
  • 1 gelas susu tepung,
  • 1 tin kecil susu pekat,
  • 1 tin kecil serikaya,
  • 1 gelas gula halus,
  • 2 gelas tepung hongkong,
  • 200 gram Horlick,
  • 3 sudu besar gula hitam,
  • 1 sudu besar serbuk Koko,
  • Sedikit esen vanilla.

Cara-cara :

  1. Pukul gula dan butter sampai putih dan kembang.
  2. Masuk telur satu persatu, pukul sebati.
  3. Masukkan esen vanila.
  4. Masukkan susu dan kaya, pukul lagi sampai sebati.
  5. Masukkan pula milo, horlick, serbuk koko dan susu tepung, pukul sebati.
  6. Masukkan gula hitam, gaul sebati guna senduk.
  7. Akhir sekali baru masukkan tepung, gaul guna senduk juga sampai sebati, saya guna loyang 8×8.
  8. Kukus selama 4 jam.

Resepi Kek Lumut

Imej via Facebook

Kek lumut dibuat petang semalam hari ini baru makan. Kukus 3 jam setengah untuk dapatkan warna lumut. Kek ini lagi lama simpan lagi sedap. Boleh buat untuk raya nanti. Tetamu biasanya memang teruja makan kalau kek yang tuan rumah buat sendiri. Resepi dikongsikan oleh Nor Hairiyah Hassim di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 6 biji telur,
  • 250g unsalted butter,
  • 1 tin susu pekat,
  • 1 tin Horlicks,
  • 1 cup kaya yang kecil,
  • 1/2 tin nestum (blend),
  • 1 tin tepung gandum,
  • Esen vanilla,
  • 3 sudu besar perisa pandan,
  • Pewarna hijau,
  • Tin guna tin susu pekat.

Cara-cara :

  • Campur butter sampai kembang.
  • Masukkan telur satu-persatu. Setiap 1 putar dalam 2 minit.
  • Masukkan esen vanila perisa pandan dan pewarna hijau, putar lagi.
  • Masukkan susu pekat Horlick, kaya dan nestum.
  • Masukkan tepung gandum. Gaul sebati.
  • Masukkan dalam loyang. Jangan sampai penuh sebab kek ini akan naik walaupun tidak ada bahan penaik.
  • Tutup kek dengan alluminium foil/plastik wrap, hentak loyang sedikit.
  • Kukus dengan api sederhana selama 3-6 jam. Saya kukus 3 jam lebih sahaja.

Resepi Kek Hati Pari @ Parek

Imej via Facebook

Kenapa dikatakan raja kek? Sebab kukus dia 10 jam. Jiwa kena kental buat kek ini. Sebab itulah kek ini dijual sampai RM 200. Jangan terkejut dengan harga dia, sebab proses buat pun renyah. Kek ini kena perap paling kurang 1 minggu baru moist terasa. Ingin lagi sedap simpan 4-5 bulan. Memang menari-nari bila makan nanti. Resepi dikongsikan oleh Leen Rijal di laman Facebook.

Bahan – bahan :

  • 10 biji telur A (4 biji putihnya dibuang),
  • 450 gram pure butter (dicadangkan mentega Golden Churn),
  • 800 gram tepung gandum dan 3 sudu teh soda bikarbonat (diayak bersama),
  • 8 sudu besar gula browning sugar (rujuk resepi browning sugar di bawah. Resepi itu tidak dapat 8 sudu besar ya, kena gandakan resepi)
  • 750 gram kismis hitam (ditumbuk sehingga lumat),
  • 400 gram prune (dicincang halus),
  • 1 tin kecil susu pekat manis,
  • 600-700 gram gula halus (mengikut citarasa manis masing-masing)
  • 150 gram Horlick coklat,
  • 2 bar Cadbury dairy milk (double boil bagi cair).

Cara-cara :

Browning sugar :

  • 1 cawan gula perang. Masak macam buat gula hangus. Bila cair masukkan ¼ cawan air panas, Kacau rata.
  • Kemudian masukkan 1 sudu besar emulco coklat. Kacau sehingga sebati. Tutup api.

Cara-cara :

  1. Masukkan mentega dan susu, pukul sehingga putih.
  2. Di dalam mangkuk adunan lain, pukul telur bersama gula hingga kembang dan berkrim.
  3. Satukan kedua-dua adunan itu dan putar lagi sehingga sebati.
  4. Kemudian masukkan browning sugar dan coklat, putar sebati. Tutup mixer.
  5. Masukkan tepung dan Horlick. Gaul sebati dengan senduk. Akhir sekali masukkan kismis dan prune ke dalam adunan tadi dan gaulkan.
  6. Sediakan pengukus. Gliskan loyang dengan mentega/marjerin dan taburkan sedikit tepung.
  7. Kemudian tuangkan adunan tadi ke dalamnya dan tutup kemas dengan kertas foil.
  8. Kukus selama 8 jam – 12 jam. (masa ini menguji kesabaran anda)
  9. Setiap 1 jam, periksa pengukus, lapkan air pada penutupnya (sebaik-baiknya tutup dengan kain atau tuala), tambahkan air (air panas/suam) jika berkurangan. Guna api sederhana sahaja.
  10. Supaya kek tahan lebih lama, selepas dikukus, dibakar sekejap dalam oven selama 10-15 minit dengan suhu 170°C. Sejukkan kek sebelum dipotong.

Resepi Kek Lapis Bumi

Imej via Facebook

Pernah dengar kek lapis bumi? Kek ini amat sesuai buat hidangan untuk tetamu. Warna asal kek lapis bumi ini hijau coklat sahaja, SuiSan Aliezsha saja tambah 1 pewarna supaya nampak ceria. Jika anda ingin mencuba pasti tidak mengecewakan. Rasa kek ini tidak manis, tapi lembut dan moist sangat-sangat.

Bahan-bahan :

  • 2 cawan butter,
  • 10 biji telur,
  • 1 cawan gula halus (saya blend bagi halus lagi untuk dapatkan kek yang licin),
  • 2 tin kaya,
  • 1 tin susu pekat manis,
  • 3 sudu makan nescafe,
  • 1 sudu teh asen vanilla,
  • 1 sudu teh baking powder,
  • 1 cawan setengah tepung gandum (diayak bersama baking powder) saya guna cawan baking, kalau tidak guna sukatan cawan teh pun boleh, sudu besar sukatan cawan teh sama sukatan cawan baking.

Cara-cara :

  1. Satukan gula, esen vanilla dan butter. Campur sehingga kembang.
  2. Masukkan telur satu persatu pukul sehingga sebati dan kembang.
  3. Masukkan kaya dan susu.
  4. Akhir sekali masukkan tepung, campur lagi sampai ringan dan doh licin.
  5. Bahagikan pada dua bahagian, bahagian pertama letak nescafe kacau sehingga nescafe sebati.
  6. Bahagian satu lagi letak pewarna hijau atau jika ingin buat 2@3 warna terpulang.
  7. Kukus setiap lapisan dalam 3 minit agak-agak jangan terlalu lama nanti lapisan tidak melekat. Ikut kukus masing-masing saya guna kukus elektrik memang cepat berbanding kukus dapur, tips untuk setiap lapisan anda guna sudu, ratakan perlahan. Lagi nipis layernya lagi sedap kek anda. Kukus akhir selama 1 jam. Jangan lupa alas loyang anda dengan kertas minyak atau sapukan butter.
  8. Apabila sudah siap simpan dalam peti.

Kek Lapis Cream Cheese Pandan

Imej via Facebook

Siti Norbaya KakBam berkongsi resepi kek Sarawak pertama kali buat di laman Facebook. Kek lapis cream cheese pandan nama diberi. Resepi diolah sedikit ikut cita rasa.

Bahan-bahan :

  • 250 gram pure butter,
  • 1 cawan tepung hongkong,
  • 1 cawan Horlicks,
  • 1/2 cawan creamer coffemate,
  • 1/2 cawan gula halus,
  • 5 biji telur gred A,
  • 1/3 cawan susu pekat,
  • 1 sudu besar ovalet,
  • 1 sudu kecil esen vanilla,
  • 2 sudu besar serikaya,
  • 250 gram cream cheese Tatura,
  • Pes pandan.

Cara-cara :

  1. Pukul butter, gula, ovalet dan cream cheese hingga putih dan kembang.
  2. Masukkan telur satu persatu sambil pukul perlahan.
  3. Letak esen vanila dan serikaya.
  4. Masukkan susu manis dan pukul sebati.
  5. Masukkan tepung, horlicks dan creamer, pukul rata.
  6. Bahagi kepada 2 adunan. 1 adunan biasa, lagi 1 adunan pes pandan.
  7. Kukus berselang seli hingga habis.
  8. Setiap lapisan kukus 7 minit. Kalau ingin bakar pun sama 7 minit api atas 160°C.
  9. Saya guna loyang 6×6 sahaja.

Resepi Menarik Lain

Selain menulis resepi pelbagai Kek Sarawak, kami juga menulis resepi lain yang tidak kalah menarik. Jemput baca dan mencubanya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Resepi Menarik Lain

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *