Kumpulan Resepi Tart Cadbury (Mudah dan Cair di Mulut)

Teringin menikmati kelazatan Tart Cadbury tapi tak mahu beli? Dengan resepi mudah ini, Anda dapat membuat Tart Cadbury sendiri di rumah dengan bahan-bahan yang sederhana dan senang dijumpai.

Cara buat pun tidak sukar dan hanya perlu masa yang singkat. Anda hanya perlu campur bahan-bahan untuk membuat kulit tart, krim Cadbury, dan hias tart dengan topping coklat. Bahkan jika malas, anda boleh beli kulit tart yang sudah siap.

Tanpa perlu waswas, anda boleh hasilkan tart cadbury yang lazat macam kedai kek. Anda pula boleh selaraskan resepi ini dengan selera anda, misalnya meletak kekacang atau buah-buahan kering sebagai topping.Tart cadbury camilan yang sempurna untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan. Tunggu apa lagi? Ayuh, cuba resepi tart cadbury ini sekarang dan rasa sendiri kelazatan coklat yang tak terlupakan!

Tart Cadbury Femes

Imej via Facebook

Resepi pertama daripada MasAyu Legacy. Dia membuat tart Cadbury sempena hari kelahiran. Resepi ini mendapat perkongsian ramai di Facebook.

Bahan-bahan :
  • 250 g butter,
  • 50 g gula aising,
  • 1 biji kuning telur,
  • 30 g tepung jagung,
  • 30 g tepung custard,
  • 300-350 g tepung gandum.
Cara-cara :
  1. Pukul butter dan gula aising hingga sebati. Jangan terlalu lama.
  2. Masukkan kuning telur dan sedikit pewarna kuning. Kacau sampai rata.
  3. Masukkan tepung jagung, tepung custard dan tepung gandum. Letak tepung sedikit-sedikit untuk dapatkan doh yang lembut dan senang tekan guna acuan nanti.
  4. Adun hingga menjadi doh yang lembut.
  5. Ambil acuan. Picit terus atas dulang, tidak perlu diangkat.
  6. Susun choc Cadbury.
  7. Kemudian picit adunan di atasnya.
  8. Potong adunan dan renggang-renggangkan sedikit.
  9. Kemas-kemaskan, masukkan dalam oven.
  10. Guna suhu 170°C masak selama 25 minit bergantung pada oven masing-masing.

Tart Cadbury Rangup

Imej via Facebook

Pernah makan tart Cadbury yang rangup, cair, dan berlemak di mulut? Ayuh kami tunjuk cara sis Aisyah Humaira yang berkongsi di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 1 cawan setengah mentega sri Pelangi,
  • 3 sudu besar minyak sapi,
  • 3 cawan tepung gandum,
  • 1 cawan tepung jagung,
  • 2 sudu besar tepung kastad,
  • ½ sudu kecil garam,
  • 4 sudu besar susu tepung,
  • 2 biji kuning telur (tapi saya tidak letak),
  • ½ cawan gula icing atau ikut manis disukai,
  • 1 sudu kecil asen vanilla,
  • 1 balang besar coklat Cadbury dan saya tambah yang paket.
Cara-cara:
  1. Ayak bahan-bahan tepung dan ketepikan.
  2. Dalam bekas besar masukkan marjerin, minyak sapi, gula icing, esen vanilla dan kuning telur (alergi tidak perlu letak).
  3. Kacau hingga sebati dan tidak perlu sampai kembang.
  4. Masukkan semua jenis tepung separuh-separuh dan garam sambil kacau sebati.
  5. Adunan mestilah lembut tapi tidak melekat di tangan.
  6. Canai doh dan terap, kemudian hias coklat cadbury di atasnya, tekan sedikit coklat agar melekat pada biskut.
  7. Bakar pada suhu 160°C guna api atas bawah selama 25-30 minit atau sehingga masak.
  8. Sejukkan biskut pada suhu bilik dan simpan dalam bekas kedap udara. Siap.

Tart Cadbury Lemak Mudah

Imej via Facebook

Dinamakan tart Cadbury tekap sebab memang cara buat kulit dia dengan cara tekap semudah ABC. Sis Amiera Idayu letak sekeping-sekeping coklat Cadbury sangatlah menarik.

Bahan Tart :
  • 300 gram tepung gandum*,
  • 4 sudu besar tepung jagung*,
  • 3 sudu besar gula aising*,
  • 200 gram mentega, potong kiub,
  • ½ sudu teh esen vanilla,
  • 2 kuning telur.
Cara-cara :
  1. Ayak bahan atau tepung bertanda *.
  2. Gaulkan tepung yang telah diayak tadi dengan mentega sehingga menjadi tekstur seperti serbuk roti.
  3. Masukkan kuning telur dan esen vanilla sedikit demi sedikit, uli sehingga menjadi doh yang lembut.
  4. Rehatkan di dalam peti ais selama ½ jam.
  5. Keluarkan doh dan canaikan dengan cara melapik bahagian atas dengan plastik wrap. Dengan menggunakan cara ini, doh yang lembut tidak akan melekat di roller.
  6. Terap doh dengan acuan dan hiaskan dengan inti tart.
  7. Bakar dalam ketuhar pada suhu 170- 175 C (suhu ialah bergantung kepada oven anda) selama 20-25 minit.

Tart Cadbury Reben

Imej via Facebook

Nampak comel sahaja tart Cadbury reben. Seakan tak sanggup makan sebab amat cantik bentuknya. Rasa nak simpan sampai bila-bila. Resepi dikongsikan oleh Jalilah JJ Homemade di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 250 gram buttercup,
  • 1 sudu besar minyak sapi,
  • 50 gram gula aising diayak,
  • 3 cawan tepung gandum diayak,
  • ½ cawan tepung jagung diayak,
  • 1 sudu besar tepung kastard diayak,
  • 1 biji telur kuning,
  • Sedikit pewarna kuning lemon,
  • 1 sudu kecil esen vanilla,
  • Inti, Cadbury bulat.
Cara-cara :
  1. Ayak tepung gandum bersama tepung jagung dan tepung kastard (ketepikan).
  2. Kacau butter, minyak sapi dengan gula aising dengan menggunakan senduk sahaja.
  3. Masukkan esen vanilla, kacau-kacau lagi.
  4. Masukkan tepung yang diayak tadi. Gaul guna tangan pun boleh.
  5. Masukkan kuning telur, uli sampai jadi doh.
  6. Canai doh dan terap menggunakan acuan pilihan.
  7. Lapik dengan plastik masa canai supaya nanti sudah terap senang keluarkan.
  8. Terap dahulu sampai habis.
  9. Selepas terap baru letak coklat cadbury bulat dan terus bakar.
  10. Coklat diletakkan mana yang hendak dibakar sahaja.
  11. Bakar pada suhu 160@170° C selama 20 minit.
  12. Coklat dibiarkan di dalam peti ais dahulu sebelum disusun atas doh.

Tart Cadbury Bar Simple

Imej via Facebook

Tart melting Cadbury kali ini punya rasa boleh pergi jauh. Rasa yang selalu dirindukan oleh semua orang. Ayuh sama-sama kita buat tart Cadbury bar daripada Bunga Danish di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 250g butter/margerin,
  • 4 sudu besar susu pekat,
  • 2 sudu besar minyak sapi,
  • 1 biji kuning telur,
  • 2 sudu besar tepung jagung,
  • 2 sudu besar tepung custard,
  • 3 ½ cawan tepung gandum (bubuh sedikit-sedikit hingga elok sebati. Jangan keras sangat nanti tart senang pecah).
  • Inti, Cadbury bar.
Cara-cara :
  1. Gaul kesemua bahan hingga jadi doh.
  2. Canai doh dan terap menggunakan acuan pilihan.
  3. Lapik dengan plastik masa canai. Terap sampai habis.
  4. Selepas terap baru letak coklat cadbury bar dan terus bakar.
  5. Bakar dalam 20min api atas bawah 170°C.

Tart Cadbury Ori

Imej via Facebook

Resepi mudah seterusnya dikongsikan oleh peminat tart Cadbury Suffi Kamaludin di laman Facebook. Boleh jadikan sumber rezeki kepada sesiapa yang ingin berniaga.

Bahan-bahan :
  • Butter 250 gram,
  • Esen vanilla 1 sudu,
  • Pewarna kuning (egg yellow),
  • Icing sugar 1 cawan,
  • Tepung kastard 1 cawan,
  • Tepung gandum 500 gram,
  • Tepung beras 2 sudu (untuk bagi rangup),
  • Coklat Cadbury.
Cara-cara :
  1. Pukul butter dan gula aising.
  2. Masukkan esen vanila dan sedikit pewarna kuning.
  3. Masukkan tepung kastard dan tepung beras.
  4. Akhir sekali masukkan tepung gandum, kalau adunan lembik tambahkan lagi tepung.
  5. Tekan adunan dan letakkan coklat cadbury, gulung macam tart nenas.
  6. Bakar suhu 170°C selama 15 minit bergantung pada oven masing-masing.

Tart Cadbury Kastard

Imej via Facebook

Resepi seterusnya paling senang kerana tidak perlu gulung dan mesti jadi, jangan risau. Resepi dikongsikan oleh Shazreen Shaari di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 1 cawan marjerin/buttercup,
  • 2 sudu besar minyak sapi,
  • 1 biji kuning telur,
  • 3 sudu besar susu pekat,
  • Sedikit pewarna kuning,
  • Sedikit Esen vanilla,
  • 1 ½ cawan tepung gandum.
  • 2 sudu besar tepung custard,
  • 2 sudu besar tepung jagung,
Cara-cara :
  1. Kacau-kacau manja marjerin, minyak sapi, kuning telur, susu pekat, pewarna kuning dan esen vanilla bagi sebati. Jangan kacau terlalu lama dan kembang, nanti biskut tidak masak.
  2. Masukkan tepung dan adunan margerin tadi. Gaul sekata.
  3. Kalau adunan lembut, tambahkan sedikit-sedikit tepung gandum hingga adunan tidak melekat di tangan. (Tepung gandum canaikan doh, jangan nipis jangan tebal sangat.
  4. Terap acuan (terpulang ingin guna acuan bentuk apa).
  5. Oles sedikit kuning telur di atas dan letakkan coklat Cadbury. *Coklat tidak akan cair masa bakar.
  6. Bakar pada suhu ikut kesesuaian oven masing-masing.

Tart Cadbury Cube

Imej via Facebook

Tart Cadbury versi kiub gerenti coklat cair di mulut. Jimat, mudah dan sedap. Tips untuk buat tart cube, selepas masukkan dalam acuan, masukkan dalam peti ais selama 20 minit. Kalau sudah beku baru boleh keluarkan tart dari acuan. Susun di loyang, glaze dengan kuning telur dan bakar. Resepi dikongsikan oleh Salwa Hamzah.

Bahan-bahan :
  • 1 cawan butter,
  • 3 sudu besar susu pekat manis,
  • 2 sudu besar minyak sapi,
  • 1 biji kuning telur,
  • Sedikit esen vanilla
  • Sedikit pewarna kuning,
  • Kacau sebati guna senduk.
  • 3 ¼ cawan tepung gandum (kalau guna penggelek guna 3 ½ cawan).
  • 2 sudu besar tepung jagung,
  • 2 sudu besar tepung kastard,
Cara-cara :
  1. Masukkan 1 cawan tepung gandum ke dalam adunan butter tadi.
  2. Tambahkan 2 sudu besar tepung jagung dan 2 sudu besar tepung kastard, kacau rata.
  3. Kemudian tuang baki tepung selebihnya dan uli 3 minit sehingga jadi doh yang lembut dan cantik.
  4. Terap ikut acuan kesukaan, isi inti dan gulung.
  5. Glaze dengan kuning telur yang ditambah sedikit pewarna kuning.
  6. Panaskan oven 170°C, 5 minit.
  7. Turunkan suhuh 165°C, bakar selama 25 minit.

Tart Cadbury Almond

Imej via Facebook

Sesiapa pernah makan? Pernah jumpa almond tart cadbury ini? Kalau rasa malas buat kulit tart, boleh beli yang sedia ada, tinggal letak isian sahaja. Cookies paling senang yang penting ada coklat Cadbury dan almond. Resepi oleh Norazian Jamal.

Bahan-bahan :
  • Kulit tart,
  • Coklat Cadbury,
  • Almond,
  • Coklat putih.
Cara-cara :
  1. Cairkan coklat Cadbury.
  2. Letak coklat cair dalam kulit tart.
  3. Letak almond.
  4. Bakar suhu 160°C selama 5-7 minit supaya kulit tart rangup.
  5. Hiaskan dengan coklat putih. Siap

Tart Cadbury Purple Menyala

Imej via Facebook

Coklat memang tidak akan cair selepas bakar. Kalau ingin dapatkan warna cantik terang menyala guna warna berbasiskan minyak. Resepi ini boleh dapat 60-70 biji tart. Resepi dikongsikan oleh Nabila Farhana II.

Bahan-bahan :
  • 250 gram buttercup @ pure butter,
  • 2 tbsp gula aising,
  • 1 telur kuning,
  • ½ tsp esen vanilla,
  • 300 gram tepung gandum,
  • 2 tbsp tepung kastard,
  • 2 tbsp tepung jagung (supaya tart rapuh tidak keras kejang bila sejuk),
  • Coklat cadbury (minipack yang seketul-seketul),
  • Pewarna ungu violet (kalau ingin warna cantik pekat tidak pudar lepas bakar, guna oilbased food colouring).
Cara-cara :
  1. Pukul mentega, gula aising, kuning telur dan esen vanila sehingga sebati, gaul guna senduk sahaja.
  2. Ayakkan kesemua tepung dan campurkan ke dalam adunan tadi. Uli sehingga menjadi doh. (Boleh tambah atau kurangkan tepung sehingga adunan menjadi doh yang lembut dan senang dibentuk). Kalau keras boleh tambah mentega sedikit demi sedikit.
  3. Terap doh ke atas loyang dengan menggunakan acuan tart.
  4. Letak coklat cadbury sebagai inti dan gulungkan.
  5. Panaskan oven pada suhu 170°C selama 5 minit.
  6. Bakar selama 15-20 minit pada suhu 160°C (bergantung oven masing-masing) sehingga masak atau sehingga biskut tidak melekat dekat loyang.
    Siap.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi Tart Cadbury, kami juga menulis resepi lain yang mendapat perkongsian ramai. Sila baca dan cubakan. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Resepi Menarik Lain