10 Kumpulan Resepi Sambal Goreng Kering Bilis Kentang Pelbagai Cara

Siapa sanggup tolak kelazatan sambal goreng kering bilis kentang? Perpaduan lazat kentang, ikan bilis garing dan pedas mencipta rasa sambal yang tidak terlupakan. Dijamin bertambah-tambah makan nasi.

Resepinya amat mudah, bahkan bagi anda yang tidak pernah masuk dapur. Bahan-bahan senang dijumpai di pasar. Makan sambal goreng kering bilis sebagai lauk pendamping nasi panas dengan terlur dadar pun cukup, atau kudap-kudap macam itu sahaja pun menyelerakan.

Selain lazat, sambal goreng kering bilis kentang juga kaya akan nutrisi. Kentang mengandungi karbohidrat sebagai sumber energi, manakala ikan bilis kaya akan protein dan kalsium. Cili yang digunakan dalam sambal juga mengandungi vitamin C yang baik untuk imun tubuh.

Ingin membangkitkan selera makan? Sambal goreng kering bilis kentang ialah jawapnya! Ayuh getarkan lidah anda dengan kelazatan sambal goreng kering bilis kentang sebagai menu makan tengah hari, dengan kumpulan resepi yang kami kongsikan daripada laman Facebook di bawah ini.

Sambal Goreng Kering Bilis Kentang Pantas

Imej via Facebook

Nida Mahmud panggil ini lauk kecemasan, sebab cara menyediakan amat mudah dan tidak makan masa. Ikan bilis dan kentang digoreng garing, salut dengan sambal kering. Makan dengan nasi, bubur atau roti pun sedap.

Bahan-bahan:
  • 5-6 biji kentang dibasuh, dikupas dan disagat,
  • Ikan bilis semangkuk,
  • Cili kisar,
  • Bawang merah,
  • Bawang putih,
  • Air asam jawa sedikit,
  • Gula, garam, dan serbuk perasa.
Cara-cara :
  1. Mula-mula goreng kentang sagat sehingga garing.
  2. Kemudian goreng ikan bilis juga sehingga garing.
  3. Tumis cili kisar dan bawang sampai garing dengan minyak banyak.
  4. Masukkan sedikit air, gula, garam dan serbuk perasa.
  5. Masukkan juga air asam jawa.
  6. Masak sampai kering air dan garing.
  7. Biar sambal sejuk baru gaulkan dengan kentang dan ikan bilis.
  8. Jika sudah sejuk masuk dalam bekas kedap udara.

Sambal Goreng Kering Bilis Kentang Tempe

Imej via Facebook

Sambal goreng bilis tahan lama, sedap dan boleh dimakan pada bila-bila masa. Aini As jadikan resepi ini idea untuk menjana ekonomi. Menariknya resepi ini letak tempe yang dihiris nipis. Beli bilis putih/kuning kerana rangup, kalau yang hitam agak liat.

Bahan-bahan:
  • 800 g ikan bilis yang sudah dikopek,
  • 10 peket tempe dihiris nipis,
  • ½ kg kacang tanah,
  • 1 ½ kg kentang dibuang kulit dan dihiris nipis,
    (Semuanya digoreng satu persatu hingga garing)
  • 2 biji bawang besar.
  • 2 biji bawang putih,
  • 10 tangkai cili kering,
  • ½ cawan gula,
  • 1½ cawan sos cili,
  • Sedikit garam.
Cara-cara :
  1. Mula-mula bawang dan cili diblender jadikan anggaran 2 cawan cili kisar.
  2. Kemudian tumis cili kisar hingga naik bau dan masukkan gula, biarkan sehingga nampak likat.
  3. Masukkan sos cili dan garam. Masak sehingga likat dan pekat baru campurkan semua bahan-bahan goreng tadi. Gaul rata dan angkat.

Tips :

  • Untuk dapatkan kentang goreng yang rangup, taburkan sedikit tepung ke dalam minyak sewaktu hampir kekuningan dan kacau hingga garing, angkat.
  • Untuk menampakkan cili yang kemerahan dan likat masukkan gula lebih awal semasa tumis cili. Gula yang mencair akan cepatkan cili kering dan nampak berkilat.
  • Lepas cuci tos dan terus goreng supaya rangup. Bila tos terlalu lama jadi kurang rangup.

Sambal Kering Bilis Kentang Kacang

Imej via Facebook

Kali ini Arif Nabilla berkongsi resepi sambal kering bilis kentang dengan kacang tanah. Biasanya kalau beli di kedai yang sudah siap pek mahal bukan? Kalau buat sendiri pula kena rajin sebab langkah-langkah dia banyak, buatnya lama tapi makan sekejap terus habis.

Bahan-bahan :
  • 7 biji kentang dihiris nipis,
  • 2 peket tempe dihiris nipis,
  • 1 genggam kacang tanah,
  • 1 genggam ikan bilis,
  • Cabai kering diblender.
Cara-cara :
  1. Goreng asing kentang, tempe, kacang tanah dan ikan bilis.
  2. Kemudian masak cabai kering yang diblend tadi sampai kering, letak air asam dan garam.
  3. Pastikan cabai masak sehingga kering, baru sejukkan.
  4. Jika sudah sejuk baru campur semua bahan yang sudah digoreng tadi.

Sambal Bilis Kering Kentang Mudah

Imej via Facebook

Resepi seterusnya dariapa Mazliza Ahmad di laman Facebook. Sesiapa yang tiada idea untuk masak esok, boleh guna resepi ini. Sedap sangat gaul dengan nasi panas.

Bahan-bahan :
  • Ikan bilis kopek- 1 mangkuk kecil (goreng dulu),
  • ½ biji kentang-hiris dan digoreng,
  • *3 biji cili masak,
  • *15 biji cili padi,
  • *1 biji bawang besar,
  • *4 ulas bawang putih,
  • *sedikit belacan,
    (Mesin bahan bertanda*)
  • 1 biji bawang besar-hiris,
  • 1 keping asam keping,
  • Garam dan perasa.
Cara-cara :
  1. Tumis bahan blend hingga garing.
  2. Masukkan asam keping, garam dan perasa.
  3. Akhir skali masukkan bilis, kentang dan bawang hiris. Siap.

Sambal Kentang, Tempe, Kacang Tanah Bilis

Imej via Facebook

Sambal kentang tempe kacang tanah bilis atau dipanggil Sambal Mentaram. Jangan letak air, supaya sambal tahan lama dan tidak basi. Nurul Joe berkongsi di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Cili kering (dikisar dengan minyak),
  • Bawang putih,
  • Gula,
  • Garam,
  • Ikan bilis*,
  • Kentang*,
  • Tempe*,
  • Kacang tanah*,
    *semua digoreng dan disejukkan dahulu.
Cara-cara :
  1. Mula-mula tumis bawang putih, masukkan cili kering. Masak cili kering sampai betul-betul masak dan pecah minyak.
  2. Kemudian masukkan gula (lebihkan gula dalam 6 sudu besar @ lebih), masak sekejap untuk warna sambal lebih pekat.
  3. Seterusnya masukkan garam.
  4. Biarkan sambal betul-betul sejuk, baru masukkan bahan-bahan goreng tadi dan gaul rata.

Sambal Kentang Ikan Bilis

Imej via Facebook

Lauk yang amat simple boleh simpan untuk bersahur. Resepi ini sedap sampaikan mata yang terlelap boleh segar terang benderang celik. Resepi dikongsikan oleh Yasmin Dayanti Fami di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 3 biji kentang disagat guna pengopek kentang,
  • Sejemput ikan bilis ,
  • Sejemput cili kering direbus,
  • ½ biji bawang besar,
  • 3 ulas bawang putih,
  • 1 sudu sos tiram,
  • 1 sudu cili sos,
  • Garam/gula/cuka secukup rasa,
  • Minyak.
Cara-cara :
  1. Mula-mula kentang digoreng sampai garing, ketepikan.
  2. Seterusnya goreng ikan bilis sampai garing, ketepikan.
  3. Kurangkan minyak dan masukkan cili kering, bawang besar dan bawang putih yang sudah diblender halus. Masak sampai masak betul.
  4. Tuangkan sos cili dan sos tiram, garam, gula dan cuka secukup rasa.
  5. Bila cili sudah masak dan rasa sudah cukup sedap, matikan api.
  6. Biarkan sambal sejuk baru masukkan ikan bilis dan kentang. Gaul sebati supaya semua bahagian sekata.

Sambal Kentang Bilis Ketagih

Imej via Facebook

Nkhalida Alias berkongsi resepi sambal krup krap mudah dengan bahan agak-agak yang pasti simple dan sedap. Masak sambal sambal gaul sambal meratah, memang ketagih. Hidang sedikit, selebihnya simpan dalam balang tahan dalam 2/3 hari, makan dengan goreng telur dadar makin ketagih.

Bahan-bahan :
  • Ikan bilis,
  • Tempe dipotong nipis,
  • Kentang,
  • Kacang tanah,
  • Cili kering,
  • Bawang besar dan bawang putih,
  • Garam dan gula secukup rasa.
Cara-cara :
  1. Goreng ikan bilis, kacang tanah, kentang dan tempe hingga rangup.
  2. Tumis bahan cili kering, bawang merah dan bawang putih dengan minyak.
  3. Perasakan sambal dengan garam dan gula secukupnya. Tumis guna api perlahan, sebab nanti sambal akan terpercik. Pastikan sambal betul-betul masak guna api perlahan tidak akan hangus.
  4. Sejukkan sambal sekejap, jangan masukkan bahan-bahan semasa sambal panas nanti bahan-bahan jadi layu dan tidak rangup.
  5. Jika sambal sudah sejuk baru masukkan semua bahan-bahan yang sudah digoreng tadi dan gaul rata semua bagi sebati.

Sambal Bilis Kentang Kacang Tanah Kering

Imej via Facebook

Menu wajib tiap kali menyambut bulan puasa, sambal bilis campur kentang campur kacang tanah. Selalunya guna bilis dan kacang tanah saja, kali ini rajin tambah kentang. Buat kering-kering boleh tahan dalam sebulan. Suami kata tidak ada lauk lain pun tidak mengapa. Resepi oleh Mufidah Abdul Hadi Alyunusi di laman Facebook.

Bahan-bahan:
  • 200g ikan bilis – cuci bersih dan toskan,
  • 200g kacang tanah – cuci bersih dan toskan,
  • 1¼ cawan metrik cili kisar (boleh tambah jika suka lebih pedas),
  • 2 labu (saiz besar) bawang besar dikisar halus,
  • 4 ulas bawang putih dikisar bersama bawang besar,
  • 3 biji kentang saiz sederhana,
  • 2 sudu makan bancuhan pekat asam jawa,
  • 1½ sudu besar gula perang dan ½ sudu besar garam,
  • Minyak untuk menggoreng.
Cara-cara :
  1. Kentang dibelah dua memanjang dan dihiris halus.
  2. Masukkan kentang yang dihiris ke dalam bekas berisi air supaya tidak berubah warnanya.
  3. Kemudian sediakan sebuah bekas besar yang diisi dengan air, air batu dan sedikit cuka makan.
  4. Bilas bersih kentang yang dihiris tadi dan masukkan ke dalam bekas yang berisi air ini. Ketepikan selama 10 minit.
  5. Toskan kentang dan lap lebihan air menggunakan tuala dapur yang bersih.
  6. Panaskan minyak yang banyak dan goreng kentang menggunakan api sederhana. Jangan masukkan kentang terlalu banyak ke dalam minyak panas pada satu masa.
  7. Bila sudah garing dan berwarna keemasan, angkat dan toskan minyaknya.
  8. Seterusnya goreng kacang tanah dalam lebihan minyak tadi. Bila garing, angkat dan toskan minyaknya.
  9. Menggunakan minyak yang sama, goreng pula ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya.
  10. Panaskan lebih kurang satu cawan (atau secukupnya) lebihan minyak tadi dan tumis bahan-bahan kisar (bawang besar, bawang putih dan cili kisar). Masak atas api sederhana sambil dikacau selalu.
  11. Bila sambal semakin pekat, masukkan gula, garam dan asam jawa.
    Perlahankan api dan kacau selalu sehingga garing.
  12. Masukkan bilis, kentang dan kacang tanah yang telah digoreng dan balikkan hingga sebati, langkah ini harus cepat supaya sambal tidak hangus.
  13. Bila sambal telah sejuk sepenuhnya, boleh disimpan dalam bekas kedap udara.
  14. Kalau ingin simpan sambal dalam tempoh yang agak lama, saya sarankan tidak gunakan kentang. Guna sudu atau sudip kering untuk cedok sambal ini supaya tidak cepat rosak.

Sambal Kentang Ikan Bilis Rangup

Imej via Facebook

Sambal kentang ikan bilis rangup, lauk yang simple tapi menyelerakan. Lauk yang wajib ada atas meja makan dan laku keras. Cara buat pun senang. Resepi dikongsikan oleh Sarmila Sharif di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Kentang dikupas kulit, sagat dan rendam dalam air kapur lebih kurang 10 minit.
  • Basuh bersih dan toskan.
  • Ikan bilis digoreng,
  • Kacang tanah digoreng,
  • Bawang goreng.
Bahan sambal :
  • Bawang putih dikisar,
  • Lada kering kisar,
  • Gula dan serbuk perasa,
  • Cuka.
Cara-cara :
  1. Goreng kentang hingga garing. Letak secubit garam semasa menggoreng.
  2. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga naik bau.
  3. Masukkan cili kisar, biar naik minyak.
  4. Kemudian masukkan gula, garam, serbuk perasa dan garam.
  5. Akhir sekali masukkan cuka.
  6. Bila sambal sudah masak, sejukkan dan masukkan bahan-bahan yang digoreng tadi, siap.
  7. Simpan dalam balang yang ditutup rapat dan jangan terdedah udara, kalau mau makan ambil sedikit dan terus tutup, supaya kekal rangup.

Sambal Bilis Kentang Sedap

Imej via Facebook

Makan dengan sambal pelengkap rasa, kalau ada sambal ini makan nasi boleh menambah-nambah. Ada yang geng dengan sis Ashikim Redzuan? Jom cubakan resepinya.

Bahan-bahan :
  • 2-3 biji kentang, disagat dan direndam sekejap dalam air kapur.
  • Tapis dan biarkan tos sekejap, kemudian boleh digoreng.
Cara menyediakan kentang sambal sira :
  1. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sampai garing. Masukkan cili giling.
  2. Masak sampai betul-betul garing dan pecah minyak.
  3. Perasakan dengan garam dan masukkan gula. Masukkan kentang dan gaul rata.
  4. Pastikan semasa menumis minyak tidak banyak sangat, takut kentang jadi lembik.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi sambal goreng kering bilis kentang, kami juga menulis resepi lain yang mendapat perkongsian ramai. Sila baca dan cubakan resepinya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Resepi Menarik Lain

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *