Resepi kali ini merupakan sebuah resepi kuih turun temurun. Kuih koci adalah sejenis kuih yang diperbuat dari tepung pulut dan inti kelapa. Kemudian ianya dibungkus dengan daun pisang dan dikukus sehingga masak.
Pada zaman dahulu banyak kuih yang dibungkus dengan daun pisang, tempe juga dan banyak lagi masakan lain. Ini kerana pada masa itu daun pisang sangat mudah ditemui. Pisang adalah antara tanaman yang paling banyak mempunyai fungsi. Kita bertuah kerana di negara kita pisang amat mudah ditemui.
Baiklah kali ini Madam akan kongsikan resepi kuih koci menggunakan buah labu, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Resepi Koci Labu (Masakan Tradisional)
Bahan-bahan
Resepi Inti
- 1/2 biji kelapa inti (diparut)
- 2 -3 keping gula melaka
- Gula pasir
- 2 helai daun pandan dikoyak dan disimpul
- Air kelapa (juga boleh digantikan dengan air kosong biasa)
- 1 sudu besar tepung gandum
Kaedah
- Masak gula melaka dengan air kelapa hingga gula hancur.
- Masukkan simpulan daun pandan.
- Masukkan kelapa dan masak dengan api perlahan hingga kelapa agak kering dan melekit. Masukkan gula pasir jika masih kurang manis.
- Akhir sekali masukkan tepung gandum dan kacau rata. Masak hingga agak kering. Sejukkan.
Resepi Koci
- 1 cawan labu yang telah direbus dan dilenyek
- 1 1/4 cawan tepung pulut
- Sedikit garam halus
Kaedah
- Campurkan semua bahan dan jadikan doh yang sekata. Adunan akan melekat sedikit pada tangan. Tidak perlu tambah tepung kerana ini akan menghasilkan kuih yang lembut dan tidak liat.
Untuk sapuan pada kuih
- 1 cawan santan pekat
- 1 sudu teh tepung beras
- Sedikit garam
Kaedah
- Campur tepung dengan santan dan kacau hingga sebati.
- Masak dengan api perlahan. Masukkan garam.
- Apabila sudah timbul buih-buih kecil (mendidih sedikit) tutup api dan ketepikan.
Kaedah penyediaan kuih koci labu
- Cubit dan gentelkan inti ikut saiz yang dikehendak
- Ambil adunan tepung besar sedikit saiz dr inti dan bungkus inti tadi.
- Jika doh agak melekit, sapukan tangan dengan sedikit tepung gandum.
- Sapukan sedikit sapuan santan ke atas daun pisang.
- Letakkan sebiji kuih dan bungkus dengan kemas.
- Kukus kira-kira 20 minit atau sehingga kuih masak.
Kuih koci mempunyai tekstur yang kenyal-kenyal dan dengan buah labu yang ditambah ia mempunyai aroma yang lebih sedap dan rasanya juga amat sedap. Bagaimanapun untuk membuat kuih ini memerlukan daya fokus dan kesungguhan. Jadi bagi anda pengemar kuih tradisional bolehlah mencuba resepi ini. Semoga berjaya!
Resepi – resepi lain yang menarik
Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada resepi ini, ada pelbagai variasi resepi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini bersama rakan anda ya.
Leave a Reply