Koleksi 10 Resepi Pulut Selera Orang Kita
Pulut adalah sejenis beras yang ditanam banyak dinegara Asia Tenggara seperti Malaysia,Vietnam, Thailand dan Indonesia. Ianya ditanam dan dituai seperti mana untuk membuat beras yang kita gunakan untuk masak nasi.Dan ianya dipanggil beras pulut dan mempunyai kandungan kanji yang lebih banyak dan mempunyai tekstur yang melekit-lekit. Kebiassannya pulut dimasak bersama santan, susu ataupun air dan juga beberapa bahan lain.
Pulut digunakan banyak didalam masakan manis dan jua savori samada dimakan bersama manisan atau kuah rendang yang sangat mengasyikkan. Secara asasnya ada dua jenis beras pulut yang kerap digunakan iaitu pulut putih dan pulut hitam juga satu lagi jenis iaitu beras pulut dimana ianya adalah beras pulut yang telah dikisar.
Dalam perkongsian kali ini kami akan membawa kepada anda 10 resepi pulut dan beras pulut yang paling popular, sedap dan senang untuk disediakan. Ianya merupakan kegemaran ramai rakyat Malaysia dan bagi anda yang mencuba berikut adalah resepi-resepinya.
1) Resepi Nangka Sumbat Pulut
Resepi pulut ini merupakan perkongsian oleh Zaimah Zakaria di laman Facebook, ia adalah sejenis manisan yang disediakan menggunakan pulut yang telah dimasak bersama santan, kemudian ianya disumbat kedalam buah nangka yang telah masak ranum. Bagi anda yang ingin mencubanya berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan Pulut :
- 2 cawan pulut direndam selama 1 jam,
- 5 sudu besar pati santan,
- 5 sudu besar air bunga telang,
- Secubit garam.
Cara-cara :
- Kukus pulut macam biasa.
- Jika sudah masak keluarkan dan gaul dengan pati santan yang dicampur dengan garam. Kukus balik.
- Jika sudah berkilat baru tuang air bunga telang. Kacau-kacau rata.
- Belah nangka. Sumbat pulut ke dalamnya.
Bahan Sos :
- 1 cawan santan kotak,
- ½ cawan air,
- 3 sudu besar tepung beras,
- ½ sudu kecil garam.
Cara-cara :
- Sebatikan semua bahan di atas. Masak dengan api yang perlahan.
- Masak sehingga pekat.
- Tuang ke atas pulut nangka tadi. Selamat mencuba.
2) Resepi Pulut Kuning Rendang Daging
Berikut ini dikongsikan oleh Nur ZoyAliana Sham Husin di laman Facebook. Bahan-bahan dan cara meyediakannya amat senang dan simple tapi rasanya amat sedap. Pulut kuning yang sangat terkenal dikalangan orang Melayu, dahulu ianya digunakan didalam pelbagai acara keraian seperti perkahwinan dimana ia dijadikan hantaran. Bagi anda yang ingin mencubanya berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan Resepi Rendang :
- Daging satu kilo,
- Santan segera sekotak yang kecil,
- 3 biji bawang besar **,
- 5 ulas bawang kecil **,
- 5 ulas bawang putih **,
- 1 inci lengkuas **,
- 2 inci halia **,
- 3 inci kunyit hidup **,
- 1 genggam cili padi **,
- Setengah cawan minyak masak **,
- 3 batang serai,
- 5 sudu besar cili kering kisar,
- 1 buku kecil gula Melaka,
- Sehelai daun kunyit,
- 2 keping asam keping,
- Kerisik,
- Garam.
Cara-cara :
- Blend semua yang bertanda **.
- Tumis hingga pecah minyak.
- Kemudian masukkan cili kering kisar.
- Tumis lagi sehingga pecah minyak.
- Kemudian masukkan daging dan serai.
- Kacau sebati dan masak sehingga daging hampir empuk.
- Masukkan gula melaka.
- Masukkan daun kunyit.
- Masukkan santan.
- Masak lagi sehingga daging empuk.
- Masukkan kerisik dan asam keping.
- Masak lagi dan perasakan dengan garam.
Bahan Untuk Pulut Kuning :
- Pulut 1 kg,
- Serbuk kunyit,
- Santan segera sekotak yang kecil,
- Garam.
Cara-cara :
- Rendam pulut dengan serbuk kunyit dalam 3-4 jam.
- Kemudian basuh bersih dan tos.
- Kukus dalam 45 minit.
- Kemudian, keluarkan pulut dari kukusan dan gaul rata dengan santan dan perasakan dengan garam.
- Teruskan kukus semula lebih kurang setengah jam sehingga pulut benar-benar masak.
3) Resepi Kuih Koci Pulut Hitam
Seterusnya ini ialah resepi kuih yang sangat digemari dan pasti ada dalam majlis keraian. Resepi ini telah dikongsikan oleh NoorNazirah Che Hussain dan telah mendapat banyak perkongsian di media sosial. Kuih koci diperbuat daripada beras pulut dan mempunyai tekstur yang kenyal dan didalamnya terdapat inti kelapa yang sangat sedap dan manis, berikut adalah bahan-bahan digunakan.
image via Facebook
Bahan – bahan:
Bahan adunan:
- 1kg tepung pulut*
- 1 1/2 cwn tepung pulut hitam*
- 1 kotak santan*
- Sedikit garam*
- Air secukupnya*
Bahan inti:
- 1 biji kelapa parut
- 400gm gula merah
- 100gm gula putih
- 2 helai daun pandan
Cara – cara memasak:
- Bahan – bahan adunan dibancuh terlebih dahulu sehingga lembut.
- Untuk bahan inti, gula merah dimasak bersama gula putih berserta 2 cawan air sehingga mendidih.
- Kemudian, tapiskan gula tersebut kedalam kuali.
- Masukkan kelapa dan juga daun pandan.
- Masak sehingga air gula merah kering.
4) Resepi Pulut Mangga
Resepi ini merupakan sejenis manisan yang popular disebelah utara tanahair, mangga kuning dimakan bersama pulut yang telah dimasak kemudian dicurah dengan santan yang lemak-lemak begitu mengasyikkan. Berikut adalah bahan bahan-bahan yang digunakan.
Bahan-bahannya
● Bahan-bahan untuk pulut mangga
● 400 gram beras pulut, rendam semalaman
● 1 cawan santan pekat
● 1 cawan santan cair
● 2-3 sudu besar gula
● sedikit garam
● beberapa helai daun pandan, atau daun pisang
● 2 sudu besar bijan, dibakar tanpa minyak untuk taburan
- 3 biji mangga ( dipotong dadu)
Bahan untuk kuah santan
● 1 cawan santan pekat
● 1 sudu kecil tepung beras atau tepung jagung, bancuh dengan sedikit air
● 1 helai daun pandan, carik dan simpul
● garam secukup rasa (biar kuah agak masin)
Kaedah
Cara-cara untuk masak pulut
- Panaskan pengukus. Lapik dulang pengukus dengan daun pisang atau susun daun pandan rapat-rapat.
- Bilas pulut yang telah direndam semalaman dan tapis keluar airnya. Masukkan ke dalam dulang kukusan dan kukus sehingga lembut. Anggaran masa kukus adalah selama 20 minit.
- Apabila sudah lembut, angkat dan masukkan pulut kukus ke dalam mangkuk yang besar.
- Satukan santan pekat, santan cair, gula dan garam dan kacau sebati.
- Tuang bancuhan santan ke dalam pulut yang masih panas tadi.
- Balik-balikkan pulut dan biar seketika supaya kuah bancuhan meresap ke dalam pulut.
- Apabila pulut sudah kering meresap kuah santan, ambil garfu dan gemburkan pulut.
- Hidang bersama kuah santan, buah mangga dan taburan bijan.
Cara-cara untuk kuah santan
- Panaskan santan pekat di dalam periuk dan masak di atas api yang sederhana.
- Masukkan garam, daun pandan dan bancuhan tepung.
- Teruskan kacau supaya santan tidak berketul.
- Kalau agak cair masukkan sedikit lagi bancuhan tepung. Anda boleh agak-agak kepekatan di sini.
- Pastikan kuah mempunyai rasa yang agak masin supaya dapat menyeimbangi rasa manis buah dan pulut.
- Angkat dan sejukkan.
- Sediakan dihidangkan bersama pulut dan mangga.
5) Resepi Pulut Panggang
Seterusnya ini ialah sejenis kuih savori kerana ia menggunakan inti kelapa yang sedikit pedas dan sediktipedas. Kemudian dibungkus dengan daun kelapa sebelum dibakar, kuih ini juga amat sedap dan sangat digemari. Berikut adalah bahan-bahan yang digunakan.
Bahan-bahan pulut
- 2 cawan pulut -rendam semalaman
- 1 cawan santan pekat + sikit garam
- 15 keping daun pisang -layur
Kaedah
- Kukus pulut yang telah direndam semalaman.
- Bila dah masak,semasa masih panas gaulkan dengan santan yang sudah dicampur sedikit garam..
- Layur daun pisang & lap
Bahan serunding kelapa
- 1 biji kelapa parut putih(+- 4 cawan)
- 2 sudu minyak
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu besar gula melaka parut
- 2 sudu besar air asam jawa cair
Bahan kisar
- 10 cili kering-rendam air panas
- 1 biji bawang besar
- 5 hiris kunyit
- 5 hiris lengkuas
- 1 sudu jintan manis(kasar)
- 2 btg serai-hiris
- 1/2 cawan ikan bilis-bersihkan
Kaedah
- Panaskan minyak & tumis bahan blend.
- Masak hingga garing & naik minyak
- Masukkan juga garam gula & air asam jawa
- Masukkan kelapa parut putih
- Sentiasa kacau hingga agak kering & berderai.
- Tambah santan jika perlu atau gaul sahaja sehingga kelapa masak.
Penyediaan pulut panggang
- Tambah 1 sudu besar pulut dan longgokkan atas sekeping daun pisang. (layur daun pisang jika perlu)
Tekan-tekan hingga leper.Guna sarung tangan plastik atau plastik biasa agar lebih mudah - Tambahkan inti ditengah-tengah pulut secara memanjang
- Lipat kiri kanan daun pisang dan semat dengan lidi atau stapler dibahagian hujungnya.
- Gunting lebihan daun dan panggang hingga nampak garing.
- Siap!
6) Resepi Sagu Pulut Mangga
Satu lagi resepi pulut bersama mangga, bezanya kali ini ia ditambah dengan sagu yang sangat melekakan bila dinikmati. Sesuai bagi pengemar manisan nusantara berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- 3 biji mangga – potong ikut suka
- 2 sudu besar bijan – digoreng tanpa minyak
Pulut Kukus
- Bahan bahan:
- 2 cawan beras pulut – rendam semalaman atau 4 jam
- 1/2 santan pekat + air secukupnya + 1/4 sudu kecil garam
- 2 helai daun pandan – carikkan
Kaedah
- Tos pulut dan masukkan dalam pengukus. Kukus selama 15 minit. Angkat dan masukkan ke dalam bekas.
- Tuang santan yang digaul bersama garam. Gaul bersama santan hingga rata. Tuang santan sedikit sedikit sehingga pulut lembut.
- Masukkan kembali pulut ke dalam pengukus bersama daun pandan dan kukus semula selama 20 minit atau hingga masak.
Kuah Santan
Bahan bahan
- 1/2 cawan santan kotak
- 1 cawan air
- 1 sudu kecil garam – mesti ada rasa masin
- 1 helai daun pandan
- 1 sudu besar sagu putih (rendam dahulu)
Kaedah
- Satukan semua bahan kecuali dan masak hingga mendidih.
- Kacau selalu supaya tidak berketul.
- Kemudian masukkan biji sagu dan masak hingga sos nampak pekat. Teruskan kacau supaya santan dan sagu tidak berketul.
- Siap.
- *Pastikan kuah mempunyai rasa yang agak masin supaya dapat menyeimbangi rasa manis buah dan pulut. Angkat dan sejukkan. Hidangkan pulut bersama mangga dan sos santan.
Penyediaan
- Letak pulut ke dalam pinggan.
- Hiris mangga secara kiub atau apa yang disukai. Tuang sos santan sagu ke atas pulut.
- Sedia untuk dihidangkan.
7) Resepi Pulut Kuning
Resepi pulut kuning ini adalah satu lagi resepi menyediakan pulut kuning yang sedap dimakan bersama sambal tumis, kari atau apa-apa sahaja cicahan yang sesuai yang boleh anda cuba. Berikut adalah bahan-bahan yang digunakan.
Bahan-bahan
- 500g beras pulut (Rendam beras pulut sekurang-kurangnya 6 jam
- 1 sudu kecil kunyit
- Santan dari 1 biji kelapa parut.
- Garam secukup rasa
Kaedah
- Mula-mula toskan pulut yang telah direndam semalaman.
- Panaskan periuk kukus 15 minit dan kukus beras pulut selama 1/2 jam atau sehingga masak. Angkat dan masukkan di dalam mangkuk besar.
- Masak santan bersama gula dan garam bagi mendidih sedikit tetapi awas jangan sampai pecah santannya.
- Masuk santan ke dalam pulut dan rehatkan sehingga santan meresap.
- Setelah sebati,kukuskan sekali lagi sebentar untuk elakkan pulut menjdi cepat basi .
- Siap.
8) Resepi Pulut Udang Kasih
Berikut ini adalah satu lagi cara menyediakan resepi pulut savori bersama inti kelapa dan juga udang yang boleh anda cuba sendiri. Penyediaannya tidak banyak beza seperti mana pulut panggang dan berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan A :
- 2 cawan beras pulut (direndam 4 jam)
- -kukus pulut hingga masak.
Bahan B
- 1 cawan santan*
- Secubit garam*
- 1 sudu besar mentega*
- -masak bahan bertanda * di atas dalam api perlahan hingga sedikit didih.
- Gaulkan sebati bahan A (pulut kukus) bersama bahan B (santan) sewaktu masih panas. Ketepikan.
Inti :
- 1/2 biji kelapa parut
- 7 tangkai lada kering (rebus dulu)
- 2 sb udang kering
- 1 sb jintan manis
- 1 batang serai
- 1/2 inci kunyit hidup
- Sedikit minyak untuk menumis
- Semangkuk udang kertas/udang basah
- Garam dan gula secukup rasa
Kaedah
- Kisar halus lada kering, jintan manis, serai, kunyit hidup dan udang kering. Ketepikan.
- Panaskan minyak. Tumis bahan kisar tadi hingga naik baunya.
- Masukkan garam, gula dan udang basah.
- Kacau sekejap dan masukkan kelapa parut.
- Kacau hingga kering dalam api perlahan.
Cara penyediaan
- Sediakan daun pisang layur secukupnya.
- Letakkan 1 sb pulut di atas daun pisang.
- Letakkan inti di atasnya.
- Gulung dan balut dengan kemas. Sematkan lidi pada kiri dan kanan.
- Buat hingga habis.
- Panggang hingga masak diatas bara atau atas non stick pan dengan sedikit minyak.
9) Resepi Bubur Pulut Hitam
Resepi ini merupakan sejenis manisan yang sangat popular dan kerap dihidangkan didalam majlis-majlis keraian seperti perkahwinan mahupun kenduri kendara. Ia menggunakan beras pulut hitam dan bahan digunakan didalam resepi ini juga amat minima.
Bahan-bahan
- 1 cawan beras pulut hitam
- Air secukupnya untuk merebus beras pulut hitam
- ½ cawan gula merah
- ½ cawan gula putih
- 1 sudu teh garam
- 1tbsp sagu (pilihan)
- 2 helai daun pandan – disimpul
- 1 cawan pati santan kelapa
Kaedah
- Beras pulut hitam dibasuh bersih dan direndam semalaman, kemudian dibasuh lagi dan ditoskan.
- Masukkan beras pulut hitam di dalam periuk bersama air dan daun pandan. Rebus sehingga sehingga empuk dan kembang.
- Sekiranya air telah kering dan beras masih belum empuk, tambahkan air lagi.
- Bila ia telah separuh empuk, masukkan sagu jika anda suka.
- Biarkan sagu separuh jernih baru masukkan gula putih dan gula merah.
- Tambah lagi air jika bubur terlalu pekat.
- Apabila bubur makin pekat, masukkan santan pekat.
- Masak lagi hingga bubur menjadi pekat.
- Akhir sekali masukkan garam.
- Tutup api dan hidangkan bubur pulut hitam dengan kuah santan.
Bahan kuah santan
- ¼ cawan santan pekat
- ½ cawan air
- 1 tsp garam
- 1tsp tepung jagung + 1tbsp air
Kaedah
- Campur semua bahan dan buka api.
- ‘Biarkan kuah mengelegak dan tambah air tepung jagung.
- Tutup api.
- Sejukkan sebelum digunakan.
10) Resepi Bubur Pulut Hitam Durian
Resepi terakhir didalam koleksi kali ini dikongsikan oleh Cik Puan Yayang dan mendapat banyak perkongsian di media sosial. Ia menggunakan durian didalam bubur pulut hitam dan sudah tentu ianya sesuatu yang unik yang boleh anda cuba sendiri sebagai hidangan anda sekeluarga terutama ketika menjelang musim durian, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Imej via Facebook
Bahan – bahan:
- Pulut hitam
- Gula
- Durian
- Santan
- Garam
Cara – cara memasak:
- Basuh dan rendamkan pulut.
- Masakkan pulut sehingga kembang (masak dengan kuantiti air yang sederhana).
- Apabila pulut sudah kembang, masukkan durian. Kacau sehingga durian hancur.
- Masukkan santan. Bubur akan menjadi pekat dan masukkan air sedikit.
- Masukkan gula dan garam.
- Kacau sehingga sebati dan mendidih.
Walaupun harga pulut agak mahal berbanding beras, namun begitu ianya sentiasa mempunyai peminatnya. Bagi anda yang tidak pernah mencuba masak pulut anda haruslah mencubanya. Ini kerana walaupun dikatakan penyediaan pulut ini agak cerewet namun sebenarnya ia tidaklah benar kerana ia juga boleh dimasak seperti nasi didalam ‘rice cooker’ sahaja. Apapun diharap anda akan mencuba resepi-resepi didalam kerana kebanyakan resepi ini telah diuji dan ternyata bukan sahaja sedap tetapi juga amat mudah untuk disediakan.
Resepi – resepi lain yang menarik
Terima kasih kerana melayari laman web kami dan membaca artikel koleksi resepi pulut ini. Disini ada pelbagai koleksi resepi yang telah dicuba dan terbukti menjadi yang boleh menjadi inpirasa dan memberi idea kepada anda. Diharap anda jangan lupa mencuba dan like dan share juga agar memberi manafaat pada orang lain.