Masak lemak putih adalah sejenis masakan berkuah yang menggunakan santan dan menggunakan bahan-bahan yang amat ringkas. Ia tidak menggunakan sebarang pes cili, minyak mahupun asam keping atau asam jawa. Ini kerana masakan ini merupakan alternatif bagi mereka yang tidak makan masakan yang pedas. Bahan yang digunakan didalam masak lemak putih lazimnya ialah santan yang dimasak bersama sayur-sayuran, kadangkala ia dicampur dengan sedikit serbuk kunyit untuk memberi tarikan warna kuning namun tidak memberi banyak kesan pada rasanya.
Koleksi kali ini menghimpunkan 10 resepi masak lemak putih yang sangat mudah untuk disediakan. Masakan ini juga sesuai dihidangkan bersama sambal belacan, sambal ikan ataupun masak berlada. Mari sama-sama kita lihat apakah dia 10 resepi didalam koleksi kali ini.
1) Resepi Pucuk Ubi Lemak Putih Dengan Tempe
Resepi ini adalah sejenis masakan kampung yang bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah ia juga amat sedap dan sesuai bagi semua lapisan umur kerana ianya tidak pedas. Bagi peminat pucuk ubi, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- Secekak daun pucuk ubi
- 2 keping tempe
- Bawang besar dibelah 4
- Ikan bilis
- Cili kering
- Santan cair
- Garam dan serbuk perasa
Kaedah
- Bersihkan pucuk ubi dan rebus hingga empuk, perah dan ketepikan.
- Masukkan santan cair, tambah bawang,ikan bilis dan cili kering.
- Buka api dan kacau agar santan tidak pecah.
- Masukkan pucuk ubi dan tempe
- Masak hingga sebati dan tambah garam serta serbuk perasa.
- Apabila semua bahan telah sebati,tutup api dan hidangkan.
2) Resepi Lemak Putih Tempe
Resepi berikut pula diolah bagi mereka yang amat menggemari tempe, sejenis makanan yang diperbuat dari kacang soya dan sangat popular dikalangan masyarakat Jawa dan Indonesia. Tempe yang dimasak lemak amat sedap kerana ia sangat lembut dan berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- 2 keping tempe, dipotong
- 1 cekak soo hoon, kerat dan rendam
- ½ biji kobis kecil
- Sayur sawi manis
- 1 biji bawang besar, hiris
- 3 ulas bawang putih, diketuk
- 1 biji cili merah, dihiris
- 1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, toskan dan tumbuk kasar
- 1200 ml santan cair
- 500 ml pati santan
- Garam dan serbuk perasa secukup
Kaedah
- Dalam periuk, satukan bawang besar, bawang putih, udang kering, tempe dan santan cair. Jerang atas dapur dan biar mendidih.
- Tambah sayur-sayuran dan biarkan ia lembut dan empuk.
- Masukkan suhun dan biar mendidih.
- Tuang pati santan dan masukkan hirisan cili, secubit gula dan garam secukup rasa.
- Biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala.
- Siap!
3) Resepi Lemak Putih Labu
Resepi seterusnya ini menggunakan buah labu didalam masakan lemak putih, seperti kebanyakan resepi masakan lemak putih ianya amat mudah untuk disediakan dan penggunakaan daun kunyit dan lada hitam memberi rasa dan aroma yang berbeza. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- Buah labu ½ biji (buang kulit dan potong dadu)
- Daun kunyit sehelai disiat
- Bawang besar sebiji dipotong 4
- Cili merah seulas dihiris
- Cili api 4 ulas (jika suka pedas)
- 1 sudu makan ikan bilis
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam.
- Santan 1 peket kecil
Kaedah
- Masukkan dalam periuk santan, tambah air ½ cawan.
- Masukkan labu dan buka api, sentiasa kacau agar santan tidak pecah.
- Apabila labu telah mula empuk, baru masukkan bawang besar ,ikan bilis dan cili merah.
- Biar sebati dan mengelegak baru tambahkan garam dan serbuk perasa secukup rasa.
- Akhir sekali masukkan daun kunyit dan serbuk lada hitam sebelum dihidangkan.
- Siap
4) Resepi Lemak Putih Kobis
Seterusnya ialah lemak putih yang menggunakan sayur kobis yang dimasak sehingga empuk dan mempunyai rasa yang manis dan amat sedap terutama bila dinikmati bersama sambal ikan, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan utama
- Kobis putih saiz kecil
- Santan ½ peket kecil
- Air secukupnya
Bahan-bahan hiris
- Bawang besar dibelah 4
- Cili merah/kering
Bahan rencah
- Hiris kobis kasar-kasar.
- Udang kecil satu mangkuk kecil
Kaedah
- Masukkan santan dan air didalam periuk
- Buka api dan kacau sentiasa supaya santan tidak pecah.
- Masukkan kobis,masak hingga ia empuk.
- Barulah masukkan udang, bawang dan cili.
- Tambah garam dan serbuk perasa.
5) Resepi Lemak Fucuk dan Suhun
Berikut ini adalah satu lagi resepi lemak putih yang sangat mudah disediakan dan ia juga amat sesuai dijadikan hidangan untuk anak-anak kecil. Masakan ini juga sesuai bagi mereka yang gemar hidangan ringkas, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- Santan 2 cawan
- Bawang besar (belah empat)
- Cili merah 1 ulas (hiris serong)
- Kentang 2 biji (dipotong baji)
- Segenggam ikan bilis
- Kobis ½ saiz kecil (hiris)
- ½ peket kecil suhun (atau lebih bergantung citasa)
- 1 peket kecil fucuk.
Kaedah
- Mula masukkan separuh santan dalam periuk,tambah sedikit air.
- Masukkan kentang dan masak sehingga ia empuk.
- Kemudian masukkan terus bawang, cili merah, ikan bilis dan kobis.
- Tambahkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
- Tambahkan baki santan dan masa sehingga mengelegak.
- Akhir sekali masukkan suhun dan fucuk.
- Biarkan ia lembut dan sedia untuk hidangan.
- Siap!
6) Resepi Bayam Masak Lemak
Seterusnya ialah masak lemak putih yang menggunakan sayur bayam yang perlu dimasak sehingga empuk dan memberi rasa yang sangat sedap dan perlulah dicuba sendiri. Dan berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- 2 ikat sayur bayam (potong & bersihkan)
- 3-4 tongkol keledek (saiz kecil)
- 3 ulas bawang merah
- Sedikit ikan bilis
- 1/2 st lada hitam
- 1 cawan santan pekat
- 2 gelas air
- Garam & gula
Kaedah
- Buangkan kulit serta potongkan keledek
- Rebus seketika, separuh masak, ketepikan
- Tumbuk bawang merah, ikan bilis & lada hitam
- Masukkan dalam periuk, air, bahan tumbuk & keledek
- Masak sehingga mendidih
- Masukkan garam, gula & santan
- Kacau supaya santan tidak pecah sambil masukkan sayur bayam
- Biarkan masak dan sedia untuk diangkat
7) Resepi Lontong
Resepi berikut ini telah dikongsikan oleh Rosnah Ahmad dan mendapat sebanyak 445 perkongsian di Facebook beliau.Masakan amat biasa dihidangkan dihari perayaan seperti hari raya atau rumah terbuka, ia menggunakan pelbagai jenis sayur-sayuran dan biasanya dimakan bersama nasi himpit. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
image via Facebook
Bahan – bahan:
- Terung – 5 batang (potong serong)
- Tauhu – 20 bji ( 1 biji potong 8 ) – digoreng
- Tempe – 6 ketul ( potong nipis2) – digoreng
- Suhuun – 3 pek kcik – rendam
- Pucuk – 6 pek sederhana – rendam
- Kacang panjang – 1/2kg – (potong serong)
- Lobak merah – 6 batang ( potong memanjang)
- Kobis – ikut suka nak banyak mana
- Halia- seinci
- Serbuk kunyit
- Garam
- Cili merah – 5 bji ( hiris nipis)
- Bawang besar – 3 labu ( hiris nipis )
- Santan sawit jenama khalis pek besar – 4 pek
- Udang kering – segengam (rendam)
- Bawang putih – 1 labu (hiris nipis)
Cara – cara memasak:
- Tumis bawang putih, bawang besar, halia , udang kering , cili merah sehingga layu dan tumis bersama kunyit.
- Masukkan semua sayur tumis skit…
- Masukkan santan. Ikut pekat yang kita nak. Letak air sedikit demi sedikit dan garam.
- Apabila sudah menggelegak, masukkan suhun, tempe & tauhu.
- Rasa secukupnya. Masukkan sayur dan pucuk. Masak shingga sayur empuk.
8) Resepi Maslodeh Kaki Ayam
Resepi seterusnya juga menggunakan pelbagai jenis sayur tetapi ia menggunakan kaki ayam yang telah direbus empuk dan dimasak didalam masakan lemak ini. Ia boleh diratah begitu sahaja ataupun dimakan bersama sepinggan nasi panas, sambal belacan dan ikan masin! berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan A
- ½ kilo kaki ayam (rebus hingga empuk)
- 2 batang lobak
- 1 ikat kacang panjang
- Kobis (dicincang kecil)
- Fucuk
- Suhun
- 2 batang serai (dititik)
- 1 kotak Santan
- Minyak untuk menumis
- Garam secukupnya
- * untuk sayur boleh juga nak guna sengkuang, terung dan tempe.
Bahan B (bahan kisar)
- 6 biji bawang merah
- 4 biji bawang putih
- 3 inci kunyit hidup
- 2 inci lengkuas
- 2 inci halia
- Segenggam udang kering (direndam)
Kaedah
- Panaskan minyak dan tumis semua bahan B sampai naik bau. Masukkan serai dan tumis sampai naik minyak.
- Masukkan kaki ayam,lobak, kacang panjang dan kobis.
- Kacau dan biarkan seketika.
- Apabila sayur mulai lembut, masukkan tauhu, fucuk, suhun dan santan.
- Kacau selalu untuk elak santan berketul, tambah garam dan serbuk perasa.
- Tambah air jika ingin lebih cair.
- Siap!
9) Resepi Lemak Putih Tauge
Resepi berikut ini biasanya dihidangkan bersama ikan kerisi berlada dan kos penyediaanya juga amat rendah tetapi sangat sedap dan berkhasiat. Tauge dan tauhu yang digunakan haruslah segar demi mendapat rasa yang optimum, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- Tauge RM1
- Sekeping tauhu
- Sebatang cili merah dihiris tebal
- Sebiji bawang besar dibelh empat.
- Ikan bilis 1 sudu makan
- Santan satu peket kecil
- Air secukupnya.
Kaedah
- Gorengkan tauhu dahulu dan potong dadu. Ketepikan.
- Bersihkan tauge. Ketepikan
- Masukkan santan, ikan bilis, cili merah yang telah dihiris dan bawang merah yang telah dibelah empat. Masukkan air dalam secawan atau lebih jika suka cair.
- Kacau sentiasa agar santan tidak pecah. Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
- Apabila telah mengelegak, barulah masukkan tauge dan tauhu yang telah dipotong tadi.
- Tutup api, boleh dihidang segera. Tauge tidak perlu masak lama kerana ia mudah lembik jika terlebih masak.
10) Resepi Lemak Putih Bayam Brazil
Resepi terakhir didalam koleksi kali ini menggunakan sayur bayam brazil yang mulai popular sejak akhir-akhir ini. Sayur bayam brazil tidak seperti bayam biasa kerana daunnya lebar tetapi ia tidak mempunyai batang yang panjang seperti bayam biasa. Ia juga amat sedap dimasak didalam masak lemak putih ini, berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- Segenggam daun bayam brazil
- Segenggam sayur pucuk manis
- Santan peket kecil
- Bawang besar belah 4
- Ikan bilis atau udang
- Keledek (potong sederhana)
- Garam dan serbuk perasa secukupnya.
Kaedah
- Mula-mula bersihkan daun bayam brazil dan sayur pucuk manis, asingkan.
- Rebus keledek hingga separa empuk.
- Masukkan bawang besar dan juga bayam brazil dan pucuk manis.
- Masukkan ikan bilis atau udang jika suka.
- Masak sehingga keledek dan sayur menjadi empuk.
- Kemudian masukkan santan sedikit demi sedikit dan tambah air lagin jika anda suka.
- Tambah garam dan serbuk perasa.
- Kacau agar santan tidak pecah dan semua bahan menjadi sebati.
- Tutup api, sedia untuk dihidang.
Itulah dia 10 resepi lemak putih yang biasanya menggunakan sayur-sayuran sebagai bahan utamnya. Masakan ini jauh berbeza berbanding lemak cili api kerana ia menggunakan bahan yang amat ringkas seperti bawang, clii kering,udang mahupun ikan bilis. Rasanya bagaimanapun amat sedap dan tidak pedas jadi ia amat sesuai dijadikan hidangan pelbagai lapisan umur terutama bagi mereka yang tidak makan masakan yang pedas. Oleh itu diharap koleksi sedikit sebanyak dapat memberi anda idea untuk masak hari ini. Selamat mencuba!
Resepi – resepi lain yang menarik
Terima kasih kerana melayari laman web kami. Disini ada pelbagai koleksi resepi yang telah dicuba dan terbukti menjadi yang boleh menjadi inpirasa dan memberi idea kepada anda. Diharap anda jangan lupa mencuba dan like dan share juga agar memberi manafaat pada orang lain.
Leave a Reply