Resepi Sandwich Telur ( Seperti Di Kedai)
Resepi kali ini merupakan sebuah resepi yang popular sejak beberapa tahun yang lalu. Sandwich merupakan sebuah hidangan yang terdiri dari roti yang disapu butter dan diisi dengan pelbagai jenis isian.
Sedikit kisah menarik tentang sejarah sandwich. Idea tentang mengapitkan dua kepingan roti bersama isi ayam,daging dan sayur-sayuran datangnya dari seorang lelaki ‘kaki judi’ bernama John Montagu di England pada tahun 1762. Beliau meminta tukang masak ketika itu menyediakan sejenis makanan yang boleh dimakan tanpa beliau bangun dari tempat duduknya. Sejak itu sandwich dilahirkan.
Kembali ke alaf kini, sandwich mula diinovasikan dengan pelbagai jenis roti, inti dsn sayur-sayuran. Semuanya demi menyesuaikan sandwich dengan budaya setempat di sesebuah negara. Di negara kita sandwich yang mula-mula popular ialah sandwich sardin. Ketika itu ia sangat ringkas, hanya roti bersama inti sardin dan timun. Kini zaman berubah, sandwich mulai canggih dan intinya juga mulai bermacam-macam dan mudah didapati. Kiosk-kiosk franchise pelbagai jenama mulai membanjiri pasaran kita.
Oleh kerana ia tidaklah murah, hari ini Madam akan kongsikan resepi sandwich telur yang ringkas tetapi sangat sedap. Mari lihat bahan-bahan yang diperlukan didalam resepi ini.
Resepi Sandwich Telur ( Seperti Di Kedai)
Bahan utama
- Roti (apa-apa jenama)
Bahan-bahan inti
- 3 biji telur rebus
- 3 sudu besar mayonis
- 1/2 sudu teh garam
- Timun jepun di dadu
- Buah tomato buah isi dan potong dadu
- 1 sudu teh serbuk lada sulah
Bahan-bahan lain
- Butter
- Mayonis
- Salad
- Tomato (hiris bulat kepada 6-7 kepingan)
Kaedah
- Mula-mula bersihkan sayur-sayuran dan toskan. Ketepikan.
- Kemudian sapu butter pada roti, selang selikan dengan mayonis.
- Kupas kulit telur rebus dan lenyekkan guna garfu atau apa-apa alat yang sesuai.
- Tambahkan mayonis dan gaul agar ia sebati.
- Taburkan bahan-bahan yang telah dipotong dadu tadi.
- Masukkan garam dan serbuk lada sulah, cuba rasa untuk anggarkan rasa masin.
- Gaul semua bahan hingga mesra dan sebati.
Cara-cara membuat sandwich.
- Sediakan kepingan pertama, letakkan satu sudu inti sandwich, letakkan hirisan tomato, tutup dengan kepingan roti kedua.
- Sapukan mayonis dibahagian belakang roti tersebut, dan letakkan satu sudu lagi inti sandwich.
- Kemudian letakkan sehelai daun salad diatasnya.
- Tutup dengan kepingan roti ketiga.
- Atur kemas dan mula mengerat roti kepada 2 bahagian menggunakan pisau roti yang jenis bergerigi.
- Letakkan didalam kertas ‘paper cup’ jika suka, jika tidak pun tidak mengapa.
- Ulang sehingga habis.
- Siap.
Untuk memastikan roti tidak rosak, pastikan anda menyapu butter dan mayonis dibahagian roti yang hendak diletakkan inti. Ia akan bertindak sebagai pelapis atau penebat agar kelembapan inti tidak merosakkan roti yang lembut tadi. Anda juga perlulah menganggarkan sukatan mayonis agar ia tidak terlalu basah agar ia tidak merosakkan roti.
Ada pellbagai jenama roti yang anda boleh guna, Madam suka guna jenama Gardenia. Tetapi untuk roti yang lebih stabil terutama bagi anda yang ingin guna resepi ini untuk jualan, gunalah jenama Massimo. Apapun cubalah resepi dan tips yang Masam kongsikan kali ini. Resepi sandwich telur ini yang paling digemari oleh kanak-kanak, jadi anda haruslah mencubanya ya.
Resepi Lain Yang Menarik.
Terima kasih kerana melayari laman web kami. Disini kami mempunyai pelbagai lagi resepi-resepi yang menjadi perkongsian dan terbukti menjadi. Jadi sudilah melihat koleksi resepi kami ya.