Resepi Asam Rebus Tempoyak ( Cara Mudah Masakan Kampung)
Biasanya masakan berasaskan tempoyak ini terkenal di negeri Pahang dan Perak. Bagi anda yang tidak pernah makan tempoyak, anda haruslah mencubanya. Tempoyak biasanya dibuat dari lebihan isi durian yang berlambak diwaktu musimnya. Jadi untukmengelakkan pembaziran, orang zaman dahulu,menyimpan isi durian ini dalam bekas lain. Kemudian mereka menambah garam untuk memerapkan ia.
Dari proses penapaiannya tersebut,terjadilah tempoyak. Maka rasanya juga ikut berubah. Dari rasa isi durian yang manis dan berlemak,ia bertukar menjadi masam, masin dan juga sedikit manis. Bagi peminat durian, rasa tempoyak sangat sedap. Terutama bila dimasak asam rebus tempoyak.
Sebenarnya,ada banyak resepi yang berasaskan tempoyak yang Madam sendiri kerap hidang pada keluarga. Paling popular ialah sambal tempoyak,masakan ini banyak dimasak di Negeri Sembilan. Tapi hari ini Madam bawakan dulu resepi asam rebus tempoyak ikan patin. Nanti bila berkelapangan Madam akan kongsi resepi lain pula.
Mari lihat bahan-bahannya dulu.
Resepi Asam Rebus Tempoyak (Cara Mudah)
Bahan utama
- Ikan patin seekor sederhana atau apa-apa jenis ikan pilihan anda
Bahan – bahan kisar
- Segenggam cili api
- 2 sudu besar tempoyak
- Air secukupnya
Rencah
- Sayur terung telunjuk 5 batang
- Asam keping sekeping ( jika suka lebih masam)
- Daun kesum ( pilihan)
Perasa
- Garam dan serbuk perasa secukupnya.
- Serbuk kunyit.
Kaedah
- Bersihkan ikan dan perasakan dengan garam dan kunyit.
- Masukkan bahan-bahan kisar kedalam periuk. Tambahkan serbuk kunyit agar warnanya lebih cantik. Tambahkan juga air dan asam keping jika perlu.
- Tunggu kuah mengelegak, baru masukkan terung dan daun kesum. Tunggu sebentar,baru masukkan ikan.
- Tunggu terung empuk dan ikan masak sebelum tutup api.
- Jangan lupa tambah garam dan serbuk perasa.
Begitu mudah masakan ini, asalkan ada bahannya. Terutamanya tempoyak, jika beli dipasar harus pandai memilih tempoyak. Kerana terdapat sesetengah peniaga mencampur isi durian dengan isi pisang, menyebabkan rasanya berubah 100%. Yang terbaik buat sendiri, hanya isi durian dan garam sahaja diperlukan.
Apapun, selamat mencuba dan jangan lupa mencuba resepi kami yang lain juga ya.