Bosan makan popia biasa? Boleh cuba mini popia sedap dan rangup pula. Mini popia ini comel dan menyelerakan terutamanya untuk diratah petang-petang bersama keluarga sambil layan TV.
Tiap-tiap gigitan popia mini pecah di mulut dan membuatkan anda ketagih. Rasa rangup kulit popia kombinasi dengan isi yang menjilat jari. Isian popia mini berbeza dengan popia biasa. Popia mini lebih kepada kudapan kering dan garing serta tahan lama. Memang sesuai untuk menu kudap-kudap pada bila-bila masa.
Kami sediakan resepi kumpulan popia mini yang terdiri daripada popia pedas, manis, dan masin. Ayuh kita lihat resepi yang mendapat perkongsian ramai di Facebook.
Resepi Popia Bersalut Coklat Viral
Resepi pertama datang daripada Chesu Riani berkongsi di laman Facebook. Sekali makan mini popia ini konfirm esok tinggal balang sahaja. Sila cubakan resepinya.
Bahan-bahan :
- 1 bungkus kulit popia,
- Coklat coin (Beryls milk dan dark choc),
- Kekacang kegemaran (disangai terlebih dahulu. Boleh letak kuaci),
- Manik hiasan,
- Cawan biskut.
Cara-cara :
- Gulungkan kulit popia dengan menggunakan lidi sate/kayu chopstick.
- Di hujung gulungan sapukan sedikit air supaya melekat. Tujuan guna lidi sate untuk memudahkan proses menggulung.
- Jika sudah siap gulung, tarik dari lidi sate.
- Ulang proses sehingga selesai atau jumlah yang diinginkan.
- Setelah selesai, potong kulit popia memanjang. 1 gulungan potong jadi 8. Ikut selera.
- Kemudian anginkan seketika kulit popia dalam 15 minit.
- Goreng hingga keemasan.
- Panaskan coklat coin double boil. Guna separuh milk choc dan separuh dark choc.
- Jika sudah cair, masukkan kulit popia yang telah digoreng tadi. Masukkan juga kekacang kegemaran. Gaul sebati.
- Seterusnya sudukan ke dalam cawan biskut. Taburkan manik hiasan. Siap!
Resepi Popia Stick Coklat Nestum
Popia coklat dan nestum jadi sumber rezeki kepada Cik Puan Wanda yang gemar berkongsi di laman Facebook. Jika anda rasa ada motivasi untuk berniaga boleh cuba resepi ini. Boleh dijadikan kuih raya ataupun jual. Gerenti ramai yang beli sebab memang lazat.
Bahan-bahan :
- Popia,
- Coklat Beryl’s dicairkan,
- Nestum.
Cara-cara :
- Mula-mula potong kulit popia menjadi 8 bahagian. Gulung dan lekatkan dengan air.
- Jemur sekejap bagi kering.
- Kemudian goreng kulit popia.
- Celupkan ke dalam coklat yang sudah dicairkan.
- Gaul dengan nestum. Siap.
Resepi Popia Mini Cheese
Mari-mari ibu-ibu yang tidak buat apa bosan-bosan di rumah, kita cari income dari rumah macam Syifaa’ Penawar boleh buat bisnes popia cheese dan popia nestum. Cara mudah saja, tapi ambil masa siapkan.
Bahan-bahan :
- Kulit popia besar,
- Tepung gandum dicampur air untuk lekatkan popia.
- Serbuk cheese.
Cara-cara :
- Sediakan air bercampur tepung gandum dan berus untuk sapu hujung kulit popia supaya melekat.
- Boleh mulakan aktiviti menggulung sampai habis.
- Jika sudah habis, potong serong atau sesuka hati ingin macam mana.
- Kemudian, goreng hingga keemasan, toskan minyak.
- Bila sudah sejuk, gaul dengan perasa nestum atau cheese.
Resepi Popia Mini Sambal
Kerepek mini popia, resepi lama-lama dulu. Resepi lama ini pakai sambal sira pedas manis. Memang terliur dibuatnya, sekali cuba mesti teringin lagi. Resepi dikongsikan oleh Ina Ahmad di laman Facebook.
Bahan-bahan :
- Cili kering dikisar,
- Bawang putih,
- Gula,
- Garam,
- Cuka/air asam jawa.
Cara-cara :
- Panaskan minyak, tumis bawang putih.
- Bila naik bau masukkan cili kisar, kemudian masukkan gula, garam dan cuka, lebihkan gula.
- Masak dengan api kecil supaya ramuan semua masuk sekali.
- Bila sudah menggeledak, biar sampai kering dan pekat, baru masukkan popia yang sudah digoreng.
- Sira kuah yang panas lebih elok sebab dapat melekat pada popia.
Mini Popia Seaweed Tular
Siapa yang terjebak dengan kudapan sedap ini? Jue Raz berkongsi resepi popia seaweed tular di Facebook. Rangup kulit popia dan lazat seaweed rasa macam makan snek mahal dekat 7e tu. Masa penyediaan siap 2 jam.
Bahan-bahan :
- 2 pack kulit popia FIGO,
- 1 pack seaweed, ada 400pcs siap potong.
Untuk sapuan kulit popia :
- 8 biji telur (bancuh untuk 4 biji dulu).
- Perasa nasi goreng saji atau serbuk pati ayam,
- Sedikit serbuk lada putih,
- Minyak untuk menggoreng.
Cara-cara :
- Selesai tampal menampal, potong kecil-kecil.
- Selepas kering barulah goreng.
Popia Mini Daging Burger
Popia mini daging burger boleh buat bekal anak-anak. Popia dengan inti daging burger, isi ketam keju dan isi ketam. Sesiapa yang pening kepala buat bekal anak boleh cuba resepi ini amat mudah. Resepi daripada Dewi Majid di laman Facebook.
Bahan-bahan :
- Kulit popia yang kecil,
- Isi ketam,
- Keju,
- Daging burger.
Cara-cara :
- Ambil kulit popia.
- Letak isi ketam, keju dan daging burger yang dikepal kecil-kecil.
- Gulungkan popia.
- Boleh digoreng.
Resepi Serunding Ikan Bilis
Mini popia simpul @ simpul kasih. Resepi daripada Siti Hajar Hashim berkongsi di laman Facebook. Boleh untuk makan sendiri. Juga disediakan video cara simpul popia dalam pautan. Sukatan untuk kuantiti yang cukup untuk sepaket kulit popia.
Bahan-bahan :
- 1 mangkuk ikan bilis yang sudah kopek. Jangan guna yang seekor-seekor sebab ada taik, nanti tidak sedap.
- 12 tangkai cili kering (rebus dulu),
- 1 biji bawang besar (potong kecil),
- 5 ulas bawang putih (potong kecil),
- 5 batang serai (potong kecil),
- Sedikit halia (agak-agak) potong kecil,
- 1/2 cawan air,
- 1/2 cawan santan pekat (saya guna santan kotak),
- 2 sudu makan gula,
- 2 sudu makan minyak masak,
- 1 sudu teh garam.
Cara-cara :
- Cuci ikan bilis dan rebus hingga mendidih. Toskan dan kisar guna blender kering.
- Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, halia, cili kering, santan dan air, kisar hingga sebati.
- Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi. Kacau selama 5 minit.
- Terus masukkan gula dan garam.
- Masukkan ikan bilis yang telah diblender tadi. Kacau sehingga kering. Agak-agak lama juga tunggu kering. Lebih kurang 40-45 minit.
- Seterusnya, sediakan kulit popia. Gunting kecil-kecil potong 8 bahagian untuk sekeping kulit popia.
- Letakkan serunding sedikit di atas kulit popia tadi. Simpul kemas-kemas dan buat hingga habis.
- Goreng hingga masak.
Popia Mini Udang Instant
Cara mudah dan cepat menggulung popia mini dikongsikan oleh Eiyda Qishh NJ di laman Facebook. Tips bagi popia rangup dan tahan lama, jemur dulu sehingga betul-betul kering baru digoreng. Selamat mencuba.
Bahan-bahan :
- Kulit popia 2 bungkus,
- Inti udang guna Glory Chili Shrimp.
Cara-cara :
- Potong sekali banyak kulit popiah bahagi menjadi 8 bahagian segitiga.
- Leraikan satu-satu.
- Letak inti udang instan.
- Gam hujung dengan air.
- Gulungkan semua hingga habis.
Resepi Mini Popia Nestum
Seterusnya kami kongsikan resepi popia nestum yang paling senang dan sedap. Pasti menjadi kesukaan tetamu, suami dan anak-anak. Boleh buat untuk raya ini. Konfirm sekejap licin. Resepi dikongsikan oleh Adriana Qistina Zamri di laman Facebook.
Bahan-bahan :
- Kulit popia,
- Lidi satay,
- Air/telur/bancuhan tepung untuk gam kulit popia.
- 1 cawan Nestum,
- ½ cawan gula,
- ½ cawan tepung.
Cara-cara :
- Pertama sekali gulungkan kulit popia panjang-panjang macam dalam gambar di atas.
- Jangan gulung terlalu tebal dan biarkan ada sedikit ruang di tengah gulungan popia supaya setiap lapisan popia masak. Boleh gunakan lidi satay atau lidi bunga telur untuk gulungkan popia. Untuk gamkan hujung kulit popia boleh gunakan air, telur atau air bancuhan tepung.
- Lepas sudah siap gulung, gunting popia dengan potongan serong atau menegak ikut suka.
- Kemudian boleh goreng popia dengan api yang sederhana hingga kekuningan. Jangan gunakan api yang besar sebab popia senang hangus.
- Lepas siap goreng popia, sementara tunggu popia sejuk, kisar nestum 1 cawan dan gula 1/2 cawan dengan mesin pengisar kering.
- Kemudian campurkan nestum dan gula tersebut dengan susu tepung 1/2 cawan.
- Kalau tidak mahu guna susu boleh tukarkan dengan horlick. (Yang ini sukatan cawan saiz kecil untuk setengah bungkus kulit popia).
- Masukkan popia yang sudah siap digoreng dalam bekas kedap udara dan taburkan dengan serbuk campuran nestum, gula dan susu tadi.
- Pastikan popia sudah sejuk. Baru taburkan campuran tadi. Kalau tidak campuran akan cair dan berlengas.
- Kemudian tutup bekas dan goncangkan hingga campuran sebati dengan popia.
Resepi Popia Mini Udang Rangup
Akhir sekali resepi daripada CikPuan SitiMasitah berkongsi di laman Facebook. Resepi popia mini udang yang tidak berempah sangat. Sebab ada beberapa orang yang tidak suka terlampau banyak rempah bukan? Resepi ini simple tapi dijamin sedap, rasa manis udang dan rangup.
Bahan kisar :
- Bawang merah,
- Bawang putih,
- Serai 2-3 batang (hiris halus),
- Cili kering 2 tangkai (hiris, rendam air panas),
- Udang kering segenggam (rendam kasi lembut dulu),
- Kunyit hidup ½ inci (boleh guna serbuk kunyit).
Bahan lain:
- ½ biji kelapa parut.
Cara-cara :
- Kisar kesemua bahan.
- Panaskan kuali, satukan kelapa parut dengan bahan kisar tadi. Goreng tanpa minyak dengan api sederhana, kacau rata.
- Bubuh garam gula secukup rasa. Kacau sentiasa jangan sampai hangit.
- Jika bahan sudah garing, tambah gula sedikit untuk sesuaikan rasa manis udang.
- Sejukkan sekejap.
- Kalau sudah sejuk, kisar kering sekejap dalam 3 saat.
- Gulung popia buat gaya 3 segi. Gam dengan tepung gandum dengan air sedikit. Sapu keliling, kelim kanan kiri. Teruskan menggentel. Sedia untuk digoreng. Bubuh dalam bekas kedap, simpan dalam peti sejuk pun boleh.
Resepi Menarik Lain
Selain resepi Popia Mini, kami juga menulis resepi menarik lain yang patut anda cuba. Jemput baca dan mencubanya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.