Resepi Agar-agar Frozen (Pencuci Mulut Segar)
Agar-agar asalnya tidak berwarna, tidak berbau dan jelas. Justeru kerana tidak memiliki rasa, agar-agar menjadi bahan asas yang sangat memungkinkan untuk membuat hidangan pencuci mulut yang lazat seperti agar-agar. Terdapat beragam rasa agar-agar dapat dibuat seperti agar-agar gula dan santan lemak manis. Adapula agar-agar buah yang segar, agar-agar sirap, agar-agar coklat dan banyak jenis agar-agar lain.
Selain rasa yang pelbagai, agar-agar juga boleh dibuat dengan berbagai macam bentuk. Terdapat agar-agar yang kenyal, agar-agar lembut seperti puding, dan ada juga yang dibentuk menjadi lapisan-lapisan yang cantik. Kesimpulanya, rasa lazat agar-agar itu bergantung pada kreativiti kita dalam menggunakan bahan dan kaedah pembuatannya.
Kami sediakan resepi agar-agar yang beragam diambil daripada laman Facebook. Resepi-resepi ini telahpun mendapat perkongsian ramai. Tidak sabar untuk cuba? Tanpa tunggu lama, mari kita cubakan resepinya.
Resepi Agar-agar Pandan Santan
Resepi agar-agar frozen pertama disediakan oleh Muhammad Ali. Rasanya sedap, berlemak, dan penyediaan mudah saja. Jom kita cubakan resepinya. Guna loyang 8 inchi. Resepi ini memang kurang gula, kalau ingin manis boleh lebihkan gula.
Bahan-bahan :
- 12 gram agar-agar tali,
- 4 cawan air,
- 4-5 helai daun pandan,
- 200ml santan,
- 1 biji telur,
- 125 gram gula / setengah cawan gula.
Cara-cara :
- Blend 4-5 daun pandan dan 1 cawan air. Bila sudah siap blend tapis air pandan.
- Kacau sebati 200 ml santan dan 1 biji telur gred A. Kalau pakai santan kotak, pakai brand KARA. Berlemak elok. Kalau ingin blend santan dan telur pun boleh. Jika sudah siap, ketepikan.
- Buka api, masuk 4 cawan air dan 12 gram agar-agar tali. Biarkan mendidih guna api sederhana.
- Bila sudah mendidih, masuk 125 gram gula dan air pandan, santan, telur dan 1 sudu kecil pewarna hijau. Kacau sebati. Harus kacau dulu supaya tidak bergumpal.
- Jika sudah sebati, biarkan mendidih 1-2 minit. Jangan kacau dalam masa ini untuk bagi santan terpisah dengan air.
- Bila sudah 1-2 minit. Tutup api, kacau beberapa saat dan terus masuk dalam loyang 8 inchi.
- Biarkan set suhu bilik 30-40 minit. Selepas itu baru masuk dalam peti selama 2 jam. Siap.
Resepi Agar-agar Cendol Frozen
Agar-agar cendol menu pencuci mulut jamuan raya nanti. Ayuh buat pencuci mulut lain dari yang lain. Bosan menu itu-itu sahaja. Kita buat agar-agar cendol pula. Resepi dikongsikan oleh Sapina Shahabudin di laman Facebook.
Bahan-bahan :
- Agar-agar,
- Gula pasir,
- Gula batu,
- Gula kabung,
- Cendol,
- Secubit garam,
- Susu cair,
- Air,
- Daun pandan.
Cara-cara :
- Rendam agar-agar tali dan rebus sehingga hancur bersama 2 helai daun pandan.
- Masukkan gula batu dan gula pasir (manis ikut citarasa masing-masing).
- Masukkan susu cair dan secubit garam. Kacau sehingga sekali didih. Tutup api.
- Toskan cendol dan agihkan ke dalam bekas/cup.
- Ambil 2 bahagian agar-agar susu tadi dan tuang dalam bekas/cup yang telah diisi dengan cendol. Kadar agar-agar yang dituang ke dalam setiap cup ialah 2/3 bekas.
- Biarkan lapisan susu dan cendol membeku.
- Masukkan 1 ketul gula kabung (gula gerek) ke dalam baki 1/3 bahagian agar-agar susu tadi. Hidupkan api perlahan-lahan supaya baki 1/3 agar-agar yang membeku kembali cair. (Awas, jangan sampai gula merah berbau hangit. Kacau selalu sehingga gula hancur).
- Tutup api (tidak perlu tunggu sampai mendidih. Cukup sekadar gula kabung hancur dan agar-agar susu tidak lagi berketul).
- Tuang dalam cup sebagai lapisan kedua.
- Biarkan beku.
Resepi Agar-Agar Milo Oreo
Seterusnya resepi agar-agar Milo Oreo. Agar-agar satu ini memang kegemaran ramai sebab ada rasa manis-manis Milo dan creamy crunchy Oreo jadi satu. Bukan kanak-kanak sahaja suka makan ini, orang dewasa pun suka. Resepi dikongsikan oleh Museyenah Jatim di laman Facebook.
Bahan – bahan :
- 1 pek 10 gram agar-agar,
- 4 cawan air,
- 1/2 cawan gula pasir (sepatutnya 1 cawan tapi tidak suka manis),
- 1 tin susu cair,
- 1 pek Oreo tidak perlu buang cream tengah,
- 1 cawan Milo.
Cara–cara :
- Larutkan agar-agar dengan air dengan api perlahan. Setelah larut masukkan gula dan kacau sehingga gula larut.
- Kemudian masukkan susu cair. Kacau sehingga mendidih.
- Asingkan dua cawan ke periuk lain (untuk lapisan putih). Manakala baki di dalam periuk tadi masukkan Milo dan kacau lagi.
- Tuang separuh adunan Milo ke dalam acuan puding.
- Tunggu sehingga layer atas keras kemudian buat cakaran nipis di atas layer Milo pertama untuk bagi letak layer kedua.
- Tuang semua adunan putih tadi.
- Kemudian patahkan biskut Oreo kepada dua dan susun di atas layer putih.
- Apabila layer putih sudah keras, masukkan baki layer Milo atas sekali. Ada tiga lapisan semuanya. Agak-agak sudah suam, masukkan dalam peti ais dan siap untuk dimakan bila sudah keras.
Resepi Agar-Agar Santan Gula Melaka Tanpa Telur
Sesiapa yang alahan telur tapi tetap berkeinginan untuk menikmati dessert lemak-lemak manis lembut. Anda boleh cuba agar-agar santan gula melaka tanpa telur yang dikongsikan oleh Anyss Mohd Auranyss di laman Facebook. Gerenti rasa dia lazat walaupun tanpa telur.
Bahan-bahan :
- 1 paket agar-agar tali 10 gram,
- 5 cawan air,
- 1 ketul gula melaka (jenis panjang-gula pasir memang tidak guna),
- 1 kotak santan (kara) saiz kecil,
- 2 helai daun pandan – dibasuh dan disimpulkan,
- Sedikit garam.
Cara-cara :
- Masak agar-agar dengan air hingga mendidih.
- Masukkan gula melaka dan sedikit garam (suku sudu kecil).
- Masukkan daun pandan yang telah disimpul. Masak hingga mendidih dan sentiasa dikacau.
- Masukkan santan dan kacau tanpa henti sehingga menggelegak. Tutup api dan tapiskan ke dalam loyang.
- Kemudian sejukkan di dalam peti ais.
- Bila beku boleh potong.
Resepi Agar-agar Kelapa
Resepi oleh Mr.Ali resepi senang sahaja sesiapa pun boleh buat. Bayangkan anda minum air kelapa tapi bentuk agar-agar. Rasa dia autentik segar macam air kelapa tapi lebih manis dan crunchy. Anda perlukan loyang 10 inchi. Mr. Ali pakai 1 biji kelapa muda. Akan dapat lebih kurang 1 liter air kelapa.
Bahan Lapisan Pertama :
- 1 setengah cawan air,
- 1 cawan air kelapa,
- 70g gula,
- 5 gram agar-agar serbuk,
- 60 gram santan kotak,
- 1 sudu kecil garam.
Bahan Lapisan Kedua :
- 2 cawan air,
- 3 cawan air kelapa,
- 150g gula,
- 5 gram agar-agar serbuk.
Cara-cara :
Lapisan Pertama :
- Dalam keadaan api tertutup, masukkan 1 setengah cawan air, 1 cawan air kelapa, 70g gula dan 5 gram agar-agar serbuk. Kacau sebati, jika sudah sebati baru buka api.
- Kacau perlahan dalam 2-3 minit.
- Masukkan 60 gram santan kotak. Saya pakai santan KARA. Masukkan 1 sudu kecil garam.
- Kacau hingga mendidih.
- Bila sudah mendidih. Jangan kacau selama 2-3 minit. Setelah itu baru tutup api.
- Tuangkan dalam loyang.
- Biarkan ia mengeras pada suhu bilik.
Lapisan Kedua :
- Masukkan kesemua bahan untuk lapisan kedua.
- Kacau sebati baru hidupkan api. Kacau perlahan saja sampai naik wap, tapiskan.
- Ambil agar-agar yang sudah keras tadi. Cucuk sebanyak mungkin. Step ini penting supaya lapisan melekat. Kena cucuk banyak-banyak supaya lapisan melekat dengan kuat.
- Tuang sedikit demi sedikit. Jika adunan sudah habis, masukkan pula isi kelapa. Ikut kreativiti anda.
- Biarkan di luar selama 40 minit, baru sejukkan selama 2-3 jam.
- Sudah siap dan boleh makan.
Resepi Agar-Agar Roti Traditional
Roti kalau sudah dekat expired, daripada membazir lebih baik buat agar-agar roti. Buat satu loyang boleh habis sekejap. Ariana Sofia Ahmad berkongsi resepi agar-agar roti traditional, pasti mengimbau kenangan lama.
Bahan-bahan :
- 4 keping roti,
- 1 cawan susu cair,
- 3/4 cawan air,
- 2 biji telur,
- 1/2 cawan susu pekat,
- 1sk esen vanilla.
- 3 ½ cawan air,
- 12g agar-agar kering,
- 3/4 cawan gula,
- 1 sudu butter.
Cara-cara :
- Mula-mula blend roti, telur, susu cair, susu pekat, air dan esen vanila.
- Dalam periuk masukkan air dan gula, kacau sampai sebati.
- Masukkan pula agar-agar kering dan kacau sehingga agar-agar hancur.
- Masukkan bahan yang diblend tadi. Kacau sebati.
- Masukkan butter dan kacau sebati. Masak sehingga sebati tapi jangan terlampau pekat pula.
- Bahagikan kepada 3 adunan. Boleh tapis dulu adunan. Terpulang ingin letak warna apa. Tidak letak warna pun boleh.
- Tuang dalam loyang 9″, kalau ingin tebal sedikit guna loyang 8″. Kemudian lorek guna lidi.
- Tunggu sehingga sejuk@pejal. Letak dalam peti ais pun boleh.
- Bila sudah pejal boleh potong.
Resepi Agar-agar Milo
Teringin makan agar-agar premium Milo. Rasanya sedap dan segar. Sekali makan gerenti akan ketagih. Jom kita buat sama-sama resepi yang dikongsikan oleh Nur Ans di laman Facebook. Tips layer cantik sejukkan tiap layer 5 minit letak di luar sahaja.
Bahan-bahan :
- Serbuk agar-agar (10 g),
- Gula pasir (3 sudu),
- Milo (5 sudu mkan),
- 1 tin susu cair,
- Air 1100ml.
Cara cara:
- Masak air dengan gula dan serbuk agar-agar. Bila sudah mendidih masukkan susu cair.
- Kemudian bahagi dua adunan. Satu warna susu, lagi satu campur dengan Milo.
- Buat teknik selang seli. Sejukkan. Siap untuk dimakan.
Resepi Agar-agar Neapolitan
Agar-agar Neapolitan ini sebenarnya ialah agar-agar marble cuma biasa orang buat warna coklat sahaja. Tapi di sini Tengku Nilam Tengku Ibrahim di laman Facebook tambah warna pink dan lapis satu-satu. Macam cantik pula kombinasi warna ini.
Bahan-bahan :
- 1 paket agar-agar tali,
- 1 L air,
- 1 ½ cawan gula (resepi asal 2 cawan tapi macam terlampau manis),
- 2 biji telur,
- 1 tin susu cair,
- 1 penutup esen vanilla,
- 2 sudu besar tepung kastard (bancuh dengan sedikit air).
Cara-cara:
- Masak agar-agar dan gula sampai semua larut.
- Sementara itu blend susu cair, telur dan esen vanilla.
- Apabila agar-agar dan gula sudah larut masukkan susu dan telur yang sudah diblend tadi.
- Kemudian masukkan tepung kastard masak sampai menggelegak dan sentiasa kacau.
- Bahagikan kepada 3 bahagian ikut warna kesukaan. Kemudian lapis satu-satu.
Resepi Agar-agar Gula merah
Pada resepi kali ini, Syuhada Che Din berkongsi resepi agar-agar gula merah senang. Kepada sesiapa yang ingin buat, ayuh kami sertakan resepi daripada laman Facebook. Sedap dinikmati sejuk-sejuk.
Bahan-bahan :
- 1 paket agar-agar serbuk (10g),
- 1 cawan gula merah,
- 2 – 3 sudu besar gula pasir *(kalau suka manis, boleh tambah. Kalau tidak suka, tidak payah tambah)
- 1 kotak santan kecil (200ml),
- 1 biji telur ayam,
- 4 cawan air,
- Sedikit esen vanilla,
- Secubit garam,
- Sehelai daun pandan.
Cara-cara :
- Campurkan santan, telur dan esen vanilla kemudian tapis. Ketepikan dulu.
- Sediakan periuk. Masukkan air, serbuk agar-agar, gula merah dan daun pandan.
- Buka api dan kacau-kacau sampai gula larut. Masa ini boleh rasa, kalau suka manis boleh tambah gula pasir. Kalau tidak suka manis, sila abaikan.
- Bila gula sudah larut, boleh masukkan adunan santan tadi. Masukkan secubit garam.
- Kacau-kacau lagi sehingga mendidih.
- Kalau sudah pecah santan, boleh tutup api dan tuangkan adunan ke dalam loyang atau bekas yang sesuai. Sejukkan dahulu kemudian boleh masukkan ke dalam peti ais.
Resepi Agar-Agar Buah Jamuan Raya
Kali ini kami ingin berkongsi pudding frozen buah. Boleh guna buah yang kalian suka. Ebah Habibah di laman Facebook menggunakan kiwi dan mangga sebab warnanya cantik menjamu mata. kombinasi masam manis. Guna loyang saiz 8 inchi.
Bahan-bahan :
- Agar-agar tali 1 paket (28gram),
- Air 1.5 liter,
- 1 tin susu pekat,
- ½ tin susu cair,
- Buah buahan,
- Pewarna kuning untuk buat lapisan di tengah pudding.
Cara-cara :
- Agar-agar tali dipanaskan dengan 1.5 liter air. Masak hingga mendidih. Jika mendidih boleh tutup api.
- Setelah itu masukkan 1 tin susu pekat dan setengah tin susu cair, kacau sebati. Kalau suka lagi manis, tuang lagi susu pekat.
- Seterusnya kita susun buah. Tuang agar-agar perlahan guna senduk. Tuang dalam 5 senduk kemudian masuk peti sekejap bagi keras sedikit.
- Lalu ambil 3 senduk agar-agar, masukkan dalam mangkuk lain, letak pewarna kuning.
- Kacau-kacau kemudian tuang atas agar-agar yang sudah dituang dalam loyang isi buah tadi. Tapi yang ini kalau skip pun boleh. Sebab saya saja buat layer kuning bagi cantik.
- Kemudian, kalau lapisan kuning tadi sudah keras sedikit, tuang baki tadi sampai habis.
- Tunggu sejuk sedikit baru masuk peti.
- Sejukkan dalam 4 jam atau lebih. Sebab kalau tidak sejuk nanti masa potong buah tidak cantik.
Resepi Menarik Lain
Selain resepi agar-agar frozen, kami juga menulis resepi lain yang mendapat perkongsian ramai. Sila baca dan cubakan resepinya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.