Resepi Sambal Sardin ( Buat Pencicah Atau Inti Sandwich)
Sambal sardin lauk paling senang, cepat dan sedap. Bila hujung minggu,biasanya kaum ibu cuti bermasak. Bila malam menjelang barulah kaum ibu memasak. Sudah tentu lauk pilihan ialah sardin.
Sardin masak asam, sardin masak kari, sardin masak lemak, sardin tumis dan pelbagai lagi versi lauk sardin. Sardin juga jadi pilhan kerana ia mudah disimpan. Tahan lama dan tidak cepat rosak. Mudah juga dibawa sebagai bekal bila bercuti luar daerah. Hatta masuk hutan pun boleh bawa sardin.
Terlalu banyak resepi yang diolah dari sardin ini,tinggal hendak dengan tidak sahaja untuk membuatnya. Madam sekurang-kurangnya sebulan sekali pasti masak sardin. Versinya lain sikit,berkuah macam asam pedas tapi tanpa bendi atau daun kesum. Nanti Madam kongsikan resepinya.
Hari ini, Madam ingin bawakan resepi sambal sardin yang digunakan sebagai pencicah roti puri. Berikut adalah bahan-bahannya.
Resepi Sambal Sardin
Bahan utama
- 1 tin kecil sardin
Bahan-bahan (Kisar)
- Cili kisar 2 senduk
- Bawang besar ½ labu
- Bawang putih 2 ulas
- Halia ½ inci
Bahan-bahan (Hiris)
- Bawang besar 1 labu
- 2 ulas bawang putih
- Segenggam daun kari ( pilihan)
Bahan lain
- ½ cawan air asam jawa/asam keping sekeping.
- 1 sudu kecil garam
- Secubit serbuk perasa
- 1 sudu makan gula.
Kaedah
- Tumiskan bahan-bahan hiris sehingga semuanya layu.
- Kemudian tumis bahan-bahan kisar sehingga cili garing atau sehingga naik minyak.
- Masukkan isi sardin bersama sosnya.
- Masukkan air asam pula,sambil itu, hancurkan isi ikan sardin itu.
- Tunggu sehingga kuah pekat.
- Masukkan garam 1 sudu teh, sedikit serbuk perisa dan sesudu makan gula.
Sambal sardin ini sedap dicicah roti atau dibuat inti karipap. Lebih sedap dimakan dengan roti puri. Resepinya ada disini. Boleh dihidang sebagai hidangan minum petang. Sambil-sambil itu jemput intai resepi-resepi kami yang lain.