Resipi kali ini merupakan resipi buttercream yang sangat ringkas dan ekonomi dimana saya gunakan di dalam menghias kek perkahwinan bajet.Walaupun begitu ia tetap memberi rasa yang sedap terutama bila digabung dengan kek span. Paling penting ia tidak mudah cair seperti aiskrim jika disimpan dalam suhu bilik.
Buttercream yang dikongsikan kali ini menggunakan dua bahan utama sahaja iaitu krimwell dan juga air gula. Keutamaan dalam resepi ini ialah air gula dan sangat penting untuk menghasilkan air gula yang betul demi menghasilkan buttercream yang tidak cepat cair dan boleh membentuk bunga dan juga border kek.
Baiklah bagi anda yang ingin mencari kelainan dalam penyediaan kek, khususnya kek perkahwinan berikut adalah bahan yang diperlukan.
Bahan air gula
- 500g gula pasir
- 250g air
- 1 tsp jus limau/lemon
Kaedah
- Masak semua bahan hingga menggelegak
- Kecilkan api dan biarkan 5 minit
- Simpan semalaman
Bahan lain
- Krimwell 1kg
Penyediaan buttercream
- Pukul krimwell hingga putih
- Tambah air gula ( sukatan manis sendiri)
- Sambung pukul hingga krim menjadi berganda saiz.
- Siap! Boleh digunakan terus.
Kelebihan buttercream ini ialah warnanya yang putih menjadikan ia amat mudah diwarnakan berbanding buttercream yang menggunakan butter yang sedikit kekuningan yang akan mempengaruhi warna terutama warna-warna primer seperti biru, kuning atau merah. Walaupun bagi sesetengah orang mereka lebih suka pada rasa butter, namun begitu sebenarnya buttercream versi bajet ini mempunyai rasa seperti kek-kek awal 80an dahulu dan mempunyai peminatnya tersendiri. Oleh itu anda haruslah mencuba sendiri resepi ini dan rasakan sendiri keenakannya. Selamat mencuba!
Resepi – resepi lain yang menarik
Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada resepi ini, ada pelbagai variasi resepi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini bersama rakan anda ya.