Resepi Nasi Lemak Sambal Sotong (Sarapan Pagi)
Resepi kali ini merupakan sebuah resepi sarapan pagi paling popular dinegara kita ini. Nasi lemak sambal sotong merupakan menu yang paling kerap dijual digerai-gerai atau restoran yang menjual sarapan pagi.
Ada pelbagai versi sambal sotong yang kerap kali digandingkan dengan nasi lemak. Antara yang paling popular ialah sotong kering,sotong kembang dan sotong basah. Jenis-jenis sotong ini mempengaruhi cara memasak dan sudah tentu rasanya juga berbeza. Bagaimanapun resepi kali ini Madam akan gunakan sotong basah sebagai gandingan nasi lemak yang sememangnya menjadi kegemaran kami sekeluarga. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Resepi Nasi Lemak Sambal Sotong (Sarapan Pagi)
Resepi Nasi Lemak
Bahan-bahan
- 4 cawan beras biasa – dibasuhkan dan ditoskan
- 2 cawan santan + 4 cawan air
- 2 helai daun pandan – disiat dan disimpul
- 1 inci halia – ditumbuk hingga pecah
- Minyak masak 1 sudu besar
- Garam dan gula secukup rasa
Kaedah
- Beras dibasuh bersih dan ditoskan.
- Gaul dengan garam,gula dan minyak masak. Ketepikan sebentar.
- Campurkan 2 cawan santan bersama air 4 cawan.
- Masakkan nasi menggunakan rice cooker seperti biasa.
- Selepas nasi masak, karih menggunakan senduk agar santan dan bahan-bahan sebati dan wangi.
Resepi Sambal Sotong
Bahan utama
- 1/2 kg sotong (bersihkan, potong bulat dan perasakan dengan garam,kunyit dan sedikit gula)
Bahan kisar
- 1 bawang besar saiz kecil (atau 4 ulas bawang merah)
- 1 sudu besar udang kering/ikan bilis
- 1 inci belacan
- Bahan hiris dan tumis
- 1 labu bawang besar saiz besar (hiris bulat)
- 4 cawan cili kering yg telah dikisar (gunting,rebus dan bilas hingga hilang bijinya)
- 1 keping asam keping saiz kecil
- Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
- Air anggaran secawan.
Kaedah
- Pertama, tumiskan bahan yang telah dikisar dan biarkan ia naik bau.
- Kemudian tumiskan cili kering,asam keping dan bawang yang telah dihiris tadi.
- Biarkan hingga cili naik minyak, kacau selalu agar ia tidak hangit.
- Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit agar tidak terlalu cair.
- Masak lagi agar cili benar-benar garing, masukkan sedikit serbuk kunyit bersama garam,gula dan serbuk perasa secukupnya.
- Masukkan sotong dan gaul agar sebati, tidak perlu tambah air kerana sotong akan keluarkan airnya sendiri.
- Tutup api apabila semua bahan mulai sebati.
- Siap.
Resepi nasi lemak yang disertai didalam perkongsian kali ini merupakan resepi yang Madam gunakan sejak meniaga nasi lemak satu masa dahulu. Jadi anda juga boleh mencubanya jika ingin meniaga, hanya anda perlu menganggarkan sendiri nisbah sukatan mengikut jumlah yang anda inginkan.
Oleh itu jangan lupa mencuba resepi ini ya, selamat mencuba!
Resepi – resepi lain yang menarik
Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada resepi ini, ada pelbagai variasi resepi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini bersama rakan anda ya.