Resepi kali ini merupakan satu koleksi masakan berasaskan sambal. Sambal secara asasnya mengandungi cili dan bawang sahaja. Tetapi pelbagai improvasi dilakukan dengan pelbagai bahan lain yang ditambah menjadikan sambal lebih sedap. Oleh kerana negara kita punya banyak negeri, jadi tidak hairanlah sambal juga mempunyai pelbagai versi mengikut selera kawasan tempatan tersebut. Contohnya ada sesetengah sambal menggunakan bawang putih, tetapi Madam secara peribadi kurang gemar menggunakan bawang putih terutama didalam sambal tumis. Ada pula yang menambah gula merah, belacan, rempah malah tempoyak didalam sambal.
Berikut ialah 25 resepi sambal yang paling popular, ringkas dan sedap. Kebanyakkan resepi-resepi ini telah dicuba dan terbukti menjadi dan juga sedap.
1)Resepi Sambal Paru
Paru merupakan organ lembu yang paling popular digunakan sebagai bahan didalam masakan. Salah satu resepi yang sesuai denga paru ialah sambal paru. Bagi anda yang tidak biasa anda boleh mendapat paru beku dipasaraya dimana parunya telah siap dihiris.
Bahan utama
- Paru 500g ( beli jenis siap potong)
Bahan kisar
- Cili kering segenggam penuh
- Bawang putih 2 ulas
- Bawang merah kecik 5 biji
- Jintan manis 1 sudu kecil
- Biji ketumbar 1 sudu kecil
Bahan lain
- Serai 1 batang (dititik)
- Serbuk kunyit 1 sudu teh
- Garam & gula secukup rasa
Kaedah
- Rebus paru sehingga lembut
- Gaulkan paru dan serbuk kunyit bersama sedikit garam dan biarkan selama 5 minit.
- Kemudian digoreng separuh masak. Angkat dan toskan.
- Panaskan minyak. Tumis bahan yang dikisar bersama serai.
- Biarkan naik bau dan sedikit garing, masukkan garam dan gula secukup rasa.
- Setelah bahan ditumis sebati, masukkan paru yang telah digoreng tadi.
- Gaul paru dan bahan ditumis sehingga sebati.
- Sedia untuk dihidang dan dimakan bersama nasi putih,nasi goreng atau nasi lemak.
2) Resepi Sambal Ikan Bilis Kering
Ikan bilis adalah antara bahan utama yang paling kerap diguna dalam masakan. Antara resepi yang paling popular ialah resepi sambal ikan bilis kering. Resepi sambal ini tahan lama kerana ia menggunakan gula yang agak banyak yang bertindak sebagai agen pengawet. Oleh itu ia kerap dijadikan bekal untuk pelajar atau ketika bercuti terutam diluar negara. Jadikan ia pedas pedas manis dengan menggunakan cili kering yang pedas jika anda suka.
Bahan-bahan
- Cili kering (segenggam)
- Bawang merah 5 ulas /bawang besar sebiji saiz kecil
- Ikan bilis segenggam (kopek dan goreng garing)
Kaedah
- Mula-mula rebus gunting dan rebus cili kering,kemudian toskan ia dan goreng separuh masak.
- Kemudian kisar bawang menggunakan pengisar kering.
- Selepas itu kisar cili yang telah digoreng tadi.
- Tumiskan bawang yang telah dikisar kering tadi selepas itu tumiskan pula cili kering kacau hingga sambal ini menjadi garing, pastikan ia tidak hangit
- Masukkan garam,serbuk perasa dan gula secukup rasa.
- Apabila telah garing, sejukkan seketika sebelum memasukkan ikan bilis.
- Gaul ratakan bilis dan siman didalam bekas kedap udara agar ia tahan lebih lama.
3) Resepi Sambal Telur Ikan Bilis
Resepi berikut merupakan antara resepi kegemaran terutama ketika kesuntukkan idea untuk masak tetapi perut pula lapar. Tambahan pula bila lupa nak ke pasar. Maka resepi sambal telur ikan bilis paling menarik. Resepi ini amat sedap, bukan sahaja anda akan suka,malahan anak dan pasangan anda juga pasti suka akan resepi ini.
Bahan-Bahan
- 2 biji telur, digoreng mata kerbau
- 1 genggam ikan bilis yang telah digoreng garing.
- 1 pokok daun bawang (pilihan)
- Daun salad secukupnya (pilihan)
Bahan Sambal Tumis
- 1 keping asam keping
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar
- 1 biji bawang besar
- 3/4 inci belacan
- Segenggam cili kering yang telah digunting,rebus dan basuh.
Kaedah Untuk Sambal Tumis
- Mula-mula tumiskan bahan kisar tambahkan asam keping dan terus masak sehingga cili naik minyak.
- Kemudian masukkan garam,gula dan sedikit air agar ia tidak terlalu kering.
- Tutup api.
Penyediaan sambal telur ikan bilis.
- Susun daun salad, kemudian letakkan telur yang telan digoreng, tuangkan sambal tumis dan ratakan ia.
- Akhir sekali taburkan ikan bilis yang telah digoreng garing.
- Sedia dihidangkan ketika ia masih panas.
4) Resepi Sambal Hijau Ikan Tenggiri
Resepi berikut ialah resepi yang menggunakan cili hijau dan cili api. Berbeza dengan resepi sambal sebelum ini, cili hijau dan cili api hijau digunakan bagi mendapatkan warna hijau yang menarik. Sambal hijau antara masakan yang kerap diguna masyarak Minang. Namun bagj anda yang inginkan kelainan cubalah resepi ini pula.
Bahan-bahan
- 1 ekor ikan tenggiri papan saiz sederhana (bersih dan potong beberapa bahagian)
Bahan kisar
- 15 biji cili api
- 5 biji cili hijau
- ½ labu bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- 1 cawan minyak masak
Kaedah
- Sapukan ikan tenggiri dengan garam dan kunyit.
- Rebus dahulu bahan-bahan yang hendak dikisar tadi.
- Kemudian kisar ia menggunakan pengisar kering agar ia tidak terlalu lumat,ketepikan.
- Panaskan minyak masak di dalam kuali dan gorengkan ikan sehingga garing.
- Ketepikan dan asingkan separuh minyak tadi dan tumiskan bahan yang dikisar tadi sehingga wangi dan pecah minyak.
- Masukkan ikan yang sudah digoreng, kacau rata.
- Siap.
5)Resepi Sambal Belacan
Resepi kali ini pula merupakan resepi sambal paling popular. Resepi sambal belacan, bahan utamanya sudah tentu cili dan belacan.cili,belacan dan asam jawa adalah bahan yang melengkapkan samba belacan kita ini. Ia sedap dimakan bersama ulam-ulaman dan sudan tentu nasi panas!
Bahan-bahan
- Segenggam cili padi
- 4 ulas cili merah
- 1 ½ Belacan
- Garam kasar
- Air asam jawa
- Sedikit gula
Kaedah
- Mula-mula bersihkan cili api dan cili merah, potong kecil. Ketepikan.
- Gril atau bakar cili-cili dan belacan.
- Masukkan semua bahan kedalam mesin pengisar, masukkan air asam jawa, garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
- Kisar hingga lumat atau sedikit kasar mengikut selera.
- Simpan dalam bekas kedap udara dan ia tahan seminggu didalam peti ais.
6)Resepi Sambal Tumis Kerang
Resepi kali ini merupakan sebuah resepi sambal yang menggunakan kerang sebagai isinya.Resepi ini dikongsikan oleh PutRa FairuZairiy FZ serta banyak likes dan komen positif telah didapati di Facebook! Jadi bagi anda peminat kerana apakata kita cuba resepi ini.
Bahan – bahan:
- 2 kg kerang (dicuci, direbus dan isinya dikopek)
- 2 biji bawang besar
- 4 sdb cili boh/kering
- Sedikit air asam jawa
- 2 sdb gula merah/melaka
- Minyak masak
- Garam
Cara – cara memasak:
- Kisarkan bawang besar dan cili kering. (Boleh juga ditumbuk didalam lesung batu)
- Panaskan minyak, tumiskan bawang dan cili kering sehingga pecah minyak.
- Masukkan air asam jawa, gula merah dan garam.
- Akhir sekali, masukkan kerang dan kacau rata.
- Siap!
7) Resepi Sambal Tumis Udang Petai
Resepi kali ini menggunakan udang dan petau sebgai ramuan utamanya. Sambal tumis udang petai ini amat popular di kalangan orang kita. Ia biasanya dimakan bersama nasi putih atau nasi lemak. Selain udang kelabu yang biasa digunakan,anda juga boleh menggunakan udang tajam atau udang putih yang kecil. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.
Bahan utama
- 20 ekor udang saiz besar, gunting bahagian tajam dikepala dan ekor,cuci, toskan dan tambahkan garam,serbuk kunyit dan sedikit gula.
- 4 papan petai, ambil isinya
Bahan kisar
- 1 bawang besar saiz kecil (atau 4 ulas bawang merah)
- 1 sudu besar udang kering/ikan bilis
- 1 inci belacan
Bahan hiris dan tumis
- 1 labu bawang besar saiz besar (hiris bulat)
- 4 cawan cili kering yg telah dikisar (gunting,rebus dan bilas hingga hilang bijinya)
- 1 keping asam keping saiz kecil
- Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
- Air anggaran secawan.
Kaedah
- Pertama, tumiskan bahan yang telah dikisar dan biarkan ia naik bau.
- Kemudian tumiskan cili kering,asam keping dan bawang yang telah dihiris tadi.
- Biarkan hingga cili naik minyak, kacau selalu agar ia tidak hangit.
- Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit agar tidak terlalu cair.
- Masak lagi agar cili benar-benar garing, masukkan garam,gula dan serbuk perasa secukupnya.
- Masukkan udang dan petai dan gaul agar sebati, tambah air jika perlu.
- Masak lagi agar sambal dan udang benar-benar serasi.
- Tutup api apabila semua bahan mulai sebati.
- Siap.
8) Resepi Ayam Sambal Hijau
Resepi ini juga merupakan antara yang menjadi kegemaran, sambak hjjau seperti yang kita tahu menggunakan cili hijau dan cili api hijau sahaja. Bahan-bahan yang hendak dikisar direbus lebih awal agar sambal kita tidak terlalu berair dan kebih cepat siap. Berikut adalah bahan-bahannya.
Bahan-bahan
- Setengah ekor ayam (potong saiz sederhana)
Bahan-bahan rebus dan kisar
- 6 biji cili hijau
- 15 tangkai cili padi berwarna hijau
- 1 biji bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- Garam, serbuk perasa dan gula
Kaedah
- Mula-mula bersihkan ayam dan lumur dengan garam dan kunyit.
- Kemudian goreng ayam tetapi jangan terlalu garing.
- Ketepikan
- Tumis bahan-bahan yang telah dikisar hingga naik minyak.
- Tambahkan garam,serbuk perasa dan gula secukup rasa.
- Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul agar semuanya rata dan sebati.
- Siap, sedia untuk dihidangkan.
9) Resepi Sambal Ayam
Resepi kali ini adalah antara resepi yang mendapat banyak perkongsian dan ianya dikongsi oleh Shakila Abd Latif dan telah mendapat banyak perkongsian di media sosial. Seperti yang kita lihat bahan-bahannya ringkasnya pasti akan menyebabkan resepi ini sedap. Yang penting ayamnya harus segar dan dibeli dari pasar yang menyediakan ayam yang baru disembelih.
Bahan – bahan:
- Seekor ayam lumur dgn garam & kunyit. Goreng separuh masak.
- 6 batang serai diketuk
- 3 tangkai daun kari
- 2 sb kicap manis
Dikisar halus:
- 1 inci halia
- 2 biji bawang besar
- 6 ulas bawang putih
- 15 tangkai cili kering (direbus)
Cara – cara memasak:
- Gunakan minyak goreng ayam tadi utk menumis. Kira-kira 2 senduk.
- Goreng serai sehingga garing, masukkan daun kari.
- Masukkan bahan kisar & tumis sehingga pecah minyak.
- Tambahkan kicap manis. Masukkan ayam yg telah digoreng & dikacau rata sehingga sambal menyaluti ayam.
- Tambahkan garam, gula atau serbuk perasa. Ayam sambal bali siap utk dihidang!
10) Resepi Sambal Ikan Bilis Melaka
Sambal ikan bilis Melaka ini dikongsikan oleh Hasma Za-lina di laman Facebook milik beliau. Resepi ini agak istimewa kerana ia menggunakan daun kunyit sebagai bahan tambahannya. Berikut adalah bahan-bahan dan cara u tuk membuat sambal ini.
Resepi Sambal Ikan Bilis Melaka
Bahan – bahan:
- Ikan bilis segenggam
- *Bwg merah – 2 ulas
- *Bwg putih – 5 ulas
- *Cili api + cili besar merah – ikut suka tahap kepedasan.
- Daun kunyit 2 helai
- Perasa tambahan
Cara – cara memasak:
- Kisarkan bahan bertanda (*).
- Tumiskan dalam kuali sehingga betul – betul masak atau pecah minyak.
- Masukkan tempoyak bersama daun kunyit.
- Masukkan air sedikit dan perasakan.
- Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan gaulkan rata.
- Biarkan sekejap sehingga masak.
- Siap!
11)Resepi Sambal Goreng Kerang
Resepi ini dikongsikan oleh Resep Kita di media sosial dan mendapat banyak perkongsian dan komen positif. Sambal goreng kerang ini sudah tentu menjanjikan sesuatu yang lain kerana bahan-bahannya sangat berbeza dari sambal kerang yang sebelum ini. Mari lihat bahan-bahannya
Bahan – bahan:
- Kerang
- Daun Kunyit
- Daun limau purut
- Sedikit halia
- Sedikit air
- Serai*
- Bawang besar*
- Bawang putih*
- Sos cili*
- Sos tiram*
- 1 sdb kicap cair/pekat*
- Cili padi 10 biji*
- Garam + gula*
Cara – cara memasak:
- Masukkan bahan bertanda (*) di dalam pengisar dan kisarkan sampai halus.
- Panaskan sedikit minyak dan masukkan halia bersama – sama dengan bahan yang dikisar tadi
- Kacau sehingga naik bau dan masukkan kerang.
- Masukkan sedikit air dan kacau sehingga sebati.
- Masukkan daun kunyit dan daun limau purut.
- Biarkan sehingga kerang menganga.
- Matikan api dan hiaskan dengan daun sup.
12)Resepi Sambal Tumis Telur
Resepi ini dikongsikan oleh Ida Zairi dan telah mendapat banyak perkongsian di media sosial. Resepi sambal tumis telur ini menggunakan telur burung puyuh yang telah direbus lebih awal. Amda juga boleh menukarnya dengan telur ayam biasa sahaja, berikut adalah bahan-bahannya.
Bahan – bahan:
- 24 biji telur puyuh (rebus dan kopek kulitya dan goreng dalam minyak)
- 1 sudu kecil asam jawa extra
- 2 senduk cili kisar
- 1 biji bawang besar, hiris bulat
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar:
- 4 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- Secubit belacan (tidak wajib)
Cara penyediaannya:
- Telur digoreng hingga kuning sedikit, angkat dan toskan.
- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga wangi, masukkan cili kisar & masak hingga keluar minyak, guna api sederhana dan kacau sentiasa.
- Masukkan air asam jawa dan tambah garam & gula secukup rasa. Jka suka boleh masukkan serbuk perasa sikit. Masak hingga pekat.
- Tambah bawang besar dan telur puyuh yang sudah digoreng. Gaul rata, biar hingga bawang layu.
- Rasa dan jika rasanya ok bolehlah padamkan api dan hidang.
13) Resepi Sambal Tumis Sotong Petai
Resepi yang mudah dan sedap ini telah dikongsikan oleh Jas Miza di laman Facebooknya. Sambal tumis sotong jarang sekali ditambah dengan petai,namun bagi untuk sedikit kelainan, resepi kali ini menggunakan petai sebgai bahan sampingannya.Seterusnya, mari kita lihat bahan-bahan dan cara penyediaannya.
Bahan – bahan:
- Cili kering*
- Belacan*
- Bawang besar*
- Bawang putih*
- Petai
- Sotong
- Ajinamoto
- Garam
- Air asam jawa
- P/s: Blend bahan yang bertanda *.
Cara penyediaannya:
- Panaskan minyak dan masukkan cili yang telah diblend sehingga pecah minyak.
- Masukkan gula, ajinamoto, garam dan air asam jawa.
- Kemudian, masukkan sotong dan petai.
- Kacau dan tunggu sekitar 3-4 minit dan masukkan bawang besar.
- Tutup api dan siap!
14) Resepi Sambal Gesek
Resepi ini agak istimewa kerana ia tidak perlu dimasak. Sambal gesek mendapat namanya dari nama cara untuk membuatnya iaitu dengan mengesekkannya. Namun anda juga boleh menumbuknya menggunakan lesung batu. Sambal gesek amat sedap dimakan bersama lauk yang berkuah seperti singgang atau sup. Berikut adalah bahan yang diperlukan.
Bahan-bahan
- Segenggam ikan bilis
- Segenggam cili api (kurangkan jika tidak suka pedas)
- 2-3 biji cili merah
- Bawang merah ½ biji
- Bawang putih 2 ulas
- Belacan ½ inci
- Garam,gula dan serbuk perasa secukupnya
- Limau kasturi 4 biji ( agau 1 biji sederhana limau nipis)
Kaedah
- Basuh ikan bilis dan goreng hingga garing. Ketepikan.
- Goreng cili api, cili merah ,bawang besar ,bawang putih dan belacan.
- Alihkan dan tos dari minyak
- Masukkan kesemua bahan yang telah di goreng ke dalam lesung tumbuk dan tumbuk. Atau jika anda suka jika lesung batu yang leper, bolehlah digesek.
- Tambahkan ikan bilis,asam limau,garam,gula dan serbuk perasa.Gesek hingga semua bahan lumat.
- Siap, bolehlah dihidang bersama ulam-ulaman
15) Resepi Ikan Cencaru Sambal
Resepi ini merupakan resepi sambal ikan. Resepi ringkas dan biasnya dimakan bersama asam rebus dan ulam ulaman. Meskipun ringkas ia juga amat sedap dan anda juga boleh menggunakan ikan lain selain dari ikan cencaru. Berikut adalah bahan-bahannya
Bahan-bahan
- Ikan cencaru 3 ekor (basuh dan potong kepada 3 bahagian)
- Perasakan ikan dengan garam dan kunyit.
Bahan-bahan kisar
- Seperiuk kecil cili kering yang telah direbus hingga kembang.
- Sebiji bawang besar saiz sederhana
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 inci belacan
Bahan-bahan perasa
- Asam jawa setengah genggam,dibancuh dengan air semangkuk kecil.
- Garam 1 ½ sudu kecil
- Serbuk perasa ½ sudu kecil
Kaedah
- Goreng ikan tapi jangan terlalu garing. Ketepikan
- Sediakan kuali. Panaskan minyak dalam anggaran sesenduk.
- Tumiskan semua bahan-bahan kisar.
- Goreng dan biarkan cili naik minyak.
- Kemudian masukkan air asam jawa. Biarkan semua serasi, tambahkan air sedikit agar ia tidak terlalu kering.o
- Tambahkan garam dan serbuk perasa.Masukkan ikan goreng, biarkan seketika. Barulah tutup api, bolehlah dihidangkan.
16)Resepi Sambal Goreng Sardin
Resepi ini dikongsikan oleh Tengku RosElyza Raja Muhammad dan telah mendapat banyak perkongsian di media sosial. Resepi ini sangat popular dikalangan orang kita. Terutama ketika hujung bulan, apabila kita kehabisan idea hendak masak apa. Sardin dalam tin suatu masa dahulu mudah harganya, namun kini agak mahal sedikit harganya. Apapun mari lihat bahan yang diperlukan dalam resepi ini.
Bahan – bahan:
- 1 tin sardin kingcup (kalau kecil ambil 2 tin sardin)
- 3 ulas bawang putih
- 4biji bawang merah india (kecil)
- 2 senduk cili kisar
- Garam
- Gula secukup rasa
Cara – cara memasak:
- Panaskan minyak, goreng ikan sardin (sos dia asingkan).
- Masak sehingga garing (tutup kuali mengelakkan dari kena letupan minyak).
- Tumis bahan tumbuk sehingga agak kekuningan dan masukkan cili kisar.
- Tumis sehingga pecah minyak, masukkan sos sardin kacau.
- Letak garam dan gula secukup rasa baru masukkan ikan.
- Gaul dan tutup api.
17)Resepi Sambal Sotong
Resepi sambal sotong, ianya mudah ditemui di gerai-gerai yang biasanya menjual nasi lemak. Bagi anda yang mengemari sambal sotong ada beberapa jenis sotong yang boleh dijadikan sebagai sambal. Antara sotong basah,sotong kembang atau sotong kering. Ketiga-tiga jenis sotong ini memerlukan cara yang berbeza untuk dimasak. Bagaimanapun resepi kali ini menggunakan sotong kembang sebagai bahan utamanya dan resepi ini dikongsikan oleh Azlan Syazani Adan dan berikut adalah bahan-bahannya.
Bahan – bahan:
Bahan kisar:
- 15 biji Cili kering (gunting memanjang, rebus, bilas dengan air, tos)
- Air
- 3 biji cili merah
- Sedikit minyak masak
- 1/2 biji bawang Holland/merah
- 4 ulas bawang putih.
- 1/2 biji Bawang Holland/merah-hiris
- 3 ulas Bawang putih – hiris
- 2 ekor Sotong Kembang– hiris dan tos
- Garam
- Serbuk perasa
- Pes/air asam jawa
- Minyak masak
- 2 helai daun pandan
Cara – cara memasak:
- 1. Panaskan minyak (banyak sedikit), tumis bawang Holland & bawang putih.
- 2. Masukkan bahan blend dan daun pandan. Kacau sehingga bertukar ke warna gelap sedikit. Masukkan air sedikit.
- 3. Masukkan garam, gula dan asam jawa.Pastikan cukup rasa masin, manis dan masam.
- 4. Masukkan sotong. Gaul dan tunggu sampai empuk. Tambah air sedikit jika sudah agak kering dan masaklah sehingga sotong nampak kembang.
- 5. Sambal perlu beberapa kali masuk air jika tidak ia akan menjadi terlalu kering. Siap!
8) Resepi Sambal Goreng Paru Garing
Sambal goreng paru garing,sambal begini paling sedap dimakan begitu sahaja. Namun ia juga popular dijadikan hidangan sampingan nasi lemak. Resepi yang dikongsikan oleh Normilawati Nordin di laman Facebook adalah resepi mudah, cepat dan lazat. Bagi anda yang suka sambal paru bolehlah mencuba resepi ini
Bahan-bahan :
- Paru dibersihkan dan direbus hingga empuk. Kemudian dihiris kecil.
- Cili kering 50 tangkai,
- Bawang kecik merah 6 ulas,
- Bawang putih 3 ulas,
- Sedikit belacan (kalau suka),
- Sedikit kicap manis,
- Garam, Ajinomoto atau serbuk cukup rasa sedikit,
- Gula perang, untuk mencantikkan kuah sambal (gula putih pun boleh).
Cara-cara :
- Paru yang sudah direbus tadi dihiris kecil-kecil kemudian digoreng hingga garing, ketepikan.
- Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan belacan hingga halus (cara untuk bagi bahan naik rasa dan sedap kisar asing-asing antara bawang dan cili, sebab saya tumis bahan bawang dan belacan dahulu baru cili).
- Tumis dahulu bawang merah, bawang putih dan belacan. Tumis hingga naik bau wangi kemudian barulah dimasukkan cili kering yang telah dikisar, biarkan hingga pecah minyak.
- Kemudian masukkan garam, gula dan aji/serbuk cukup rasa dan sedikit kicap. Kacau sebati.
- Masukkan paru dan biarkan hingga kuah kering sedikit kemudian tabur bawang besar dihiris.
- Seimbangkan rasa. Siap.
19) Resepi Sambal Ikan Selar
Resepi yang mudah,sedap dan cepat u untuk disediakan. Tambahan pula ikan adalah sumber protin paling sihat untuk wanita. Sambal ikan selar ini paling sedap dimakan bersama kuah singgang atau sup. Ia akan melengkapkan hidangan anda. Jika anda pengemar sambal anda patut cuba resepi ini kerana bahan-bahannya agak lain dari bahan yang biasa digunakan didalam resepi sambal.
Bahan utama
- Ikan Selar 3 ekor sederhana besar
- Bahan-bahan kisar
- Seperiuk kecil cili kering yang telah direbus hingga kembang.
- Sebiji bawang besar saiz sederhana
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 inci belacan
- Bahan-bahan perasa
- Asam jawa setengah genggam,dibancuh dengan air semangkuk kecil.
- Garam 1 ½ sudu kecil
- Serbuk perasa ½ sudu kecil
- Sebatang serai ditumbuk sampai pecah.
Kaedah
- Cuci ikan dan perapkan dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng seperi biasa
- Ketepikan.
- Sediakan kuali. Panaskan minyak dalam anggaran sesenduk.
- Tumiskan semua bahan-bahan kisar dan masukkan serai yang telah ditumbuk. Biarkan cili naik minyak.
- Kemudian masukkan air asam jawa. Biarkan semua serasi, tambahkan air sedikit agar ia tidak terlalu kering.
- Tambahkan garam dan serbuk perasa.Masukkan ikan goreng, biarkan seketika. Barulah tutup api, bolehlah dihidangkan.
20) Resepi Sambal Tumis Sotong
Sotong adalah bahan yang paling kerap diguna didalam resepi sambal tumis. Walaupun begitu bagi anda yang tidak pernah mencuba masak sendiri sambal tumis sotong satu petua ingin dikongsikan disini ialah jangan tambah air didalam sambal anda,kerana sotong akan mengeluarkan airnya sendiri. Resepi sambal tumis sotong kali ini menggunakan sotong basah yang boleh dibeli dipasar.
Bahan utama
- Sotong ½ kilo,bersihkan dahulu.
- Perapkan dengan garam,gula dan serbuk kunyit.
Bahan – bahan A
- Cili kering satu periuk kecil digunting dan dibuang biji. ( Guna 50% cili pedas dan 50% cili tidak pedas)
- Bawang besar sebelah dipotong dadu
- Minyak masak 2 sudu besar.
- Kisarkan semua bahan-bahan A. Ketepikan.
Bahan-bahan B
- Bawang besar sebelah
- Belacan setengah inci
- Kisarkan bahan-bahan B. Ketepikan
Bahan hiris
- 1-2 biji bawang besar dihiris bulat.
Bahan perasa
- Gula 2 sudu besar
- Asam keping sekeping
- Garam dan serbuk perasa secukupnya.
Kaedah
- Kisar cili kering bersama minyak, bawang yang dipotong dan air secukupnya,ini adalah petua supaya cili lebih halus. Ketepikan.
- Seterusnya kisar bahan-bahan kisar.
- Tumiskan bahan kisaran ini, sehingga naik bau.
- Masukkan bahan hiris,goreng keduanya sehingga bawang mula layu.
- Masukkan cili kering kisar. Gaul rata kesemua bahan dan masak sehingga cili naik minyak. Tambah minyak masak jika perlu.
- Masak dengan api sederhana. Kacau selalu supaya cili tidak hangit.
- Apabila cili telah naik minyak, masukkan sedikit dan masukkan asam keping sekali.
- Masukkan garam, serbuk perasa, serbuk kunyit dan gula.
- Masak sehingga warna cili menjadi cantik merah kehitaman. Barulah masukkan sotong. Sotong tidak perlu dimasukkan awal kerana ia akan keras. Sambal tumis ini tidak perlu ditambah air kerana sotong akan mengeluarkan airnya sendiri
21)Resepi Sambal Tempe Ikan Bilis
Sambal tempe sedap untuk dijadikan lauk dimakan dengan nasi putih. Tempe diperbuat daripada kacang soya yang kemudiannya dipadatkan dan dibungkus hingga ia sedikti berkulapuk. Namun gabungan tempe dengan sambal yang sedap amat merangsang selera. Ianya pedas manis rangup secukup rasa membuka selera. Resepi ini bagaimanapun dikreditkan kepada Asiah Jaafar sebagai pemilik resepi yang berkongsi di laman Facebook.
Bahan-bahan :
- Tempe dipotong nipis dan digoreng garing. Ketepikan.
- Ikan bilis digoreng garing. Ketepikan.
- Cili kering blend 4 sudu besar.
- 3 ulas bawang putih dicincang halus.
- 1 biji bawang besar dipotong bulat.
- 3 sudu besar gula dan 1 sudu besar gula merah.
Cara-cara :
- Tumis bawang putih sampai kuning, masukan cili kering. Tumis sampai garing.
- Kemudian masukkan bawang besar, sedikit garam, gula dan gula merah.
- Masak sehingga bawang besar layu dan tumisan nampak warna gelap.
- Tutup api. Biarkan sambal betul-betul sejuk.
- Akhir sekali gaulkan ikan bilis dan tempe tadi dengan sambal hingga rata.
- Siap. Selamat mencuba .
22) Resepi Ayam Masak Semur
Resepi ini amat istimewa kerana ka merupakan resepi yang Madam secara peribadi dapat dari arwah ayah. Masakan ini sebenarnya ialah masakan orang Jawa. Semur didalam bahasa melayu bermaksud sambal, bahannya bagaimanapun adalah berbeza dari resepi samba ayam yang biasa. Berikut ialah bahan-bahannya.
Bahan-bahan utama
- Seekor ayam sederhana dipotong 16 (atau terpulang). Perap dengan garam dan kunyit.
- Goreng tapi jangan terlalu garing.
Bahan-bahan kisar
- 5 senduk cili kering yang dikisar.
- Bawang merah 5 ulas
- Bawang putih 3 ulas
- 1 sudu besar jintan halus
- 1sudu besar jintan kasar
- 1 inci belacan
Bahan-bahan B ( Hiris dan Tumis)
- 2 labu bawang besar dipotong baji
- 3 ulas bawang putih (hiris)
- 1 inci halia (hiris)
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 kuntum bunga lawang
- 2 kuntum bunga cengkih
- 3 biji ketumbar
- Kicap manis secukup hitam
- Sekeping asam keping saiz besar.
Kaedah
- Tumiskan bahan-bahan B sehingga naik bau. Kemudian tumis bahan A hingga naik minyak. Tambahkan asam keping sekeping.Tambahkan kicap secukup hitam. Tambah sedikit air, lebih kurang secawan.
- Masukkan ayam yang telah digoreng. Gaul rata dengan sambal yang telah masak sebati. Biarkan sehingga semuanya mesra. Bawang besar juga boleh diletak bersama ayam jika suka.
- Boleh tambah kentang yang dipotong baji dan digoreng terlebih dahulu mengikut citarasa.
- Akhir sekali tambah sedikit garam, jangan terlalu banyak kerana masakan ini telah ditambah kicap.
23) Resepi Terung Goreng Sambal Cili Padi
Resepi terung goreng cilipadi kali ini adalah hasil perkongsian dari Azahari Abdullah di laman Facebook. Terung merupakan salah satu sayur yang popular dikebanyakkan negara di Asia Tenggara ini. Oleh itu tidak hairanlah banyak resepi yang boleh dibuat dengan terung ini. Antaranya ialah resepi terung goreng sambal cili padi. Pedas tetapi sedap, ia juga amat mudah untuk disediakan . Berikut adalah bahan-bahannya yang boleh anda beli dikedai berdekatan.
Bahan-bahan :
- Terung panjang digoreng.
Bahan Sambal :
- Segenggam cili padi,
- 3 batang cili hijau besar,
- 2 ulas bawang putih,
- 5 ulas bawang merah,
- ½ biji bawang besar,
- Air asam jawa,
- 1 sudu besar udang kering. (Optional, boleh bubuh belacan).
Cara-cara :
- Blend kesemua bahan.
- Tumis dengan minyak.
- Masukan gula dan garam.
- Masukan air asam jawa kacau sampai pekat dengan api yang kecil.
- Jika sudah siap, tumpahkan ke atas terung
24) Resepi Sambal Tumis Terung Pipit
Resepi sambal tumis kali ini menggunakan terung pipit atau nama lainnya ialah terung berembang. Bagi anda yang tidak pernah kenal terung ini,ia merupai seperti kacang peas. Warnanya hijau dan bulat serta biasanya ia dijual dengan tangkainya sekali. Terung ini selain dibuat sambal juga sangat sedap dijadikan ulam dengan cara merebus ia.
Bahan-Bahan
- 200g ikan bilis
- 2 cawan terung pipit, dibuang tangkai dan bersihkan
- 1/2 biji bawang besar, hiris nipis
- 2-3 senduk besar minyak
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar
- 10-15 biji cili kering, dibuang biji dan rebus
- 4 ulas bawang merah
- Belacan sedikit
Kaedah
- Panaskan minyak,tumiskan bahan-bahan kisar sehingga naik minyak.
- Tambahkan asam keping dan bawang besar yang dihiris bulat.
- Apabila cili mulai garing, tambahkan sedikit air.
- Masukkan garam,serbuk dan gula.
- Kacau rata kemudian tambahkan terung pipit dan ikan bilis.
- Gaul semua bahan sehingga sebati dan tutup api apabila sambal mulai pekat.
- Tutup api.
- Siap.
24) Resepi Sambal Tempoyak Terung Pipit
Terung pipit ini juga dikenali sebagai terung rembang ianya selain dijadikan sambal juga biasanya dijadikan ulam mentah atau direbus atau dicelur terlebih dahulu. Jika anda tidak pernah mencubanya,anda harus kerana terung pipit walaupun pahit tetapi sangat sedap terutama apabila dicampur dengan tempoyak. Oleh itu jangan lupa mencuba resepi ini
Bahan-Bahan
- 200g ikan bilis
- 2 cawan terung pipit, dibuang tangkai dan bersihkan
- 1/2 biji bawang besar, hiris nipis
- 2-3 senduk besar minyak
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar
- 10-15 biji cili kering, dibuang biji dan rebus
- 4 ulas bawang merah
- Belacan sedikit
- 3 sudu besar tempoyak
Kaedah
- Panaskan minyak,tumiskan bahan-bahan kisar sehingga naik minyak.
- Tambahkan asam keping dan bawang besar yang dihiris bulat.
- Apabila cili mulai garing, tambahkan sedikit air.
- Masukkan garam,serbuk dan gula.
- Kacau rata kemudian tambahkan terung pipit dan ikan bilis.
- Gaul semua bahan sehingga sebati dan tutup api apabila sambal mulai pekat.
- Tutup api.
- Siap.
25) Resepi Hati Ayam Masak Hitam (Luarbiasa Sedap)
Resepi ini adalah sejenis sambal yang dimasak bersama hati ayam. Hati ayam biasanya adalah bahagian yang sesetengah orang tidak gemar. Oleh itu hati ayam lebih murah dari daging ayam. Bagaimanapun disebabkan sesetengah orang tidak gemar hati ayam,maka resepi ini diolah dan anda patut cuba resepi ini.
Bahan utama
- 1/2 kg hati ayam
Bahan kisar
- 4 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih (dikisar)
- 1 mangkuk kecil cili kering (dikisar)
- Halia ½ inci
- 1 sudu teh jintan manis
Bahan perasa
- Asam keping
- 5 helai daun limau purut
- Sedikit kicap manis
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Ajinomoto (jika suka)
Kaedah
- Tambahkan garam dan kunyit pada hati ayam dan goreng separuh masak, asingkan.
- Tumis semua bahan-bahan yang telah dikisar sehingga ia naik minyak.
- Masukkan asam keping.
- Kemudian masukkan sedikit demi sedikit kicap dan mengikut warna hitam yang amda inginkan,
- Masukkan pula hati yg telah digoreng.
- Masukkan garam dan gula secukup rasa.
- Akhir sekali tambahkan daun limau purut sebagai tarikan aromanya.
- Siap.
Kesimpulan
Itulah dia 25 resepi berasaskan sambal yang menarik. Kebanyakkan resepi yang disertakan ini agak mudah dan menggunakan bahan yang minima. Oleh itu bagi anda yang ingin mencuba resepi sedap, ringkas dan mudah disediakan bolehlah mencuba resepi-resepi disini.
Jangan lupa klik like dan share ya,agar lebih ramai dapat manafaat kan perkongsian kali ini. Selamat mencuba!
Leave a Reply