Kumpulan 10 Resepi Kerabu Mangga (Rasa Macam Kedai Siam)

Kerabu mangga merupakan hidangan tradisional yang memberi kombinasi rasa masam, manis, pedas, dan masin yang seimbang. Keistimewaan kerabu mangga terletak pada gabungan bahan utamanya, iaitu mangga muda yang disagat halus dan dicampur dengan pelbagai bahan lain seperti bawang merah, cili padi, udang kering, dan kerisik. Tambahan pula, penggunaan daun ketumbar atau daun selom boleh memberi aroma yang lebih harum dan menyelerakan.

Kombinasi bahan segar dalam kerabu mangga juga membantu dalam proses pencernaan, menjadikannya hidangan yang bukan sahaja lazat tetapi juga menyihatkan. Hidangan ini juga boleh disesuaikan mengikut selera masing-masing, seperti menambah kacang tanah tumbuk untuk memberi rasa lebih rangup atau tambah belacan untuk aroma yang lebih kuat dan memikat.

Jadi, apa tunggu lagi? Jom cuba resepi kerabu mangga di rumah! Dengan bahan-bahan yang mudah didapati dan cara penyediaan yang cepat, 10 resepi kerabu mangga dari laman Facebook ini boleh disediakan pada bila-bila masa untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan. Jangan lupa untuk berkongsi keistimewaan hidangan ini dengan orang tersayang!

Kerabu Mangga semudah ABC

Imej via Facebook

Resepi kerabu mangga pertama kita datangkan daripada Ana Mariana Ismail yang berkongsi di laman Facebook. Menggunakan bahan-bahan yang mudah, anda dapat merasa kerabu mangga ala Thai.

Bahan-bahan :
  • *Mangga muda sebiji (sagat @ hiris nipis),
  • *Serai sebatang,
  • *Bunga kantan,
  • *Bawang besar sebiji,
  • *Cili padi 5 biji,
  • Ikan bilis goreng (tumbuk kasar),
  • Kacang tanah goreng (tumbuk kasar),
  • Garam dan gula,
  • Sos ikan,
  • Air perahan limau/oren sunquick (kalau mangga sudah masam tidak perlu letak).
Cara-cara :
  1. Hiris nipis semua bahan-bahan yang bertanda *.
  2. Kemudian masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam mangkuk besar.
  3. Perasakan dengan garam, gula, sos ikan dan air perahan limau, kemudian gaul-gaul sampai sekata dan secukup rasa, siap.

Kerabu Mangga Ala Thai

Imej via Facebook

Selepas anda baca resepi ini, anda tidak perlu lagi pergi jauh-jauh ke Thailand. Mulai hari ini anda boleh buat kerabu mangga macam dekat Thailand. Resepi dikongsikan oleh Asma Nordin di laman Facebook.

Bahan -bahan :
  • Mangga diracik,
  • Udang kering disangai dan kisar kasar @ ditumbuk,
  • Kacang goreng ditumbuk,
  • Bawang merah dihiris,
  • Serai,
  • Cili padi,
  • Air limau nipis,
  • Daun kesum,
  • Bunga kantan,
  • Sos sotong @ ikan,
  • Garam dan gula secukup rasa.
Cara-cara :
  1. Semua bahan diracik @ dihiris @ dimayang halus dan dicampurkan sekali.
  2. Gaul bahan sehingga sebati.
  3. Sesuaikan rasa ikut citarasa sendiri.
  4. Bagi sedap lebihkan udang kering, letak daun ketumbar pun boleh.

Kerabu mangga bahan simple

Imej via Facebook

Terliur tengok mangga muda, Siti Shafinnatul Aierran buat kerabu mangga. Tidak letak bawang merah sebab kurang suka. Patutnya pakai daun kesum dihiris nipis, tapi kak Siti tidak letak sebab kurang suka. Bunga kantan pun sama. Tapi resepinya mudah untuk dicuba.

Bahan-bahan :
  • Mangga,
  • Serai (hiris nipis),
  • Limau nipis,
  • Cili besar,
  • Kicap sotong,
  • Kacang tanah goreng (ditumbuk),
  • Udang kering campur udang geragau (disangai dan ditumbuk),
  • Gula,
  • Garam.
Cara-cara :
  1. Gaul semua bahan dan perasakan secukupnya.
  2. Siap untuk dihidang.
  3. Makan dengan nasi panas padu.

Kerabu Mangga Budu Mak Meah

Imej via Facebook

Kerabu mangga menggamit kenangan bagi sis Aqida Hassan. Tiap suap teringat dengan keluarga. Kerabu ini spesial sebab letak budu. Ada orang suka letak udang kering, pun boleh. Tapi percayalah, letak budu, konfirm rasa ketagih ingin makan lagi.

Bahan-bahan :
  • 12 biji mangga spal muda (yang sedang-sedang masak, senang sagat).
  • 5 batang bunga kantan,
  • 5 biji bawang besar,
  • 20 batang cili padi merah dan hijau biasa,
  • 12 biji limau kasturi,
  • Budu Cap Ketereh,
  • 2 senduk gula (kemanisan mangga juga mempengaruhi),
Cara-cara :
  1. Sagat buah mangga.
  2. Masukkan bawang besar (potong melintang bagi panjang), bunga kantan, cilipadi warna warni bagi nampak cantik, dan gula (semua kena digunting/dipotong nipis-nipis).
  3. Masukkan air limau yang sudah diperah dan dibuang biji. Tapi kulit limau jangan buang, gunting halus-halus kulit dia, masuk sekali.
  4. Goncang budu, kemudian masukkan sebotol terus.
  5. Gaul semua sampai sekata. Kalau rasa kurang manis, tambah gula, kalau ingin pedas tambah cili padi lagi.
  6. Akhir sekali, simpan dalam bekas yang muat dalam peti sejuk. Esok tengahari, boleh makan dengan nasi panas dan ikan goreng.

Kerabu Mangga Mengejut Lidah

Imej via Facebook

Resepi yang dikongsikan oleh sis Mariana Zainal ini patutnya letak perahan lemon (tapi tidak bubuh sebab pelam sudah masam). Boleh juga letak sos ikan bagi sesiapa yang suka, supaya makin sedap.

Bahan-bahan :
  • 2 biji mangga muda disagat atau hiris memanjang.
  • 3 kuntum bunga kantan dihiris nipis.
  • 3 batang serai hiris nipis.
  • 1 biji bawang besar hiris nipis.
  • 15 tangkai cili padi hiris.
  • 1 batang cili merah (cili besar) dihiris.
  • Sedikit kacang tanah disangai/goreng tanpa minyak. Tumbuk halus, ambil 5-6 sudu besar yang sudah siap tumbuk.
  • 3 sudu besar udang kering sangai/goreng tanpa minyak, tumbuk halus.
  • ½ sudu besar gula.
  • ½ sdt garam.
Cara-cara :
  1. Gaul semua bahan-bahan di atas. Siap.

Kerabu Mangga Rangup Krup Krap

Imej via Facebook

Kenapa kerabu ini dikatakan rangup? Sebab resepi kerabu mangga daripada Ruby Yong Arshad di laman Facebook ini menggunakan kacang goreng ditumbuk untuk bahan utama, sehingga akan dengar krup krap masa makan.

Bahan-bahan:
  • Mangga diracik halus,
  • Bawang besar diracik,
  • Bunga kantan diracik,
  • Serai diracik,
  • Ikan bilis goreng,
  • Kacang goreng ditumbuk,
  • Udang kering goreng,
  • Cili api diracik halus,
  • Air limau nipis,
  • Garam dan gula secukup rasa.
Cara-cara :
  1. Gaulkan semua bahan hingga rata.
  2. Sedap dimakan begitu sahaja.

Kerabu Mangga Ala kedai

Imej via Facebook

Semalam ambil mempelam muda di sekolah untuk buat kerabu mangga. Ini kerabu mangga cara Azizah Salleh untuk adik-adik yang baru teringin belajar masak.

Bahan-bahan :
  • Pelam muda 5 biji,
  • Bunga kantan 2,
  • 4 biji bawang besar,
  • 3 batang serai,
  • Cili api ikut pedas,
  • Udang kering 3 sudu digoreng sangai dan tumbuk/blender kering,
  • Sos ikan ¼ cawan,
  • Gula 1 sudu makan dan garam 1 sudu teh.
Cara-cara :
  1. Semua bahan dihiris kecuali udang kering.
  2. Gaulkan semua bahan.
  3. Tabur daun ketumbar dan simpan peti ais sekejap sebelum dimakan.

Kerabu Mangga Campak-campak

Imej via Facebook

Kerabu pelam memang kegemaran keluarga. Lagi sedap kena gaul dengan tangan baru cukup mesra. Nurul Mardhiah berkongsi resepi kerabu pelam@mangga semudah campak-campak sahaja.

Bahan-bahan :
  • Cili kering,
  • Belacan,
  • Serai,
  • Bawang besar,
  • Kerisik,
  • Mangga,
  • Ikan bilis.
Cara-cara :
  1. Blender kering cili kering, belacan dan serai.
  2. Potong bawang besar, kerisik, mangga.
  3. Ikan bilis siap goreng ditumbuk atau ketuk (boleh pakai lauk lain).
  4. Gaulkan semua bahan-bahan.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan penyedap rasa.

Kerabu Mangga Masam Manis

Imej via Facebook

Kerabu mangga mengkal seterusnya dikongsikan oleh Marlina Hajar. Masam manis pedas krupp krap ikan bilis goreng salam trap gitian.

Bahan-bahan :
  • Mangga mengkal,
  • Ikan bilis,
  • Cili padi,
  • Bawang besar,
  • Penyedap rasa.
Cara-cara :
  1. Mangga mengkal dibuang kulit dan cincang memanjang, ketepikan.
  2. Ikan bilis digoreng garing dann tumbuk agak hancur, masuk ke dalam besen.
  3. Cili padi tumbuk lumat masuk ke dalam besen.
  4. Bawang besar hiris, masuk ke dalam besen.
  5. Masukkan garam dan gula secukup rasa dalam besen, gaul rata.
  6. Masukkan mangga tadi, gaul rata.

Kerabu mangga segar

Imej via Facebook

Kerabu mangga sedap dimakan ratah macam itu sahaja. Bahan-bahan senang dan menyediakan mudah. Jadikan lauk makan dengan nasi pun sedap. Sila cubakan perkongsian daripada Hajah Zainab Bt Mawan.

Bahan-bahan :
  • Buah mangga,
  • Udang kering kisar (disangai sekejap),
  • Kacang tanah kisar,
  • Lada besar *,
  • Cili api hijau*,
  • Sedikit lobak merah *,
  • Bunga kantan *,
  • Bawang besar*,
  • Garam,
  • Gula pasir dan gula perang.
Cara-cara :
  1. Sagat buah mangga.
  2. Hiris bahan-bahan yang bertanda*.
  3. Masukan semua bahan ke dalam satu bekas, gaul sebati.
  4. Rasa gula dan garamnya.
Resepi Menarik Lain

Selain resepi Kerabu Mangga, kami juga menulis resepi menarik lain yang mendapat perkongsian ramai. Jemput baca dan cubakan resepinya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Resepi Menarik Lain

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *