Resepi Tradisional, Moden & Terkini

Koleksi 10 Resepi Sardin Disukai Ramai Senang Buat

Koleksi kali ini akan membawa kepada anda himpunan resepi resepi menggunakan sardin didalam tin. Seperti yang kita tahu sardin dalam tin merupakan salah satu makanan kegemaran orang Malaysia. Ini kerana ianya mudah ditemui dan tahan lama. Ada pelbagai jenama sardin yang terdapat didalam pasaran. Dan juga ada berbagai jenis sardin yang dijual. 

Namun begitu atas daya kreatif, sardin boleh dimasak menggunakan berbagai cara dan bahan. Jom lihat senarai 10 resepi-resepi yang menggunakan sardin yang boleh anda cuba sendiri.

1) Resepi Nasi Goreng Sardin

Masakan ini amat sedap dan sesuai bagi anda yang makan sardin. Ianya mudah dan cepat untuk disediakan. Meskipun nasi goreng biasanya dinikmati diwaktu sarapan pagi, ia juga sesuai dihidang diwaktu makan malam. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 2 cawan nasi putih
  • Bahan-bahan tumbuk
  • Bawang besar ½ biji
  • Bawang putih 2 ulas
  • Cili api segenggam/2 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu teh garam dan sedikit serbuk perasa.

Bahan Rencah

  • Kacang panjang dipotong kecil 1 mangkuk kecil
  • Lobak merah dipotong dadu 1 mangkuk kecil
  • Isi ikan sardin dalam tin (tin kecil)
  • 1 biji telur

Kaedah

  • Panaskan minyak dalam kuali.
  • Tumis bahan tumbuk hingga kekuningan dan naik bau.
  • Masukkan isi sardin dan kacau agar sebati.
  • Masukkan sayur pula.
  • Akhir sekali masukkan telur dan biarkan tanpa dikacau.
  • Segera masukkan nasi dan kacau serta gaul sebati.
  • Tambah kicap jika suka.
  • Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
  • Siap!

2) Resepi Puri Sambal Sardin

Resepi berikut ini, mengabungkan resepi roti puri yang amat sedap dinikmati bersama sambal sardin. Oleh itu anda boleh mencubanya sebagai hidangan minum petang anda. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan Roti Puri

  • 500g tepung gandum
  • 300 ml air suam
  • 6 g yis (setengah peket)
  • 2 sudu besar butter
  • 2 sudu besar minyak masak.
  • 2 sudu besar gula halus
  • 1 sudu kecil garam

Bahan sambal sardin

  • Cili kisar (kisar dengan bawang besar)
  • Sardin dalam tin (saiz kecil)
  • Sedikit air asam jawa.
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya.

Kaedah

  • Mula-mula satukan air, gula dan yis dalam satu bekas.
  • Kemudian satukan bahan kering seperti tepung, garam, minyak dan butter.
  • Uli semua bahan hingga sebati dan tidak melekat ditangan.
  • Biarkan seketika sehingga ia naik, kemudian uli sekali lagi.
  • Dan bulatkan ia kepada beberapa bahagian.
  • Ketepikan.
  • Sementara itu sediakan sambal sardin pula.
  • Tumiskan cili yang telah dikisar sehingga garing.
  • Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
  • Masukkan sedikit air asam jawa.
  • Kemudian masukkan sos sardin dalam tin.
  • Biarkan bahan-bahan ini sebati dan baru tambahkan ikan sardin.
  • Pecah-pecahkan ikan sardin dan gaul rata.
  • Siap.
  • Selepas itu goreng roti puri pula.
  • Leperkan dulu doh puri yang telah dibulat-bulatkan.
  • Dengan minyak yang banyak dan panas, goreng roti puri sehingga ia kembung.
  • Ulang sehingga habis.
  • Siap!

3) Resepi Sardin Cili Api

Resepi ini merupakan salah satu cara paling mudah untuk menikmati masakan sardin, terutama jika anda sememangnya peminat masakan pedas. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 tin sardin
  • 4 ulas bawang putih
  • 15 biji cili padi (tambah jika ingin pedas)
  • Bawang besar – hiris
  • Garam
  • Serbuk perasa

Kaedah

  • Tumbuk bawang putih dan cili padi sehingga hancur. 
  • Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi.
  • Masukkan ikan sardin sahaja dulu dan biarkan bergoreng bersama minyak dan bahan tumis tadi.
  • Balikkan ikan supaya ia masak rata
  • Masukkan sos sardin, bawang besar dan garam serta serbuk perasa.
  • Siap.

4) Resepi Roti Sardin Roll

Seterusnya resepi roti sardin roll, yang amat sesuai dijadikan sebagai menu santapan minum petang. Roti dikukus terlebih dahulu sebelum dileperkan agar ia tidak menyerap minyak ketika digoreng. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • Roti
  • Sardin tin
  • Cili kisar 1 sudu besar
  • Bawang besar (potong dadu)
  • Cili Merah (hiris nipis)
  • Kentang goreng (pilihan)
  • Sedikit garam
  • Perahan limau nipis/kasturi
  • Sedikit tepung(bancuh dengan sedikit air)

Kaedah Inti

  • Panaskan minyak. 
  • Tumiskan bawang dan cili yang telah disediakan tadi.
  • Tumiskan isi sardin yang telah dihancurkan.masukkan sardin bersama sosnya.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa.

Penyediaan Sardine Roll

  • Mula-mula leperkan roti menggunakan pin roll.
  • Isikan inti sardin tetapi jangan penuh sangat.
  • Gulung roti dan kemudian gam hujungnya menggunakan tepung yang telah dibancuh tadi.
  • Habiskan semua roti dan sedia untuk goreng.
  • Dengan minyak yang banyak dan panas, goreng roti tadi.
  • Alih apabila ia telah perang.
  • Tidak perlu lama kerana ia mudah rentung.
  • Tos sebelum dihidangkan.
  • Siap!

5) Resepi Sardin Gulung

sardin-gulung
image via Facebook

Resepi ini dikongsikan oleh Zuhaidar Mohd Sofi dan mendapat banyak likes di Facebook. Tidak seperti resepi sebelum ini, ia menggunakan adunan pastri sebagai kulitnya. Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan – bahan:

Untuk roti:

  • 4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu makan tepung beras
  • 2 sudu mkn tepung jagung
  • 2 sudu kecil gula
  • 1 sudu kecil garam
  • (dicampur semua)
  • 1/4 cawan minyak
  • 2 sudu makan marjerin
  • (panaskan sehingga panas sedikit)
  • air (tambah sehingga terbentuk doh)

Untuk inti:

  • 1 tin sardin
  • 1/2 labu bawang besar-dadu
  • 2 biji bawang putih-cincang
  • 2 sudu makan cili giling
  • Gula
  • Garam
  • Perahan limau nipis

Cara – cara menyediakan:

Roti:

  • Tuang minyak panas ke dalam tepung, gaul sampai jadi serbuk.
  • Tambah air sedikit demi sedikit, uli sehingga terbentuk doh.
  • Uli dalam 5 minit. Bulatkan doh.
  • Permukaan doh mungkin tidak licin. (Rehatkan doh 15 minit sebelum guna – wajib)
  • Tutup doh dengan kain lembap. Kemudian apabila nak guna ianya akan menjadi lembut, masa ini uli dalam seminit dua supaya permukaan doh menjadi licin.
  • Buat doh kecil, bulat saiz yang diingini.
  • Buat bentuk bulat bujur seperti buah pear
  • Canaikan.
  • Untuk bahagian yang tirus, nipiskan sedikit. Insyallah apabila gulung nanti tidak perlu letak air ianya akan melekat.

Inti:

  • Tumis bawang putih, bawang besar dengan 1 sudu makan minyak sampai layu (tips: minyak kena sikit sahaja. Nanti berminyak susah nak kendali)
  • Tambah cili giling, tumis sampai cili giling separa garing. Masukkan sardin. Pecah – pecahkan. Tambah garam gula dan perahan limau, masak sampai kering.
  • Untuk bekukan, saya bakar sekejap dalam oven yang dipanaskan terlebih dahulu, suhu 180C selama 10 minit. Nak goreng sekejap pun boleh tapi lebih pantas bakar dalam oven.

6) Resepi Kari Sardin

Ini adalah salah satu resepi sardin yang menggunakan kari yang amat sesuai terutama bagi peminat kari. Ianya amat ringkas dan mudah untuk disediakan. Berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 tin sardin besar (digoreng kosong dahulu)
  • Air asam jawa anggaran 1 mangkuk kecil
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 sudu besar serbuk lada/lada kering kisar
  • Garam
  • Gula
  • Minyak untuk menumis

Bahan-bahan tumis

  • 1 sudu besar halba campur
  • Daun kari 2 tangkai
  • 4 biiji bawang merah dihiris
  • 3 ulas bawang putih dihiris
  • Sedikit halia dihiris

Kaedah

  • Mula-mula tumis semua bahan-bahan tumis.
  • Kemudian tumis pula rempah kari dan serbuk lada.
  • Tambahkan air asam jawa  sikit demi sedikit 
  • Kemudian masukkan sardin dan tambahkan garam,serbuk perasa dan sedikit gula jika anda suka.
  • Biar mengelegak sebelum tutup api.

7) Resepi Sardin Tin Masak Paprik 

Seterusnya satu lagi masakan sardin yang agak jarang digunakan. Sardin masak paprik ini menggunakan bahan-bahan seperti serai dan limau purut. Rasanya amat sedap dan anda bolehlah mencubanya sendiri.

Bahan utama

  • Sardin tin besar 1

Bahan hiris dan tumis

  • 1 biji bawang besar 
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • Segenggam cili api
  • 1 batang serai
  • 5 helai daun limau purut
  • Asam jawa secukup rasa bancuh dengan sedikit air

Kaedah

  • Buka sardin tin, sedia untuk digunakan.
  • Hiris semua bahan dan ketuk pecah serai.
  • Tumiskan semua bahan yang telah dihiris bersama serai yang telah ditumbuk
  • Masukkan air asam jawa dan biarkan hingga mengelegak.
  • Kemudian masukkan ikan sardin bersama sosnya.
  • Tambahkan garam dan sedikit serbuk perasa jika perlu.
  • Siap.

8) Resepi Lemak Cili Api Sardin

Seterusnya masakan lemak cili api sardin, merupakan satu lagi inovasi masakan menggunakan sardin. Masakan ini sedap walaupun ia jarang ditemui, bagi anda yang ingin mencuba sendiri berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan utama

  • Sardin Ikan Mackerel (Saiz kecil)
  • Bahan-bahan kisar
  • Cili api segenggam
  • Santan ½ – 1  kotak kecil

Bahan-bahan lain

  • Sebatang serai (ditumbuk hingga bahagiannya pecah)
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Asam keping sekeping (saiz kecil)
  • Kentang sebiji saiz besar (kupas dan potong 6)
  • Garam dan serbuk perasa secukup rasa

Kaedah

  • Buka sardin dalam tin.Ketepikan.
  • Kisarkan cili api bersama separuh kotak santan, tambah air jika perlu.
  • Masukkan bahan kisar kedalam periuk, tambahkan serbuk kunyit, asam keping dan serai, kacau rata.
  • Masukkan juga kentang agar ia lebih cepat empuk.
  • Tambah air secawan. Kacau hingga mengelegak.
  • Kemudian masukkan sardin dan kacau rata.
  • Tambahkan santan jika ingin lebih pekat., jika tidak kepekatan sedia ada sepatutnya memadai.
  • Terus memasak sampai kentang empuk. Tambahkan garam dan serbuk secukupnya.
  • Siap.

9) Resepi Sambal Goreng Sardin

Resepi ini dikongsikan oleh Tengku RosElyza Raja Muhammad dan telah mendapat banyak perkongsian di media sosial. Sambal goreng sardin amat sesuai bagi mereka yang gemar sardin yang dimasak kering, berikut adalah bahan-bahan diperlukan.

Bahan – bahan:

  • 1 tin sardin kingcup (kalau kecil ambil 2 tin sardin)
  • 3 ulas bawang putih
  • 4biji bawang merah india (kecil)
  • 2 senduk cili kisar
  • Garam
  • Gula secukup rasa

Cara – cara memasak:

  • Panaskan minyak, goreng ikan sardin (sos dia asingkan).
  • Masak sehingga garing (tutup kuali mengelakkan dari kena letupan minyak).
  • Tumis bahan tumbuk sehingga agak kekuningan dan masukkan cili kisar.
  • Tumis sehingga pecah minyak, masukkan sos sardin kacau.
  • Letak garam dan gula secukup rasa baru masukkan ikan.
  • Gaul dan tutup api.

10) Resepi Sambal Sardin

Resepi seterusnya ini ialah resepi sambal sardin yang sesuai dijadikan inti sandwich. Gabungkan ia bersama roti dan hirisan timun dan jadikan ia sebagai bekal untuk ke tempat kerja atau seumpamanya. Berikut adalah bahan yang diperlukan.

Bahan utama

  • 1 tin kecil sardin

Bahan-bahan (Kisar)

  • Cili kisar 2 senduk
  • Bawang besar ½ labu
  • Bawang putih 2 ulas
  • Halia ½ inci
  • Bahan-bahan (Hiris)
  • Bawang besar 1 labu
  • 2 ulas bawang putih
  • Segenggam daun kari ( pilihan)

Bahan lain

  • ½ cawan air asam jawa/asam keping  sekeping.
  • 1 sudu kecil garam
  • Secubit serbuk perasa
  • 1 sudu makan gula.

Kaedah

  • Tumiskan bahan-bahan hiris sehingga semuanya layu.
  • Kemudian tumis bahan-bahan kisar sehingga cili garing atau sehingga naik minyak. 
  • Masukkan isi sardin bersama sosnya.
  • Masukkan air asam pula,sambil itu, hancurkan isi ikan sardin itu.
  • Tunggu sehingga kuah pekat.
  • Masukkan garam 1 sudu teh, sedikit serbuk perisa dan sesudu makan gula.

Itulah dia 10 resepi menggunakan sardin yang amat mudah untuk disediakan. Terpulanglah kepada anda untuk menggunakan apa-apa jenama namun gunakanlah jenama yang telah dikenali seperti Kingcup,Ayam Brand atau Adabi. Jangan lupa kongsikan koleksi ini bersama rakan-rakan anda, selamat mencuba!

About Our Content Creators

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Integer semper commodo tristique. Donec in dolor a odio semper convallis et ac ex. Aenean at elit non arcu tincidunt laoreet.

We may earn a commission if you click on the links within this article. Learn more.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *